Thursday, January 17, 2013

PAS Dicabar Keluar Pakatan


Ahli Parlimen bebas, Zulkifli Noordin mencabar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta kepimpinan eksekutif parti menarik balik dan membatalkan persetujuan bersama DAP-PKR membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah. Seterusnya klik pada tajuk entri....


Beliau juga mencabar mereka menegur dan menasihatkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menarik balik desakan untuk membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah.

“Kalau Guan Eng enggan, Presiden dan kepimpinan eksekutif serta Majlis Syura PAS tidak ada pilihan selain daripada bermufaraqah dengan DAP-PKR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkifli mengalu-alukan Majlis Syura PAS yang memutuskan kalimah Allah hanya boleh dipakai oleh umat Islam dan tidak boleh dipakai dalam bentuk bertulis atau bercetak oleh bukan Muslim.

Namun beliau mempersoalkan mengapa Majlis Syura tidak menasihatkan dan mengarahkan Presiden PAS supaya menarik balik dan membatalkan persetujuan yang dibuat bersama DAP-PKR untuk membenarkan Kristian menggunakan kalimah Allah.

Kata Zulkifli lagi, mengapa Majlis Syura tidak menegur dan menasihatkan rakan sekutu PAS iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Guan Eng supaya menghentikan polemik penggunaan kalimah Allah oleh Kristian.

“Dan menasihatkan mereka supaya menarik balik dan membatalkan cadangan itu,” tambahnya lagi.

Bagaimana lisan?

Namun beliau mempersoalkan mengapa larangan hanya kepada penggunaan kalimah Allah oleh bukan Muslim dalam bentuk tulisan atau bercetak.

“Bagaimana dengan lisan, adakah ianya dibenarkan. Kalau alasan keputusan Majlis Syura adalah kerana kalimah Allah hanya khusus untuk Muslim, sudah pasti ianya tidak boleh digunapakai oleh bukan Muslim dalam semua bentuk sama ada bertulis, bercetak mahupun lisan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Majlis Syura mengambil masa begitu lama untuk berbincang dan membuat keputusan perkara tersebut.

Katanya, setelah Guan Eng yang mencetuskan isu ini mendesak penganut Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu semasa perayaan Krismas 25 Disember lalu, sudah lebih tiga minggu isu ini berlalu.

Menurut Zulkifli, sudah banyak bantahan dan protes dibuat oleh umat Melayu-Islam, berbuih mulut para ulama termasuk Majlis Fatwa membuat bantahan terhadap kenyataan Guan Eng itu, malah setelah Presiden PAS sendiri membuat kenyataan bersama DAP-PKR bersetuju kalimah Allah digunapakai oleh Kristian, barulah Majlis Syura nak berbincang dan membuat keputusan.

“Adakah keputusan ini sekadar cuba mengalih kemarahan umat Melayu-Islam kepada kepimpinan PAS, atau untuk meraih sokongan dan undi umat Melayu-Islam yang semakin merosot kepada pembangkang termasuk PAS,” tambahnya.

Mesyuarat Majlis Syura iaitu badan tertinggi PAS yang dipengerusikan oleh Murysidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Ahad lalu memutuskan kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam.

Manakala dalam mesyuarat Pakatan Rakyat seminggu sebelum itu, Abdul Hadi mengumumkan orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah itu di Bible bahasa Melayu -FMT

No comments: