Sunday, February 10, 2013

Anwar Gagal Sebagai Ketua Pakatan Pembangkang


Pakatan pembangkang sebenarnya adalah satu pakatan yang rapuh yang hanya berpaksi kepada kepentingan parti masing-masing untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan kerana itu hingga sekarang mereka tidak mampu mendaftarkan pakatan mereka secara rasmi di bawah satu nama seperti BN, demikian pandangan Professor Datuk Seri Dr. Mohammad Fairus Khairuddin.

Beliau yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang berkata pakatan yang ditonjolkan pembangkang pada hakikatnya adalah sandiwara semata-mata kerana ia jelas boleh dilihat dalam pentadbiran mereka di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.

Malah di dalam parti pembangkang iaitu PKR, Pas dan DAP jelas beliau masing-masing ketika ini sedang bergelut dalam kemelut dalaman mereka.

Dalam sebuah parti politik sekiranya mahu bertahan lama dan diterima rakyat katanya lagi ianya harus mempunyai struktur yang kukuh namun dalam PKR ianya menjadi longgar apabila apa yang digariskan semasa penubuhannya kononnya mahu memperjuangkan keadilan untuk rakyat tidak ditepati.

“Apabila pakatan pembangkang berjaya merampas beberapa buah negeri, saya mula melihat Anwar tidak lagi peduli dan komited dalam memperjuangkan apa yang dikatakan semasa awal penubuhan parti. Hari demi hari terutama selepas peristiwa janji 16 September yang tidak menjadi kenyataan,

“Janji kosong Anwar menggunakan kaedah yang begitu hina dengan cuba mencuri ahli perlimen BN, ini bukan cara politik yang baik dan Anwar lakukan juga”, katanya kepada UMNO-Online.

Pada masa yang sama dedah beliau, Anwar pula semakin lama semakin mengutamakan kroni yang tertentu sehingga sifat Anwar yang mengutamakan kroni menyebabkan ramai yang keluar parti.

“Azmin juga sebenarnya tidak diterima dan ini terbukti dengan satu kejadian di Sabah. Azmin pernah ditolak oleh ahli PKR Sabah. Ini menunjukkan anak emas Anwar ini ditolak oleh orang bawahan parti. Anwar pula mengutamakan Azmin sehingga sanggup membelakangkan perjuangan parti,” ujarnya.

Manakala DAP pula kata beliau hanya mempergunakan Anwar untuk memecahbelahkan orang Melayu di samping mengikat Pas agar tidak bertindak esktrim yang boleh menghalang DAP meluaskan pengaruhnya.

“Sebenarnya DAP memegang kunci kelemahan Anwar dan ia digunakan bagi memastikan Anwar sentiasa patuh dengan segala arahan. Sebab itu kalau kita tengok dalam apa jua isu termasuk yang membabitkan masalah di kalangan pakatan pembangkang Anwar akan menyebelahi DAP.

“Perkara ini juga sebenarnya tidak menyenangkan di kalangan pemimpin, ahli PKR dan Pas”, katanya.

Beliau seterusnya menambah perkara yang sama juga berlaku dalam Pas di mana di dalam parti Pas sendiri telah terbahagi kepada dua kumpulan iaitu mereka yang menyokong dan yang mula mempertikaikan kewibawaan Anwar.

“Mereka inilah yang menolak Anwar dek kerana satu demi satu terbongkar kisah Anwar.

“Ini semua berlaku kerana dalaman parti itu sendiri tidak mempunyai struktur yang kuat untuk mengikat satu sama lain. Sampai saat ini masih belum diwujudkan secara rasmi di antara mereka. Mereka tidak pernah bergabung secara rasmi. Tidak seperti BN yang mengikat komponan mereka dan bertanding dalam PRU atas satu tiket iaitu BN.

“Sehingga kini pakatan pembangkang belum selesai masalah dalaman mereka. Mereka tidak mampu sesama mereka untuk mempunyai satu bendera yang sama untuk menandingi BN. Inilah bukti betapa gagalnya Anwar sebagai ketua pakatan pembangkang. Mereka gagal tidur satu bantal dengan mimpi yang sama,” ujarnya lagi.

2 comments:

Anonymous said...

DAP adalah kuasa sebenar dlm PR...segala rahsia dan kelemahan anwar dlm genggaman...pkr dan pas hanya orang suruhan yg setia...

Anonymous said...

Assalam
Professor Datuk Seri Dr. Mohammad Fairus Khairuddin dah bergaya, kalau masih menjadi TKM penang agakx masih lagi Encik Fairus sahaja kot. Apa macam kalau beliau dicalonkan semula tempat beliau dahulu untuk PRU13, kalau menang sah apa yang dikatakan tu betul. Cadangan supaya beliau dicalunkan oleh UMNO untuk PRU13 dan boleh jadi TKM semula