Sunday, February 10, 2013

Majlis Syura PAS Tolak Anwar?


Muka depan akhbar MIngguan Malaysia hari ini melaporkan Majlis Syura Ulama PAS menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat mentadbir kerajaan.

Menurut sumber akhbar itu, ia didakwa dibincangkan secara tertutup melibatkan beberapa ahli majlis berkenaan namun kesahihannya belum dapat dipastikan.

"Kalaupun benar pendirian Majlis Syura Ulama tersebut, ia bukanlah satu kejutan kerana sentimen dalam kalangan sebahagian besar pemimpin dan ahli parti itu, mereka sememangnya tidak mahu Anwar yang juga Ketua pembangkang menjadi Perdana Menteri.

"Ia dapat dilihat dalam muktamar lalu, apabila ada ahli PAS secara terbuka menyatakan sokongan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menduduki jawatan nombor satu negara tersebut," kata sumber itu.

Pada Khamis lalu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendakwa, rakan-rakannya di dalam PAS memberitahu, penolakan Majlis Syura Ulama Pas terhadap Anwar semakin kuat.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku ekoran percanggahan pendirian kepimpinan pembangkang dengan majlis itu dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Sebelum ini, ketika Muktamar Tahunan PAS Ke-58 di Kota Bharu, wakil Dewan Ulama, Hairul Nizam mahu Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri dan bukannya pemimpin pembangkang yang lain. Kenyataan beliau itu kemudiannya disokong oleh beberapa lagi pemimpin PAS yang turut berada dalam majlis syura.

Malahan ketika masih di dalam PAS, bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Dr. Hasan Ali pernah menyatakan secara terbuka bahawa Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Ketika ditanya, apakah benar dakwaan pihak-pihak tertentu yang menyatakan ada pertemuan antara Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din dengan Anwar baru-baru ini bagi membincangkan perkara tersebut, sumber itu menjelaskan, ia tidak dapat disahkan kerana Haron setakat ini tidak membuat sebarang kenyataan.

"Namun apa yang pasti, dalam kalangan ahli Majlis Syura Ulama PAS memang mereka mahukan Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri.

"Dalam masa sama ada khabar yang menyatakan kalau pembangkang menang mungkin orang di luar pakatan akan dilantik ke jawatan tersebut," kata sumber itu.

Ditanya siapakah pemimpin itu, sumber tersebut berkata, hanya pemimpin-pemimpin tertentu di dalam PAS sahaja yang mengetahuinya.

"Tetapi saya percaya, kalaupun majlis syura atau mana-mana juga pemimpin PAS menolak Anwar ia pasti ada kaitan dengan pelbagai isu yang melibatkan ketua pembangkang itu," kata sumber itu lagi.

Bagaimanapun sumber itu berkata, 'kekuatan' PAS untuk menentukan siapakah bakal menjadi Perdana Menteri pembangkang akan menghadapi kesukaran kerana parti itu bukanlah dominan dalam kerjasama dengan PKR dan DAP.

"Malahan, biarpun PAS tidak bersetuju namun mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana DAP dikatakan tetap menyokong penuh Anwar menjadi Perdana Menteri," kata sumber itu lagi.

-Anratapos

1 comment:

Anonymous said...

Baru sekarang Majlis Syura PAS nampak?

Bengap betul laa...!!

Orang dah nampak lamaaa dah ketidak-layakan Anwar ni..!