Friday, May 10, 2013

Azmin Ali Mengadu Dengan Anwar Tak Puas Hati Dengan Wan Azizah!


Setelah dipujuk rayu selama beberapa jam oleh Anwar tengahri tadi akhirnya Azmin Ali memberitahu  sebab-sebab beliau mengugut untuk keluar dari Parti PKR!

Azmin ketika sidang media di ibu pejabat PKR. Selain membuat pendedahan pernah menolak jawatan MB Selangor, Azmin turut mempersoalkan surat yang dihantar Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail kepada Sultan Selangor berhubung calon Menteri Besar pada Khamis yang didakwa dibuat tanpa sebarang perbincangan dan persetujuan bersama semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu.

Laporan Mstar - Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali mendedahkan bahawa beliau pernah diminta bersedia mengambil tempat Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2008.

Katanya, beliau bagaimanapun telah menolak arahan tersebut demi kestabilan parti.

Azmin berkata pendedahan ini dibuat sebagai menolak tohmahan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang menyatakan beliau kemaruk memegang jawatan menteri besar Selangor.

"Sekiranya saya kemaruk dengan jawatan tersebut saya telah menjadi menteri besar Selangor pada 2008 menyusul Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh yang mana Datuk Seri Anwar sendiri telah meminta saya bersedia menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Tetapi saya dengan tegas menolak arahan tersebut kerana ia akan menggoncang kestabilan parti," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, Jumaat.

Menurut Ahli Parlimen Gombak dan Adun Bukit Antarabangsa ini, arahan itu diterima selepas parti tidak berpuas hati dengan prestasi Khalid pada masa itu.

Katanya banyak aduan diterima daripada penjawat awam dan masyarakat perniagaan yang merungut dengan amalan birokrasi melampau dan bukan pentadbiran bersifat reformasi.

Justeru beliau telah mencadangkan Anwar dilantik menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.

"Saya sendiri mencadangkan kepada Biro Politik untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi bagi melicinkan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor," katanya.

Mengenai persoalan siapa yang akan dilantik menjadi menteri besar Selangor, Azmin berkata beliau akan patuh dan menghormati keputusan parti asalkan keputusan dibuat melalui proses rundingan, adil dan telus dalam semua perkara.

Namun di sebalik itu, beliau berkata sehingga kini beliau dan Adun-Adun PKR di Selangor belum dipanggil untuk memberi pandangan.

Malah, pihaknya juga belum mengetahui siapa yang akan diangkat untuk memegang jawatan tersebut.

"Inilah kebimbangan yang dizahirkan kepada saya oleh Adun-Adun PKR yang telah dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya lalu.

"Setakat hari ini Adun-Adun PKR belum lagi dipanggil untuk mendapatkan pandangan mereka tentang calon menteri besar.

"Saya dan rakan-rakan tidak tahu siapa dan nama yang diangkat sebagai calon kerana kami tak dipanggil berunding tentang perkara ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Azmin mengakui pihaknya telah menghantar surat kepada Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah bagi menyatakan keputusan yang telah diambil melalui rundingan dalam mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan PKR negeri pada Khamis.

"Ada nama yang telah dikemukakan kepada Presiden dan surat rasmi telah dihantar menyatakan keputusan yang telah diambil melalui rundingan.

"Kita serahkan kepada budi bicara Presiden untuk meneliti keputusan yang telah diambil dan mengambil langkah sewajarnya," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan berapa nama telah disenaraikan atau sama ada nama beliau termasuk dalam senarai.

1 comment:

Anonymous said...

Secara peribadi saya amat menyanjung pengorbanan saudara Azmin dan kegigihannya menjalankan kerja. Tetapi, tindakannya memanggil sidang akhbar bukanlah suatu tindakan yang bijak kerana lebih banyak buruknya dari baiknya. Apa yang saudara lakukan bak panas setahun rosak dek hujan sehari. Begitu jugalah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Kalau orang menuduh saudara yang bukan-bukan, jangan salahan mereka kerana mereka beranggapan demikian berasas kepada tindkan saudara yang pada saya agak gopoh ini. Saya harap saudar dapat mengambil pelajaran daripada kesilapan ini.