Tuesday, January 29, 2013

Ke Mana Haluan Nasharudin Selepas Ini?


Meneliti perkembangan terbaru Nasharudin Mat Isa – selepas dipecat keahlian dalam Majlis Syura Ulama PAS dan tidak disenaraikan bertanding dalam PRU 13, timbul persoalan : Ke mana haluan bekas Timbalan Presiden PAS itu.

Adakah beliau akan terus kekal jadi beg tinju dalam PAS atau mengambil keputusan meninggalkan parti tersebut?

Mengenali Nasharudin yang sentiasa memegang prinsip, beliau tidak mungkin keluar parti dan perkara ini sudah ditegaskan ahli parlimen Bachok sebelum ini ketika desas desus beliau akan dipecat dari parti
ekoran kenyataan-kenyataannya yang tidak menyenangkan sekutu PAS iaitu DAP dan PKR.

Nasharudin tidak mungkin meninggalkan parti dan tidak mungkin menyertai UMNO –itu ramalan yang selamat.

Namun siapa tahu kemungkinan beliau dipecat sebagai ahli PAS pula selepas ini.

Hubungan baik beliau dengan pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh diertikan bahawa beliau akan menyertai UMNO kerana pembabitannya tiada kaitan politik sebaliknya dalam konteks agama dan perpaduan.

Buat sementara, beliau pasti memilih kekal dalam PAS walaupun ada kemungkinan parti tidak akan memandangnya walaupun dengan sebelah mata.

Kekal dalam parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu bermakna beliau akan terus jadi modal kritikan pemimpin tertentu PAS yang dikenali geng Anwarinas kerana condong memihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apatah lagi Nasharudin sudah menegas bahawa perjuangan mendaulatkan Islam akan diteruskan dan beliau akan terus memberikan sumbangan terbaik kepada mana-mana pihak yang mengutamakan perkara itu.

Namun bagai pepatah, jika takut di lambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Beliau tentu tidak hairan segala kecaman daripada mereka yang dulunya menganggap beliau rakan seperjuangan kerana Nasharudin lebih bermaruah daripada mereka.

Seandainya Nasharudin terus dengan kritikan dan teguran ikhlas terhadap parti, PAS tiada pilihan lain kecuali memecat keahliannya.

Gambaran tindakan itu sudah terbayang dalam benak fikiran bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang menghadapi nasib hampir sama dengan Nasharudin.

Malah Presiden Jalur Tiga (JATI)itu menyifatkan pemecatan ahli Majlis Syura Ulama, Nasharudin Mat Isa sebagai tidak memeranjatkan.

Kata beliau, tanda-tanda pemecatan tersebut jelas ditunjukkan oleh PAS sejak dari awal kelantangan Nasharudin menegur parti itu dan yang terbaru sekali lagi melihat keterlibatan bekas Timbalan Presiden PAS itu dengan program kerajaan.

"Sejak dari awal lagi tanda-tanda ke arah itu telah kelihatan dengan jelas. Ustaz Nasharudin dilabelkan sebagai pro-kerajaan perpaduan yang akhirnya dilabelkan pula sebagai pro-umno apabila beliau dilihat
mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib bertemu dengan para ulama di Mekah dan yang terakhir ke bumi Palestin.

"Nasharudin juga tidak disenangi oleh rakan-rakan Pakatan Rakyat dan pimpinan parasit parti apabila beliau secara terbuka menghentam pengerusi parti DAP, Karpal Singh yang bertindak menghina Islam
sehingga beliau telah mencadangkan supaya PAS mengkaji semula kedudukan tahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut Hasan berkata keputusan Majlis Syura ini menjadikan parasit parti dan Anwarinas yang telah lama mencari peluang menjatuhkan Nasharudin dapat menarik nafas panjang kerana selama ini
cita-cita mereka dihalang oleh kedudukan Nasharudin dalam badan itu.

Malah kata beliau, kedudukan Nasharudin kini yang hanya kekal sebagai ahli PAS bakal menjadikannya menerima nasib yang sama seperti Hasan sendiri, iaitu dipecat dari parti.

"Saya yakin selepas ini Ustaz Nasharudin akan menerima nasib yang sama seperti saya iaitu dipecat daripada menjadi ahli PAS.

"Kedudukan Ustaz Nasharudin kini lebih lemah dari kedudukan saya ketika dipecat kerana beliau merupakan ahli biasa parti sementara saya sewaktu dipecat adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ahli Lujnah Politik dan mewakili PAS dalam Exco Kerajaan Negeri Selangor,"ujarnya.

Jika jodoh Nasharudin dengan PAS sudah berakhir bab kata Mursyidul Am PAS, suami isteri pun boleh bercerai..siapa agaknya pilihan hati Nasharudin?

Ambil kira kenyataannya bahawa beliau akan terus memberikan sumbangan terbaik kepada mana-mana pihak yang mendaulatkan Islam, tidak mustahil Nasharudin akan menyertai JATI pimpinan Dr Hasan.

Lagipun, Dr Hasan dan Nasharudin memang rapat sejak dahulu malah ketika parti memecatnya dan kerajaan Selangor mengugurkan jawatan Exco, Nasharudin hadir di rumah Dr Hasan menyatakan sokongan peribadi.

Tentu menarik melihat kerjasama mereka berdua khususnya untuk memartabatkan Islam.

Lagipun, sudah ramai pemimpin dan penyokong PAS bersama-sama Dr Hasan dalam JATI.

Cuma mungkin yang tidak lena tidur kelak adalah pemimpin-pemimpin PAS kerana Dr Hasan dan Nasharudin yang dulu kawan kini bakal jadi lawan.

-Agendadaily

1 comment:

Anonymous said...

Ustad disyorkan keluar dari past dan tubohkan parti yg betul2 memperjuangkan islam parti PAS(Parti Agama SeMalaysia) yg mesra BN kerana sama2 nanti dpt berjuang utk agama bangsa dan negara.Marilah penyokong tulen parti past beramai2 ikut ustad. Tinggalkan parti past berhijrah demi kemulian.