Wednesday, October 10, 2012

Bos-Bos PAS Hala 'Senapang Gajah' Ke Arah Nasharuddin Mat Isa...


Agendadaily - Seperti yang diduga muncung senapang gajah dari 'kawan-kawan seperjuangan sendiri' mula dihalakan ke arah bekas Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa berikutan kenyataannya berhubung perpaduan ummah di PWTC semalam.

Pada Rabu, di lobi Parlimen, beberapa pemimpin PAS (geng Erdogan) mula buat macam-macam kenyataan balun Ahli Parlimen Bachok itu. Yang paling lantang siapa lagi kalau bukan Khalid Samad, dalam sidang media di lobi Parlimen, Khalid tuduh Nasharuddin mengamalkan pendekatan politik murahan dengan menimbulkan isu khususnya menjelang Pilihanraya Umum ke 13.

Katanya, "sebelum ini dia (Nasharudin) mengeluarkan kenyataan yang keahlian (dalam PR) sudah tak penting, ini sudah tak penting, kita tahu itu yang dia nak."

"Ini politik murahan. Kenapa baru sekarang nak keluarkan kenyataan, kita bekerja dengan DAP bukannya semalam, kenapa baru sekarang nak timbulkan isu.

"Bagi saya ini adalah tindakan yang direncanakan dan dirancang oleh Umno dengan tujuan nak timbulkan masalah dalam PR dan Pas,

Ahli Parlimen Shah Alam itu juga mendakwa Nasharuddin mengikut telunjuk "orang luar".

"Bagi saya tindakan direncana dan dirancang oleh orang luar PAS... Letak sajalah UMNO... (Untuk) timbulkan masalah dalam Pakatan dan PAS.

"PAS ada majlis syura dan apa-apa tindakan jika bercanggah dengan Islam majlis syura akan bersuara," katanya.

Nasharuddin dalam ucapan di Seminar Dakwah Nasional semalam menyeru perpaduan ummah dan pelik melihat perpaduan antara dua parti politik Melayu UMNO-PAS seolah-olah 'taboo' pada sesetengah pihak.

Nada yang sama juga diluahkan oleh Naib Presiden PAS Mahfuz omar yang mendakwa kenyataan Nasharudin telah "menyentuh dan mencabar" keputusan Majlis Syura apabila mendakwa parti itu kini mengutamakan kuasa dan meletakkan prinsip Islam di tempat kedua

Ahli Parlimen Pokok Sena ini berkata, sebagai sebuah parti politik, PAS memang memerlukan kuasa dan usaha ini diteruskan dari dahulu sehingga sekarang.

Katanya, aspek itu yang diputuskan oleh Majlis Syura selaku badan tertinggi membuat keputusan dalam Pas.

"Jadi, apabila Ustaz mempertikaikan pendirian parti, bermakna beliau telah menyentuh dan mencabar Majlis Syura sendiri," katanya.

Nasaruddin dalam ucapan selama 20 minit di Seminar Dakwah Islamiyyah Sebagai Tunggak Kekuatan Ummah itu mengingatkan pemimpin PAS agar jangan terlalu kejar kuasa hingga meminggirkan prinsip perjuangan.

Ahli Majlis Syura PAS berkata, dalam konteks politik hari ini, masalah perpecahan umat sering dilupakan sedangkan ia adalah masalah utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Kata Nasharudin, beliau turut hairan mengapa usaha untuk membincangkan masalah umat Islam terutamanya melibatkan dua parti terbesar orang Melayu Islam iaitu parti Umno dan Pas sering dilihat 'taboo'.

"Jika umat Islam negara ini terus berpecah belah, apakah yang bakal terjadi kepada umat untuk lima, 10 atau 15 tahun lagi? Adakah umat Islam tergelincir?

"Adakah agama mengajar umatnya meletakkan ajaran Islam di tempat kedua semata-mata mahu mendapatkan kuasa?" katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pulak nampak berlembut ketika mengulas kenyataan Nasharuddin semalam.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata komen Nasharuddin agar PAS tidak mengutamakan kuasa semata-mata sehingga sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua itu bukan sesuatu yang pelik.

"Saya tidak melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau (Nasharudin) sebagai sesuatu perkara yang pelik... apa yang diperkatakan adalah sebagai memperingati dasar perjuangan kita," katanya dipetik sebuah portal berita.

Sehubungan itu tegas beliau, untuk memerintah, kuasa yang diperoleh menerusi pilihan raya akan memberi jalan untuk melaksanakan dasar perjuangan PAS.

"Bagi pendapat saya, kuasa yang ada akan memberi kita jalan untuk memerintah," kata beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang.

Justeru, beliau turut tidak menafikan berbeza pendapat dengan orang lain juga sebagai perkara biasa.

"Saya memberikan contoh, dasar PAS tidak pernah berganjak, berbeza pendapat dengan parti lain akan terjadi," tambah beliau.

Akhir Ogos lalu, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat menyerahkan isu Nasharudin yang meminta Pas keluar dari PR, berhubung isu hukum hudud, kepada Majlis Syura untuk membincangkannya.

Majlis Syura yang mengadakan mesyuarat awal bulan lalu dilaporkan tidak membincangkan kedudukan Nasharuddin itu.

-Agendadaily

1 comment:

Anonymous said...

takpe. Ahli ada. Khalid Samad jadi mangsa pertama.