Tuesday, March 12, 2013

PKR Perguna Bapa Saiful Bukhari Habis-Habisan



Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali percaya Azlan Mohd. Lazim akan dipergunakan sepenuhnya oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) demi kepentingan politik parti tersebut.

Beliau juga percaya bapa Saiful Bukhari itu akan dipergunakan sepenuhnya untuk memaklumkan kepada masyarakat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kononnya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim individu yang bersih dari salah laku moral.

“Penyertaan Azlan dalam PKR sudah tentu akan dipergunakan oleh parti tersebut habis-habisan. Beliau akan diheret ketepi dan ketengah menjelang dan semasa kempen pilihan raya,

“Saya meramalkan Azlan begitu diperlukan untuk membina imej bersih Anwar tetapi saya tidak nampak beliau mempunyai daya ketahanan politik untuk menghadapi berbagai ragam manusia,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Hasan seterusnya mengingatkan Azlan mengenai acara sumpah laknat yang dibuat oleh anaknya, Saiful Bukhari sambil mempersoalkan sama ada tidak ada bagi Azlan tentang kewujudan alam akhirat untuk menerima pembalasan.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana Azlan sebagai seorang ayah tergamak merelakan anaknya dihimpit keaiban sepanjang hidup kerana Anwar.

Justeru, katanya, beliau percaya strategi PKR itu akhirnya akan `memakan diri’ kerana langkah itu merupakan satu usaha yang terdesak dan sia-sia.

Ia kerana kemunculan Azlan tidak akan memberi kesan kepada ahli dan penyokong PAS yang telah bersetuju menolak Anwar sebagai Perdana Menteri yang baharu sekiranya pakatan pembangkang menang pada PRU13.

“Perlu diketahui keputusan Majlis Syura Ulama PAS tidak dibuat atas konsiderasi politik atau kehendak mana-mana individu, tetapi merujuk kepada berbagai sumber hukum,” dakwanya lagi. - mynewshub.my

No comments: