Thursday, January 31, 2013

Peneroka Kesedar Bantah Kerajaan Pas Kelantan


GUA MUSANG: Kira-kira 100 peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT ) di kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Lebir hari ini mengadakan bantahan secara aman bagi mendesak Kerajaan PAS Kelantan agar tidak menjadi jaguh dengan tampil menyelesaikan kemelut hak milik tanah di kawasan berkenaan.

Bantahan tersebut diadakan di Jalan Utama menghala ke Kesedar Lebir di sini yang menjadi laluan utama Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ke Majlis Penyampaian Geran Tanah Hak Milik Tapak Rumah kepada 82 peneroka kawasan tersebut.

Bagaimanapun keadaan menjadi kecoh apabila dua buah kereta pacuan empat roda yang mengetuai rombongan Menteri Besar itu telah bertindak menghalang peserta bantahan yang berkumpul di kawasan itu.

Tindakan tersebut dilakukan bagi menghalang hasrat para peserta yang berkumpul itu daripada bertemu Nik Abdul Aziz yang tiba menaiki kenderaan jenis Mercedes Benz dan terus memecut laju tanpa menghiraukan mereka.

Ketua Peneroka Kesedar Lebir, Abdul Aziz Rahman mendakwa, RKT berkenaan telah sekian lama diuruskan oleh Kesedar dengan cukup sempurna dan mengapa tiba-tiba Kerajaan Pas cuba berlagak 'hero' kononnya ingin membela rakyat dengan bertindak demikian.

Dakwanya, sebelum ini seramai 195 peneroka di kawasan berkenaan begitu berterima kasih dengan kesungguhan dan bantuan yang diberikan oleh pihak Kesedar dalam menyediakan segala kemudahan diperlukan sejak kawasan itu dibuka pada tahun 1981.

"Bagaimanapun keharmonian kami selama ini telah diancam apabila kerajaan negeri tiba-tiba tampil dan berlagak seperti hero untuk menyelesaikan masalah hak milik tanah di sini.

"Apa yang saya tahu Kesedar sudah membayar premium tanah seluas lebih 4,000 hektar ini dan sudah tentu segala masalah yang berlaku di sini perlu diselesaikan oleh Kesedar tanpa perlu campur tangan pihak lain," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

No comments: