Sama ada disedari atau tidak tindakan Karpal Singh yang bertindak sebagai Ketua Peguam Bela Datuk Seri Anwar Ibrahim kebelakangan ini lebih cenderung ke arah mempercepatkan Ketua Umum PKR itu didapati bersalah dan dipenjarakan.
Sejak proses pembelaan diri yang bermula 22 Ogos lalu, Karpal Singh, peguam veteran itu lebih banyak mendiamkan diri dan membiarkan peguam-peguam junior iaitu anaknya, Ram Karpal dan peguam peribadi Anwar, Sankara Nair memainkan lebih banyak peranan.
Menurut amalan biasa, dalam proses pembelaan, sepatutnya Ketua Peguam Bela yakni Karpal lebih banyak memainkan peranan berbanding dengan peguam-peguam junior.
Ini berbeza dengan pihak pendakwa, di mana Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden sentiasa mengetuai sama ada di peringkat pembuktian ataupun peringkat pemeriksaan balas saksi-saksi pembela.
Satu lagi fakta yang tidak boleh dikesampingkan, dalam kes liwat I, Karpal Singh juga pernah tewas kepada Mohd. Yusof Zainal Abiden yang ketika itu merupakan Timbalan Kanan Pendakwa Raya dalam kes tuduhan Anwar meliwat Azizan Abu Bakar.
Ungkapan Karpal siang semalam di Mahkamah Tinggi yang membawa maksud peluang Anwar untuk memenangi kes ini makin tipis adalah luahan sebenar yang lahir dari hatinya.
“Justeru, Rosmah mesti tampil ke mahkamah kerana itu sahaja peluang yang tinggal bagi Anwar“, kata Karpal.
Walaupun pada hakikatnya Karpal seolah-olah meletakkan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, sebagai saksi pembela, namun peguam veteran itu sudah tahu risikonya jika permohonan mereka untuk mengenepikan sapina diterima mahkamah.
Jika mahkamah menerima permohonan Najib dan Rosmah untuk mengenepikan sapina yang bakal diputuskan Khamis ini, dengan memetik semula pendapat Karpal, ‘apa lagi peluang yang tinggal bagi Anwar’ ?
Sesungguhnya sebagai peguam yang berpengalaman, Karpal sedia maklum bahawa pengantungan pembelaan bukan kepada saksi yang tidak memihak kepada Anwar, sebaliknya bergantung penuh kepada saksi-saksi yang memihak kepadanya terutamanya alibi.
Siapa saksi-saksi alibi Anwar ?
Setakat hari ini dan senarai saksi-saksi yang bakal dipanggil untuk membela Anwar, tiada seorang pun saksi yang boleh dikatogerikan sebagai saksi alibi.
Maknanya Anwar tidak ada alibi.
Peguam Anwar yang membacakan afidavit balas Ketua Umum PKR itu kepada media pada 28 September lalu mengakui tujuan mereka memanggil Najib dan Rosmah sebagai saksi bukan untuk melengkap hujah konspirasi, tetapi semata-mata untuk mendapat penjelasan berkenaan pertemuan mereka dengan pengadu.
Bahkah semasa hujah penggulungan, sebelum diputuskan Anwar kena bela diri atau tidak, Karpal juga tidak menggunakan hujah konspirasi
Jika, bukan bertujuan untuk melengkapkan hujah ‘teori konspirasi’ untuk apa mereka dipanggil ?
Atas premis itu, maka Anwar benar-benar berharap Najib dan Rosmah tampil sebagai saksi mereka, bukan untuk menang kes atau lengkapkan teori konspirasi tetapi untuk memalukan mereka.
Secara keseluruhannya, dalam proses bela diri, Karpal sebagai Ketua Peguam Bela seolah-olah merestui usaha untuk tidak menjawab persoalan.
Persoalannya amat mudah, ‘Kamu (Anwar) dituduh melakukan seks luar tabie (liwat) ke atas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara,Kuala Lumpur antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
‘Bukti kamu meliwat adalah terdapatnya air mani kepunyaan kamu dalam dubur pengadu’.
Itu sahaja skop pertuduhan yang dikenakan ke atas Anwar.
Sepatutnya, barisan peguam Anwar menumpukan seluruh jawapan untuk menafikan semua pertuduhan dalam skop tersebut, jika mereka berhasrat untuk memenangi kes ini.
Walaupun, terdapat usaha untuk menafikan pertuduhan itu dengan menampilkan dua orang pakar luar negara, namun setakat hari ini, kedua-dua pakar yang dibayar oleh Anwar itu gagal memainkan peranannya, malah lebih memperkukuhkan pertuduhan pihak pendakwa.
Kemungkinan juga Karpal kecewa dengan keterangan saksi-saksi pihak mereka sendiri iaitu Dr David Lawrence Noel Wells dan Dr Brian McDonald, maka peguam veteran itu hampir putus asa dan cuba fokus kepada persoalan di luar skop.
Usaha Karpal memanggil Najib, Rosmah, Tan Sri Musa Hassan, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof dan Lim Kong Boon, juga dianggap sebagai percubaan untuk fokus kepada menjawab persoalan yang bukan persoalan pertuduhan.
Jika benar sekalipun mereka terlibat, tetapi penglibatan mereka di luar daripada skop pertuduhan.
Sekali lagi diulangi, pertuduhannya mudah sahaja, ‘benarkah kamu (Anwar) meliwat pembantu kamu, Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara,Kuala Lumpur antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008
Sebelum ini, Karpal sentiasa menggesa mahkamah agar memadamkan segala keterangan saksi-saksi pendakwa, jika saksi-saksi tersebut menceritakan peristiwa ‘kejadian liwat sebelum 26 Jun 2008′ dengan alasan di luar skop pertuduhan, namun kini, semasa proses pembelaan, Karpal sendiri berusaha membawa proses pembelaan ke arah menjawab persoalan yang di luar skop pertuduhan.
Adakah semua ini stategi halus peguam veteran untuk mempercepatkan Ketua Umum PKR itu dijatuhi hukuman bersalah dan dipenjarakan ?
Jika Anwar didapati bersalah dan dipenjarakan apakah Karpal Singh yang juga merangkap Pengerusi DAP akan mendapat lebih banyak manfaat ?
Inilah susahnya apabila Ketua Peguam Bela dipilih dari kalangan tokoh politik kerana dalam apa juga keadaan, kepentingan politik lebih diutamakan.
Sumber: AIDC
No comments:
Post a Comment