Saturday, February 23, 2013
Najib Belasah Nik Aziz - Usah Hina Rakyat Jika Tidak Membantu
Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan rakyat perlu sedar dan menolak parti pembangkang yang jelas menghina rakyat yang menerima pelbagai bantuan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).
Perdana Menteri berkata apa yang sedang dan telah dilakukan kerajaan adalah satu tanggungjawab dan amanah bagi membela nasib rakyat.
"Kalau (pembangkang) tak buat (membantu rakyat), tak apa, (tapi) jangan hina rakyat, ini nak kata rakyat dapat BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) macam ayam makan dedak, kalau tak tolong, tak apa, tak bela, tak apa, tapi jangan hina rakyat," katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jelajah Janji Ditepati peringkat negeri Terengganu di sini, hari ini yang dihadiri lebih 20,000 rakyat pelbagai lapisan dan kaum. Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.
Perdana Menteri berkata sebagai sebuah kerajaan yang beramanah dan bertanggungjawab, kerajaan BN sedar bahawa pembelaan perlu diberikan kepada rakyat selaras dengan keperluan mereka.
"Menerusi BR1M sebanyak RM500 (setiap isirumah) itu, kita telah kira dalam sebulan (purata sebanyak) RM41.60, dapat beli sekampit beras 10kg, minyak masak 5kg dan lain-lain.
"Maknanya nak beli makanan untuk sekeluarga, cukup untuk 12 bulan," katanya.
Katanya kerajaan bukan sahaja memberikan BR1M yang telah memberi manfaat kepada 4.3 juta termasuk golongan muda, malahan bantuan awal persekolahan RM100 untuk setiap pelajar sekolah rendah dan menengah, baucar buku RM250 untuk setiap
penuntut institusi pengajian tinggi dan pelbagai lagi jenis bantuan, tidak termasuk subsidi minyak, beras dan sebagainya.
Beliau berkata kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai program selaras dengan slogan Janji Ditepati bagi membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat.
Najib berkata berdasarkan maklumat balas yang diterimanya, rakyat mendambakan masa depan yang cerah di bawah kepimpinan kerajaan BN.
"Kesimpulannya (kini), satu undi kepada PKR, adalah satu undi yang membawa kerosakan akidah kepada negara.
"Satu undi Pas, membawa kepada perpecahan umat Islam dan satu undi DAP adalah satu undi yang membawa kepada penindasan umat Islam," katanya.
Perdana menteri berkata, sebaliknya satu undi untuk BN adalah bagi mempertahankan umat Islam, keselamatan akidah Islam, perpaduan umat Islam, pembelaan bangsa Malaysia dan untuk mencapai sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
"Kerajaan yang ada hari ini mampu nak terus meningkatkan syiar Islam, bangunkan Islam. Bangunkan Islam ini tak boleh bercakap sahaja, tak boleh sekadar bersyarah sahaja tapi mesti mampu buat sesuatu, ambil tindakan, mampu lancar dan laksanakan seperti BN, " katanya.
Sebaliknya, Najib berkata, Pas yang kononnya memperjuangkan Islam, sanggup berlutut kepada DAP yang jelas memperlekehkan Islam.
"Kenapa (Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pergi rumah dia (Pengerusi DAP Karpal Singh semasa sambutan hari jadi), mana letak prinsip, pergi ke rumah orang yang paling tidak bersetuju (menentang Islam)," katanya. - Bernama
Hadi Kata Rakyat Yang Menerima BR1M Adalah Bodoh
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai 'bodoh'.
Beliau berkata bantuan tunai oleh kerajaan itu tidak akan mendatangkan keuntungan kepada rakyat namun hanya sebagai alat untuk Barisan Nasional (BN) memancing undi menjelang pilihan raya.
"Bantuan tunai itu adalah idea yang bodoh dan rakyat yang menerimanya sama bodoh," kata beliau pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dia Jalan Putra, malam tadi.
Majlis itu dihadiri lebih kurang 200 orang dan turut disertai Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Kenyataan Hadi itu disifatkan sebagai senada dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini yang menganggap penerima BR1M sebagai 'lembu dan ayam'.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan berkata Nik Aziz telah menghina rakyat Malaysia.
Pissstt Hadi lupa bahawa puak PAS pun berduyun- duyun beratur ambil duit BR1M.... Sebenarnya rakyat tak bodoh, Hadi yang bodoh!
200 Penyokong PAS Desak Azizan Undur
Kedah, Hampir dua ratus ahli dan penyokong Pas dalam Dewan Undangan Negeri, Kota Siputeh mengadakan protes pada Jumaat bagi mendesak peletakan jawatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai Pesuruhjaya Pas Negeri.
Protes itu berlaku di bilik gerakan peti undi Pas Megat Dewa bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kepimpinan Azizan.
Menurut mereka, Azizan dikatakan gagal menyelesaikan beberapa masalah rakyat di kawasan tersebut.
Selain itu, azizan juga dilaporkan menidakkan kehendak dan pandangan ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi selain pandangan dari Dewan Ulama Pas Negeri.
Dalam protes berkenaan, tiga lagi unit peti undi diisytiharkan tutup iaitu peti undi Megat Dewa, Kampung Sanglang dan Kampung Pering.
Hadir sama ialah Ketua Unit Peti Undi Megat Dewa; Zakaria Sham, Mustafa Baharom dari Peti Undi Kampung Pering dan Shahrul Nizam Shafie dari Peti Undi Kampung Sanglang.
Menurutnya, penutupan unit peti undi itu berkuatkuasa pada Jumaat sehingga ke satu tempoh yang belum dikenalpasti.
Penutupan unit peti undi itu akan berterusan sehingga Pas pusat dapat menangani masalah berkenaan dengan kadar segera.
Bahang PRU 13 Semakin Panas: Kuli Disebut Ganti Anwar Sebagai Calon PM Pakatan
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), calon Perdana Menteri pakatan pembangkang masih menjadi tanda tanya, malah portal berita tempatan melaporkan ada usaha menawarkan jawatan tersebut kepada pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah, bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sumber Pakatan Rakyat yang dipetik The Malaysian Insider mendakwa satu pertemuan telah diadakan antara pemimpin tertinggi PAS dengan Ahli Parlimen Gua Musang itu bagi menjemput beliau menjadi perdana menteri andai kata pembangkang mentadbir Putrajaya.
Namun sumber itu mengegaskan bahawa pembangkang perlu konsisten dalam isu bakal perdana menteri agar memberi persepsi yang baik kepada rakyat.
“Pakatan perlu ingat, mereka perlu konsisten dalam isu siapa bakal perdana menteri ini. Jangan nanti rakyat nampak kita Flip-Flop,” kata sumber berkenaan.
Turut dilaporkan satu mesyuarat tertutup antara PAS dan PKR telah diadakan Ahad lalu, mendakwa "pemimpin tertinggi PAS mengatakan 'haram' bagi Anwar untuk meminta jawatan perdana menteri", tambahnya.
Pemimpin tertinggi PKR kemudian berkata Anwar tidak pernah meminta jawatan sebagai perdana menteri sebaliknya rakyat yang mengangkat beliau.
"Ini sudah dipersetujui oleh PAS dan DAP semenjak pilihan raya umum 1999,” jelasnya.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan sebelum itu berkata PAS tidak teragak-agak untuk keluar daripada pakatan pembangkang sekiranya pengabungan itu tidak menguntungkan Melayu dan Islam.
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menyatakan sokongan konsisten terhadap Anwar sebagai calon perdana menteri, begitu juga dengan kepimpinan tertinggi DAP.
Namun langkah-langkah untuk menolak Anwar telah dinyatakan secara terbuka oleh akar umbi PAS sejak muktamar parti itu di Kelantan November tahun lalu.
Majlis Syura Ulama PAS sebelum ini dilaporkan dalam sebuah perbincangan tertutup melibatkan beberapa anggota majlis tersebut menolak Anwar sebagai calon perdana menteri pembangkang dan berkemungkinan melantik calon dari luar bagi menggalas jawatan tersebut.
AntaraPos
Friday, February 22, 2013
Arahan Dari Pemimpin Atasan PAS, Haram Sebut Anwar Ibrahim Sebagai Bakal PM
Pada 10 Februari 2013 lepas, Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa Majlis Syura Ulama yang dipengerusikannya tidak pernah membincangkan isu siapa yang layak dicalonkan sebagai Perdana Menteri selain daripada Anwar Ibrahim.
Menteri Besar Kelantan itu juga menyifatkan spekulasi yang mengatakan Majlis Syura Ulama PAS telah menolak idea untuk menobatkan Ketua Umum PKR sebagai PM sekiranya pakatan pembangkang memenangi PRU 13 hanyalah dakwaan mengarut ciptaan UMNO.
Penegasan oleh Nik Aziz itu tentunya melegakan Anwar dan pemimpin PKR serta DAP yang lain, sedikit sebanyak ia juga dapat mengendurkan perasaan gundah di kalangan penyokong PR yang kembali diselubungi misteri sama ada Anwar masih kekal sebagai calon utama PR sebagai PM atau sebaliknya.
Namun perkembangan akhir-akhir ini kelihatannya seperti mengiakan spekulasi sebelum ini apabila suara-suara penolakan terhadap Anwar semakin hari semakin kuat kedengaran, dan ditimbulkan sendiri oleh beberapa pemimpin utama PAS yang tidak termasuk dalam golongan Anwarinas.
Manakala maklumat terbaru yang diperolehi menyatakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang telah pun mengeluarkan arahan mengharamkan semua media milik PAS termasuklah akhbar Harakah dan portal onlinenya daripada menyebut atau menulis ayat yang membawa maksud Anwar adalah bakal PM.
Arahan pengharaman tersebut khabarnya sudah sampai ke pengetahuan Anwar menyebabkan Ketua Umum PKR itu menghamburkan kemarahannya semasa mesyuarat parti beberapa hari lepas.
Bukan satu rahsia pun, sebahagian besar penulis dan barisan pentadbiran dalam Harakah diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Anwar, jadi tidaklah pelik bagaimana arahan sulit sedemikian mudah sampai ke pengetahuan Anwar.
Tambah membara kemarahan Anwar lebih-lebih lagi arahan tersebut seperti mengesahkan lagi ura-ura PAS tika ini yang sedang berusaha menjarakkan diri dari PKR, satu tindakan yang dikira oleh Anwar sebagai satu pengkhianatan terhadap dirinya dan PR.
Bagi khalayak yang rapat dengan Hadi, arahan sedemikian bukannya sesuatu yang menghairankan sementelah lagi sejak di zaman ABIM lagi Presiden PAS itu agak kurang berkenan dengan pembawaan Anwar yang mementingkan diri dan tidak serasi sebagai pejuang gerakan Islam.
Malah ketika bekas Presiden PAS, Allahyarham Ustaz Fadhil Noor memulakan usaha menjalinkan hubungan kerjasama dengan Anwar melalui penubuhan GERAK diikuti dengan Barisan Alternatif (BA) dulu pun, Hadi sudah beberapa kali menyuarakan keraguannya terhadap kejujuran Anwar.
Selepas itu Hadi terpaksa memendamkan keraguannya sebagai menghormati teguran Allahyarham, bagaimana pun setelah selesai PRU 12 2008, tanpa menoleh ke belakang segera diaturkan perjumpaan dengan UMNO dalam usahanya untuk menjayakan kerjasama Kerajaan Perpaduan (UG).
Sekalipun usaha itu mendapat mandat penuh dari Majlis Syura Ulama PAS, akan tetapi beberapa ketika kemudiannya menemui jalan buntu berikutan campurtangan PKR dan DAP serta tekanan yang datangnya dari pemimpin-pemimpin pro Anwar dalam PAS.
Kini Hadi mengorak langkah lagi, sama ada ia memberi manfaat kepada PAS atau sebaliknya sukar ditentukan lebih-lebih lagi di saat sebahagian besar kepimpinan PAS tika ini berkiblatkan ideologi Anwarinas.
Persoalannya sekarang, selama mana media-media PAS seperti Harakah dan HarakahDaily serta lain-lain medium maya yang pro PAS mampu mengikuti arahan pengharaman tersebut? Adakah Anwar dan lain-lain pemimpin PR termasuklah golongan Anwarinas dalam PAS akan berdiam diri?
Jawapan kepada persoalan itu bergantung kepada tindakbalas Anwar dan pengikutnya terutama sekali selepas Parlimen dibubarkan diikuti dengan proses pencalonan nama bagi PRU 13 selesai dilaksanakan.
Tunggu dan lihat, gerakan siapa yang lebih ke depan tika itu. Tapi tak mustahil, belum pun Parlimen dibubarkan, gabungan PR yang membabitkan kerjasama longgar antara PKR, DAP dan PAS pula yang dibubarkan terlebih dahulu.
Subscribe to:
Posts (Atom)