Sunday, January 27, 2013

Kalimah Allah: PAS Boleh Hilang Identiti Peneraju Kepimpinan Islam


Isma Malaysia – Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Mohd Hazizi Abdul Rahman, menyatakan bahawa PAS mungkin akan hilang identiti sebagai peneraju kepimpinan Islam sekiranya mereka tunduk kepada desakan DAP dan PKR.

Beliau berkata demikian ketika mengulas desakan yang dikeluarkan oleh pimpinan DAP dan PKR supaya PAS mengkaji semula keputusan Majlis Syura Ulama PAS berhubung isu kalimah Allah.

Ustaz Hazizi berkata, PAS mesti berani membuat keputusan yang besar dan bukan sekadar mengejar sokongan demi kepentingan politik semata-mata.

“PAS sepatutnya membuat keputusan yang besar dan berwibawa.

“Satu cabaran buat PAS jika nak menerajui negara, mereka kena berani membuat keputusan dalam PR, bukan sekadar nak mengejar sokongan sekutu,” jelasnya.

DAP dan PKR menyerlahkan identiti sebenar mereka apabila Karpal Singh dan Azmin Ali mendesak pimpinan PAS untuk mengkaji semula keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS.

Merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh DAP dan PKR, Ustaz Hazizi menyatakan bahawa PAS kini berada dalam satu pakatan yang bertentangan ideologi.

“Parti-parti yang lain berpegang pada ideologi barat dan mekanisme mereka (DAP dan PKR) untuk membuat keputusan tidak perlu merujuk kepada ahli agama.

“PAS berada dalam PR yang bertentangan ideologi, mereka nak Islam tetapi DAP dan PKR tak nak,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Setiausaha Biro Politik ISMA menyarankan bahawa rakyat perlu bijak membuat keputusan memilih calon yang berpegang teguh dengan prinsip Islam.

“Rakyat perlu buat keputusan samada memilih calon yang berpegang dengan prinsip Islam atau selainnya.

“Jangan ikutkan sangat gaya politik ideologi barat kerana Islam sudah ada mekanisme untuk membuat keputusan antaranya syuro dan tak sama dengan pemilihan keputusan mengikut ideologi barat,” katanya lagi.

No comments: