Thursday, February 14, 2013

Fenomena Setan Bisu Dalam PAS


Saya tertarik dengan satu komen yang pernah dikeluarkan oleh Cikgu Non Al-Afghani seperti berikut : “Oleh kerana ulama-ulama yang ada di dalam PAS menjadi setan-setan bisu mereka tidak bertanggungjawab walaupun mereka ada kelulusan Azhar dan sebagainya, biarlah saya guru sekolah Melayu ini bangun untuk menegakkan yang hak.”

Saya sangat terharu dengan keistiqamahan Cikgu Non, guru sekolah rendah kampung yang sehingga kini tidak henti-henti memperjuangkan sesuatu yang sangat murni iaitu mendaulatkan Islam dan melaksanakan syariat Islam seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Walaupun diherdik, diaibkan dan dibelasah oleh pimpinan PAS kawasan, negeri dan pusat namun guru yang kononnya hanya layak mengajar ABC itu tidak pernah menoleh kebelakang. Beliau terus maju kehadapan menongkah arus yang datang dari berbagai penjuru semata-mata atas nama perjuangan Islam. Semangat perjuangan yang begitu kental seperti yang ditarbiyahkan sendiri kepada beliau oleh Al-Marhum Dato Fadzil Nor.

Guru sekolah rendah itu dihukum sedemikian rupa oleh parti kesayangannya dengan cara yang begitu zalim. Beliau dipecat daripada Parti Islam itu. Apa salah beliau?

Dari mulut dan tulisan beliau, beliau sendiri telah mengemukakan berbagai-bagai fakta. Umpamanya mengenai isu Memali, bagi pihak janda-janda dan anak yatim Memali beliau menagih keadilan untuk waris para syuhada’.

Beliau mempersoalkan kemana perginya wang derma Memali yang jumlahnya agak besar sehingga kini tiada khabar berita. Jauh sekali kalau hendak dipertontonkan kira-kira akaun wang masuk dan wang keluar demi menjaga prinsip ketelusan, keamanahan dan kebertanggungjawaban.

Bukankah ini merangkumi prinsip keamanahan yang mesti dijaga dan diamalkan oleh PAS?

Dalam buku terbarunya “Kafirkah Aku?” guru kampung ini mengimbau perjuangan PAS yang dipimpin oleh insan-insan mithali dari segi perjuangan seperti Tuan Guru Yusof Rawa dan Dato Fadzil Nor. Kedua-dua insan tersebut sentiasa berada di sudut hati beliau dan kedua-duanya juga menjadi mujahid-mujahid ikutan dan sanjungannya.

Buku tersebut juga dengan secara terperinci memaparkan kesan negatif Amanat Haji Hadi yang dibuat pada tahun 1981 itu. Keretakan berpanjangan ahli keluarga, permusuhan anggota masyarakat akibat amalan kafir mengkafir dinukilkan dengan begitu dramatik.

Apakah tindakan cuba menegur kepimpinan dan pengikut yang begitu taksub perlu berakhir dengan pemecatan?

Inilah di antara persoalan yang bermain di minda ahli dan penyokong PAS. Tetapi atas yang mudah diduga mereka memilih untuk berdiam diri dan lebih selesa memandang dari jauh.

Sedikit pengalaman saya yang terlibat dengan kepimpinan tertinggi PAS mendapati bahawa era Dato Fadzil Nor adalah di antara era keemasan selain daripada era sebelumnya ketika PAS dipimpin oleh insan-insan besar seperti Dr Burhanuddin Helmi dan Prof Zulkifli Mohd.

Namun era itu telah berlalu. Kini PAS berada di period yang paling mencabar. Sistem pentadbiran “free for all” tanpa sempadan antara fungsi advisory dan executive adalah di antara halangan pengurusan yang menghambat kelancaran urusan parti.

Pengaruh luar termasuk cengkaman puak parasit atau Anwarinas mencelarukan lagi sistem pengurusan batang tubuh PAS. Atas pengaruh puak ini PAS dilihat semakin hari semakin jauh meninggalkan pengkalan asalnya iaitu perjuangan mendaulatkan Islam.

Apa yang terjadi kepada Cikgu Non, kepada saya dan terkini kepada YB Ust Nasharudin Mat Isa tidak syak lagi adalah permainan politik puak parasit atau Anwarinas itu.

Tinjauan yang dibuat di kalangan ahli dan penyokong PAS menunjukkan bahawa jika trend penguasaan puak parasit atau Anwarinas ini berterusan PAS akan kehilangan wajah aslinya. Atas nama Pakatan Rakyat pula dan dengan kebijaksanaan mainan politik DAP dan PKR, PAS akan dijelmakan sebagai parti yang masih dikaitkan dengan Islam tetapi berjuang atas prinsip liberalisme barat sama seperti apa yang diperjuangkan oleh rakan sejawat politik mereka DAP dan PKR.

Untuk itu manusia-manusia seperti Cikgu Non, Ust Nasharudin dan mungkin saya yang menuntut PAS balik ke perjuangan asal untuk mendaulatkan Islam dilihat tidak mempunyai tempat di dalam parti. Bagi puak parasit kehadiran kami di dalam PAS dianggap seperti duri dalam daging dan kami dituduh sebagai penghalang kepada kerakusan nafsu politik mereka untuk merampas Putrajaya.

Sesungguhnya PAS memerlukan lebih ramai ahli dan penyokong seperti Cikgu Non. Perjuangan dan pengorbanan untuk Islam memang menjadi agenda hidup warga PAS. Pada masa yang sama reformasi dalaman untuk menentukan parti tidak kehilangan arahtuju juga sama pentingnya.

Ahli dan penyokong PAS sudah maklum betapa hinanya parti itu diasak oleh DAP dan PKR. PAS dijadikan alat oleh mereka yang gila kuasa. Atas nama kuasa parasit atau Anwarinas sanggup menggugurkan negara Islam dan hudud. Atas nama kuasa juga mereka rela dihina dan diaibkan oleh pimpinan DAP dan PKR.

Itulah PAS. Hanya orang seperti Cikgu Non, guru sekolah rendah kampung yang sanggup tampil kehadapan. Beliau menjadi mangsa di atas keberaniannya untuk cuba membawa PAS kembali kelandasan asalnya.

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI, KL
13 Februari 2013

1 comment:

Anonymous said...

PAS MERUPAKAN PARTI AJARAN SESAT. PERPECHAN DALAM KALANGAN UMAT MELAYU DISEBABKAN OLEH PAS. HARI INI PAS AKAN MELAKUKAN APA SAHAJA UNTUK KE PUTRAJAYA DAN KALIMAH ALLAH AKAN DIPERJAJAKAN. OLEH ITU SEBAGAI AHLI PAS, SAYA INGIN MEMOHON SUPAYA PADA PILIHANRAYA II JANGANLAH MENGUNDI CALON ANWARINAS SEBALINYA SOKONGLAH CALON ULAMAK PAS NANTI. HADI AWANG DAN NIK AZIZI SEWAJARNYA MELETAKKAN JAWATAN ATAS APA YANG DILKUKAN OLEH MEREKA BERDUA. SOKONG ULAMAK TOLAK ANWARINAS...ALLAHU AKBAR.