DNA Lelaki Y sebelum ini telah dikenal pasti serupa dengan DNA Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya itu.
Dr. Brian McDonald menyatakan demikian semasa menjawab soalan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden pada prosiding pembelaan terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh itu di Mahkamah Tinggi di sini.
Sebelum memberikan jawapan sedemikian, McDonald dilihat menjadi begitu defensif dari awal perbicaraan sehingga pada satu ketika 'meluahkan perasaannya' dengan mendakwa Mohd. Yusof cuba memutar-belitkan keterangannya dan keterangan-keterangan lain serta bukti-bukti yang telah dikemukakan.
Terdahulu, saksi pembelaan keempat itu ketika disoal mengenai degradasi sampel-sampel terutamanya berkaitan calitan-calitan putik kapas yang dibuat di bahagian rektum bekas pembantu peribadi Anwar itu menyatakan, adalah mudah untuk mengesan degradasi melalui analisis ujian elektroferograf.
Beliau turut mendakwa bahawa Ketua Unit Jenayah Berat, Jabatan Kimia Malaysia, Dr. Seah Lay Hong mengelak daripada menjawab soalan-soalan berhubung perkara tersebut apabila disoal oleh pihak pembelaan.
Lay Hong dalam keterangannya pada peringkat pendakwaan sebelum ini menyatakan bahawa terdapat kemungkinan berlakunya degradasi tetapi ia tidak begitu serius sehingga boleh merosakkan atau memusnahkan DNA pada sampel-sampel terbabit.
Bagaimanapun, McDonald ketika ditanya berdasarkan nota keterangan prosiding pakar kimia itu sebelum ini, adakah pihak pembelaan sendiri pernah menunjukkan sebarang bukti berhubung degradasi pada graf, kembali menyatakan bahawa Mohd. Yusof cuba memutar-belitkan keterangan.
Selain itu, saksi tersebut yang sebelum ini mempersoalkan mengenai proses pengasingan ekstrak DNA memaklumkan bahawa beliau 'pernah melakukannya tetapi bukan secara rutin'.
Sebaliknya, beliau lebih kepada mengawasi dan menyelia mereka yang melakukan proses tersebut sebelum tafsiran dibuat olehnya terhadap hasil ujian yang dijalankan.
Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.