Tuesday, August 16, 2011

Aktivis Parti Pas Menangis Kerana Pas Takbur, Tamakan Kuasa : Toleransi Dibalas Tamparan


Tulisan daripada seorang aktivis parti Pas, yang terlalu taksub kepada parti itu, tapi kini terpaksa menangis tersedu-sedu kerana kelakuan parti itu yang sudah tidak sedarkan diri, takbur dan menghalalkan cara, demi ketamakan kuasa politik mereka.

Ikuti tulisan Saudara ANUAR SAHUDIN, seorang yang mengaku percaya kepada idealisme perpaduan Pas-UMNO. Tulisannya bertajuk: Toleransi dibalas tamparan.

SEBENARNYA isu ini bukan isu baru. Tahun 2008 Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria telah menggemparkan negara apabila mendedahkan laporan Persatuan Paderi Malaysia yang mengisytiharkan lebih 230,000 umat Islam memeluk Kristian.

Umat Islam harus disedarkan oleh isu ini. Ini adalah akibat percakaran politik yang berlaku antara sesama umat Islam di negara ini, dan kelalaian kita. Iaitu antara UMNO dan Pas.

Pas perlu menyedari akibat tolakan ke arah perdamaian yang dihulurkan UMNO mengakibatkan musuh-musuh Islam bertambah berani menuntut pelbagai tuntutan yang sebelum ini jarang kedengaran, terutama kemuncaknya dalam isu kalimah Allah.

Dalam isu kalimah Allah umpamanya, 70 NGO Islam menolak hasrat Katholik, yang menerimanya hanya Pas dan Pakatan Rakyat (PR) sahaja.

Sepatutnya dalam isu-isu melibatkan kepentingan umat Islam dan Islam kita bersatu. Tetapi sebaliknya, demi untuk meraih undi, kepentingan puak dan parti politik Pas sanggup merugikan kepentingan sendiri, bahkan menjual agama. Saya bersetuju dengan pandangan Dr. Riduan Tee Abdullah bahawa dalam isu kalimah Allah umpamanya kita telah kalah. Dr. Riduan Tee berkata, misalnya terbaru, pertubuhan Kristian terus mencabar Kementerian Dalam Negeri berkaitan isu-isu sensitif seperti alkitab dalam bahasa Melayu, kalimah Allah dan sebagainya. Mereka mahu mengimport dan menterjemahkan al-kitab Melayu sebanyak yang mungkin.

Kenapa perkara ini perlu diperbesarkan sedangkan populasi mereka hanya di sekitar di bawah 10 peratus? Jawapannya juga mudah, mereka ada agenda lain. Kita yang terlalu bersangka baik dan terlalu menjaga hati mereka untuk mendapatkan undi. Sedangkan belum tentu mereka mengundi kita. Tidak cukupkah lagi kebebasan beragama yang diamalkan di negara kita? Ujar Dr. Ridhuan.

Isu usaha pemurtadan bukan isu baru dan berlaku di negara ini sahaja, tapi berlaku juga di negara jiran iaitu di Indonesia.

Sebuah majalah yang memenangi johan sebagai majalah berita Islam Terbaik 2010, Sabili, edisi 6 Januari 2011, mendedahkan, mengutip daripada pendedahan majalah Time bahawa tingginya pertumbuhan Kristian di Indonesia.

Majalah ini juga mendedahkan bahawa jumlah gereja adalah melebihi jumlah masjid, berbanding populasi penduduk kedua-dua pihak penganut agama di negara tersebut.

Sabili edisi 7 April 2011 mendedahkan terdapat usaha oleh Gerakan Global Gereja menyasarkan Indonesia tahun 2020 bermajoriti pemeluk Kristian.

Majalah yang sama pula mendedahkan Anwar Ibrahim menerima penghargaan daripada sebuah agensi Yahudi bernama Rand Corporation, sebaris dengan tokoh Jaringan Islam Liberal Indonesia seperti Ulil Absar Abdalla dan Azyumardi Azra kerana jasa-jasanya dalam mendukung kebebasan bersuara (kebebasan yang terlajak. Indonesia menyebutnya kebablasan).

Kalau anda membaca majalah di atas anda akan selalu mendapati ada saja usaha pemurtadan berlaku setiap hari di sana. Antara cara yang mereka guna untuk memurtadkan umat Islam ialah dengan memujuk secara halus, iaitu dengan menghulurkan bantuan kewangan, makanan, atau keperluan harian. Malah usaha ini telah pun berlaku sejak zaman Almarhum Prof. Dr. Hamka lagi.

Jadi eloklah umat Islam di Malaysia mengambil iktibar dan peringatan apa yang ditulis oleh almarhum sekitar tahun 70-an dulu lagi. Memang pihak Kristian tidak pernah jera dan suka memprovokasi umat Islam. Tambahan pula apabila melihat kita terpecah-belah seperti saat ini.

Elok saya petik sebahagian tulisan Almarhum Prof. Dr. Hamka untuk renungan bersama:

‘‘Kita kaum muslimin sebagai golongan terbesar jumlahnya di negeri ini (Indonesia) telah menerima dengan puas dasar Pancasila. Sebab selalu dijelaskan, bahawa sumber dari sila yang empat ialah sila pertama; Ketuhanan Yang Maha Esa. Kita sudah merasa tenteram dengan akidah itu. Tetapi rupanya misi Kristian, dengan perbelanjaan berjuta dolar dari luar negeri datang ke mari membonceng Pancasila itu. Mereka terima Pancasila, tetapi bukan seperti yang kita fikirkan selama ini, bahawa Allah itu Esa adanya.

“Dengan membonceng Pancasila mereka menyebarkan ajaran pengganti ajaran Lailahaillallah itu, dengan mengeluarkan wang berjuta pound sterling dan dolar mereka hendak menukar Ketuhanan Yang Maha Esa itu dengan tafsiran menurut ajaran mereka, iaitu “Tidak ada Tuhan melainkan tiga, dan tiga itu ialah satu”. Allah Bapak ialah Yesus, dan Yesus itu ialah anak, dan anak itu ialah Bapak. Kumpulan ini minta dihormati. Mereka minta tanah, walaupun di tengah-tengah kampung orang Islam yang ber-Ketuhanan Yang Maha Esa sejati; demi Pancasila. Menurut keyakinan mereka, agama Islam ini belum sah. Kita masih kafir kalau kita belum mengakui bahawa Nabi Isa itu adalah Tuhan. Bahawa Nabi Isa itu adalah Allah sendiri yang menjelma menjadi manusia.”

Tulis Prof. Dr. Hamka lagi: Pada suatu malam seorang ulama besar di Jakarta bernama K.H.S.S. Djam‘an mengupas dan menafsirkan ayat al-Quran, surah al-Kahfi, ayat 4 dan 5; “Dan (Nabi itu) mengancam (masuk neraka) orang-orang yang berkata bahawa Allah mempunyai anak. Tidak ada pengetahuan mereka yang benar tentang itu, dan tidak pula nenek moyang mereka. Amat beratlah kata-kata yang keluar dari mulut mereka itu; tidak ada kata-kata mereka itu melainkan bohong semata-mata.”

Kiai Djam‘an yang telah seumur hidup menjadi guru Islam dan mubaligh, dengan sepenuh iman menerangkan pokok sendi kepercayaan Islam itu, kerana menafsirkan ayat itu telah mengalami satu hal yang selama hidupnya tidak disangka-sangka. Beberapa saat setelah habis beliau memberikan penerangan itu, rumah beliau dikepung oleh beberapa pemuda Kristian yang galak dan gagah berani. Beliau dituduh kerana membuka tafsir ayat itu, menuduhnya anti Pancasila.

Kiai Djam‘an dipanggil ke Balai Polis kerana ada laporan beliau anti Pancasila.

Tidaklah mustahil pada akal, dalam beberapa tahun lagi, kalau umat Islam masih lalai dalam mempertahankan pokok akidahnya, bahawa nasib kita di sini akan sama dengan dengan nasib umat Islam di Ethiopia.

Golongan minoriti suku Amhara, iaitu suku Kaisar Haile Selassi sendiri menindas umat Islam, dan menjalankan rencana mengkristiankan mereka dengan seluruh alat kekuasaan yang ada.

Apalagi kalau umat Islam di sini masih saja bercakar-cakaran kerana perebutan pengaruh sesamanya.

Kalau orang sudah berani mengepung tempat mengajar Kiai Besar ternama, mubaligh dan Guru Agama Islam yang telah berjuang sejak kecil untuk menegakkan tauhid dalam negeri ini, bagaimana dengan kita?

Sudah sampai begini sekarang, saudaraku kaum muslimin. Dan kita disuruh toleransi. Saya mengatakan Islam dalam bahaya. Dahulu bahaya komunis, sekarang bahaya gerakan Kristian yang menumpahkan dan menumpukan seluruh kekuatannya buat mengkristiankan umat Islam dalam negara kita.

Saya tidak membenci kawan sebangsa yang berlainan agama, tetapi saya menentang subversif kerohanian yang datang dari luar.

Prof. Dr. Hamka berkata lagi: ‘‘Sebagai putera Indonesia, saya setia dengan Pancasila, apa lagi dasar pertama ialah percaya kepada Tuhan Yang Maha Esa. Bukan saja saya, apalah ertinya saya! Tetapi seluruh umat Islam dan pemimpinnya yang belum dapat dibeli oleh pujukan duniawi, akan tetap menegakkan toleransi dalam negeri ini. Akan tetap berkasih sayang dengan pemeluk agama yang lain. Tetapi saya dan seluruh kaum muslimin akan menentang seluruh aksi dan seluruh kecurangan yang dilancarkan dengan nama agama.”

Gerakan untuk mengkristiankan Melayu Islam di negara ini merupakan perancangan antarabangsa dan ia telah lama dikesan. Contohnya pendedahan buku Rencana Pendirian Persemakmuran Kristian di Asia Tenggara - Surat Arroyo Kepada Bush, tulisan-tulisan Dr. Adian Husaini, Ketua Dewan Dakwah Islamiah Indonesia (DDII), dalam bukunya yang berjudul Membendung Arus Liberalisme di Indonesia, dan tulisan-tulisan Dr. Riduan Tee Abdullah.

Sebaliknya malang apabila Haji Hadi (Presiden Pas) terus mengambinghitamkan UMNO dengan menuduh bahawa isu ini hanya helah BN untuk menutup isu pilihan raya bersih.

Kenyataan Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Abdullah Md Zin patut disokong semua pihak. “Apa saja usaha atau tindakan menyebarkan agama lain kepada umat Islam di negara ini dianggap bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan ia perkara serius dan perlu diambil tindakan tegas.”

Pas misalnya sering menuduh UMNO tidak Islamik, menolak Islam, dan itu dan ini.

Mereka membutakan mata atas pengiktirafan Syeikh Al-Azhar bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam terkehadapan, dan mengiktiraf peranannya di mata dunia.

Bukan itu saja, Dr. Adian Husaini, Ketua Dewan Dakwah Islamiah Indonesia (DDII), yang bukunya berjudul Wajah Peradaban Barat, turut memuji Malaysia, bahkan katanya pelaksanaan Islam di Malaysia jauh lebih baik berbanding Indonesia, padahal Indonesia hampir 90 peratus penduduknya beragama Islam, manakala Malaysia cuma kira-kira 55 peratus lebih sedikit, tapi Malaysia lebih komited dan lebih unggul dalam menjaga kesucian agamanya.

Perkim contohnya berjaya mengislamkan kira-kira tiga ribu orang bukan Islam setiap tahun, menjadikan Malaysia hari ini adalah sebuah Negara Islam yang paling berjaya dalam bidang dakwah. Contoh-contoh lain banyak, yang rasanya tidak perlu penulis mengulanginya lagi di sini.

Pemerintah Malaysia berjaya melaksanakan Islam dengan baik, dalam keadaan sebagaimana disebut di atas, walaupun kita belumlah berpuas hati sepenuhnya, padahal Prof. Dr. Hamka menulis dalam Tafsir Al-Azhar halaman 1752, terbitan Pustaka Nasional, cetakan pertama 1983, “Kerana kita pun tahu bahawasanya untuk mencapai suatu cita-cita yang sah dan luhur, wajib juga kita mempertimbangkan ruang dan waktu. Dan tidaklah kita diberi beban oleh Allah melebihi daripada tenaga dan kemampuan yang ada pada kita.

Sebab pekerjaan membentuk undang-undang dari sebuah negara yang telah didirikan dengan kesepakatan segala golongan itu, padahal negara itu dahulunya bekas jajahan, bukanlah semudah apa yang dikhayalkan oleh fikiran.”

Lalu kita balik bertanya kepada Pas, apakah tolakan mereka supaya berdamai dan bersatu oleh UMNO, padahal ini sangat diperintahkan oleh Islam, dalam masa yang sama lebih rela bersekongkol dengan pihak yang jelas-jelas ekstrem, iaitu DAP, yang mengatakan “kalau mahu dirikan negara Islam, langkah mayat saya dulu,” memaki hamun, dan seolah-olah apa yang kerajaan buat tidak ada satu pun yang baik, padahal mereka menikmati berbagai kemudahan dan rezeki di bawah pemerintahan yang mereka anggap jahat dan tidak Islamik.”

Apakah juga parti Keadilan pimpinan DSAI yang penuh kontroversi itu lebih Islamik dan tidak sekular? Dan mereka yang sanggup mengecam saudara sesama Islamnya sebagai syaitan. Beginilah bunyinya pantun seorang pentakfir Pas dari Rantau Panjang, Kelantan, sekitar tahun 1999:

Wa wa bule, wa bule teraju tigo

Undi parti Isle, mati seksok masuk surgo

Wa wa bule, wa bule teraju tigo

Undi parti sete, mati seksok masuk nerko

(Wau wau bulan, wau bulan teraju tiga

Undi parti Islam, mati nanti masuk syurga

Wau wau bulan, wau bulan teraju tiga

Undi parti syaitan, mati nanti masuk neraka)

Apakah ini lebih Islamik, dan layak keluar dari sebuah pertubuhan yang mendakwa sebagai sebuah gerakan Islam, yang membawa-bawa nama Rasulullah SAW? Renung-renungkanlah. Penulis bersetuju dengan pandangan Dr. Riduan Tee Abdullah, bahawa masa bermain-main sudah tamat. Sekarang adalah masa bekerja dan memikirkan masa depan umat Islam secara keseluruhan.

Ingatlah! Orang kafir sentiasa merancang untuk memusnahkan Islam. Tanpa putus asa, mereka sentiasa mengkaji setiap kelemahan umat Islam.

Strategi ini tidak pernah berhenti kerana ia adalah senjata yang paling berkesan. Menunggu masa sahaja untuk menggunakan senjata itu sepenuhnya. Hari ini senjata tersebut telah pun digunakan. Mungkin kita buat-buat tidak berapa perasan. Situasi yang dihadapi oleh umat Islam hari ini dimanipulasikan sepenuhnya. Ini bukan masa untuk saling menyalahkan antara satu sama lain, sebaliknya inilah masanya untuk insaf dan bersatu merapatkan saf.

Inilah masanya untuk mengikuti jejak Fatah dan Hamas yang berdamai, lalu kita pertahankan agama dan perkukuhkan kekuatan kita. Apabila kita bersatu dan teguh percayalah tidak akan ada mana-mana pihak berani bersikap kurang ajar, biadap dan mengambil kesempatan meraup keuntungan. Strategi mereka memang licik dan penyamaran mereka memang halus. Mudah-mudahan kita tidak terus buta!

Sumber: Zaini Hassan

No comments: