Monday, March 11, 2013

1 Kampung Tanduo Kini Bersih, 97 Penceroboh Militan Ditahan

Beberapa buah trak polis yang membawa anggota tentera masuk ke dalam ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Tanjung Labian, 14 kilometer dari Felda Sahabat 17.

Lahad Datu: Selepas seminggu Operasi Daulat, polis pada Isnin mengumumkan Kampung Tanduo, kawasan pendaratan penceroboh militan sebulan lepas, kini bersih daripada kumpulan itu.

Pasukan keselamatan kini memberi tumpuan untuk membanteras penceroboh militan di kawasan Kampung Tanjung Batu dan Sungai Bilis.

Ahad lalu, seorang penceroboh ditembak mati di Kampung Tanjung Batu menjadikan jumlah pengganas militan yang mati setakat ini ialah 54 orang manakala 97 ditahan kerana disyaki terbabit dengan pengganas militan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Pasukan keselamatan turut menahan 122 orang kerana berada dalam zon larangan Operasi Daulat.

Pada 8 Mac pasukan keselamatan melancarkan gerakan ofensif terhadap kumpulan penceroboh militan itu yang diikuti dengan operasi susulan dan penggeledahan bagi memburu mereka.

Bercakap pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di sini, Hamza berkata 22 mayat pengganas militan telah dibawa keluar dan dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

Hamza turut membenarkan wartawan mengambil gambar mayat-mayat pengganas militan itu bagi menepis dakwaan pihak tertentu yang mempersoalkan jumlah pengganas yang terbunuh.

Ditanya mengenai laporan akhbar berbahasa Inggeris pada Isnin bahawa Azzimuddie Kiram yang mengetuai pencerobohan itu, berjaya melarikan diri dalam operasi pasukan keselamatan di Semporna, Hamza dengan tegas menolak dakwaan berkenaan.

"Kalau saya tahu dia di Semporna sudah lama saya tangkap," katanya.

Beliau turut menafikan laporan bahawa pasukan keselamatan menggunakan kekerasan terhadap masyarakat pendatang dari Sulu.

"Saya nafikan sekeras-kerasnya. Sehingga kini tiada laporan polis diterima mengenai keganasan yang dilakukan pihak keselamatan," katanya.

Beliau berkata kejadian pada Ahad yang menyebabkan seorang lelaki cedera dan seorang remaja lelaki maut berlaku hampir dengan rumah yang menjadi sasaran pasukan keselamatan.

"Orang kampung biasa semuanya telah dipindahkan," katanya.

Sejak krisis pencerobohan lapan anggota polis terkorban dalam serangan pengganas iaitu dua di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam di Semporna pada 2 Mac.

-Bernama

1 comments:

Anonymous said...

Betul ka PENJENAYAH atau main serkap jarang ja... Bukan boleh caya sangat berita ni

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates