Tuesday, December 6, 2011

DS Najib : Masa Depan Melayu ‘Gerhana’ Jika Pakatan Menang PRU !


Masa depan bangsa Melayu akan gerhana dan negara pula akan menghadapi pelbagai ancaman sekiranya Barisan Nasional (BN) gagal mengekalkan pemerintahan pada pilihanraya umum akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata, rakyat Malaysia tidak mempunyai pilihan lain yang boleh menjamin masa depan negara, melainkan mengekalkan pemerintahan yang sedia ada.

Berucap kepada kira-kira lima ribu anggota Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), di Shah Alam, Isnin, Najib berkata, rakyat Malaysia, terutama bangsa Melayu dan umat Islam perlu bertanya kepada diri sendiri apa akan terjadi jika pemerintahan di dalam negara tersungkur dan rebah.

“Apa akan terjadi kepada agama Islam kalau kita sudah hilang taring dan kekuatan? Apa akan terjadi kepada Raja-Raja Melayu kalau kita tiada lagi untuk memuliakan? Apa akan terjadi kepada anak cucu kita kalau kita tak dapat mendokong dasar-dasar yang boleh memperjuangkan untung nasib mereka?

“Jika kuasa terlepas, Nauzubillah! Kalau kuasa terlepas, segala cita-cita kita akan terkubur dan masa depan kita akan bertukar menjadi penuh dengan gerhana. Kalau kita hendak melakukan sesuatu, ia hanya mungkin menjadi realiti dan kenyataan kalau kita ada kuasa,” katanya.

Najib berkata, dalam pemerintahan negara-negara yang tidak mengamalkan sistem demokrasi, kuasa mungkin ditentukan oleh laras senapang ataupun di atas regim kuku besi.


“Tetapi dalam sebuah negara seperti Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi secara terbuka, kuasa politik tetap datang dari rakyat dan selagi kita berjuang untuk rakyat dan kerana rakyat, Insyaalah, rakyat akan tetap mempertahankan kedudukan kita,” katanya.

Najib berkata, rakyat Malaysia, terutama orang Melayu dan Islam tidak ada pilihan melainkan menegakkan pemerintahan yang ada kerana golongan yang menawarkan pilihan alternatif itu belum tentu lebih baik.

“Adakah Pilihan Alternatif itu lebih baik? Apakah kita boleh jamin kekuasaan kita tidak akan cair ataupun terhakis? Bagaimana martabat Melayu dan Islam kalau sekiranya belum ada kuasa lagi mereka sudah mahu meruntuhkan apa yang kita telah bina selama ini?

“Belum ada kuasa lagi mereka boleh kata nak kurangkan perkhidmatan awam dengan separuh. Siapa yang akan jadi mangsa kalau ratusan ribuan penjawat awam dibuang kerja mengikut perancangan mereka? Kalau mereka kurangkan pentadbir awam, guru, polis dan tentera, siapa yang akan jadi mangsa?

“Belum ada kuasa lagi mereka berani mengatakan bendera Malaysia nak diubah. Belum ada kuasa lagi mereka sudah mula mencemar kemuliaan Raja-raja Melayu. Belum ada kuasa lagi mereka mempersoalkan dasar-dasar untuk membantu orang Melayu dan Bumiputera.

“Mereka sentiasa mempertikaikan bahawa orang Melayu tidak pernah berlaku adil kepada bukan Melayu.

“Orang Melayu tidak pernah bersikap pelampau di buminya sendiri. Orang Melayu tidak pernah menjadi bangsa yang rasis. Orang Melayu sejak Merdeka lagi telah sanggup berkongsi kuasa dan memberi apa yang adil kepada mereka,” katanya lagi,

Menurut Najib, kerajaan telah mengamalkan pendekatan Wassatiyyah sejak dulu lagi dan menolak kefahaman yang ekstrim. Katanya sejak Merdeka, orang Melayu telah menghulur tangan kepada bukan Melayu untuk membina sebuah negara yang bersatu dan makmur.

Sehubungan itu Najib memberi amaran supaya jangan ada pihak yang mahu terus menerus mencuit perasaan orang Melayu dengan mengubah apa yang sudah termaktub dalam perlembagaan.

“Kita tidak mahu sesiapa cuba untuk merungkai perkara-perkara yang sudah diputuskan. Kita mesti membina sebuah negara Malaysia berasaskan perlembagaan yang sedia ada. Perkara-perkara asas tidak wajar dan tidak perlu dipertikaikan dan dirundingkan semula.

Najib menegaskan, kerajaan tidak akan menjanjikan sesuatu yang tidak mungkin ia mampu beri, berbanding dengan orang yang tidak ada kuasa yang boleh menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala.

“Berilah kepercayaan kepada kita kerana kita akan melakarkan masa depan yang jauh lebih baik. Kita tak menjanjikan sesuatu yang kita tak mungkin boleh beri. Orang yang tak ada kuasa boleh janji beri bulan dan bintang dan cakerawala. Tetapi kita janji apa yang boleh kita sajikan kepada rakyat dengan berpaksi kepada realiti sebenar,” katanya.

Najib mengingatkan rakyat, sekiranya mereka silap membuat perhitungan dan pilihan, Malaysia boleh mengalami nasib seperti Greece yang muflis dan Itali yang sedang mengalami masalah kegawatan ekonomi.

“Kalau pilihan kita tersasar, maka nasib yang sama boleh menimpa kita,” katanya.

Najib juga menyeru PEKIDA supaya menjalankan tanggungjawab sebagai organisasi yang boleh menyatupadukan orang Melayu dan umat Islam.

“Kalau kita berbalah, kita akan hilang kekuatan. Kita tidak akan benarkan bangsa kita dihina atau diinjak oleh sesiapa. Kita tak mahu bangsa kita menjadi bangsa yang bangsat di buminya sendiri. Kita akan pertahankan dengan segala kekuatan yang ada dan tidak akan berundur seincipun,” katanya.

Terdahulu, ahli-ahli PEKIDA telah mengangkat sumpah bai’ah untuk tetap setia bersama UMNO bagi memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang.

Perhimpunan berkenaan turut dihadiri Presiden Pekida Jamaluddin Yusof, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor yang juga Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam. -Agendadaily

No comments: