Thursday, April 19, 2012

Demo PTPTN: Naib Canselor UM Tunggu Apa Lagi? Ambillah Tindakan Segera! Takkan Tunggu Sampai Lebam?

Bila sebut nama Universiti Malaya (UM) ramai yang akan bersetuju pusat pengajian itu adalah antara pilihan utama ibubapa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tinggi bukan sahaja kerana sejarahnya yang besar dalam dunia pendidikan malah namanya juga tercatat antara 500 universiti terbaik dunia.

Bagaimanapun ranking yang baik tidak akan menjanjikan banyak perbezaan jikalau ada segelintir pelajarnya mudah terpengaruh dengan anasir luar yang hanya bermatlamatkan mempergunakan mereka untuk kepentingan politik kepartian misalnya menyertai demonstrasi jalanan di Dataran Merdeka tempohari.

Demonstrasi anti PTPTN sabtu lalu oleh sekumpulan mahasiswa pro pembangkang sekalipun gagal sama sekali apabila dari 5,000 orang sasaran penyertaan hanya 200 - 300 orang sahaja yang hadir namun kelibat beberapa pelajar UM dalam demo tersebut tentu sahaja menuntut tindakan bersesuaian daripada pihak pentadbir universiti.

Antara yang telah dikenalpasti merupakan pelajar UM ialah Haziq Abdullah, Syahid Zaini, Safwan Anang dan beberapa yang lain. Ramai yang tertanya-tanya apa langkah selanjutnya yang bakal diambil terhadap pelajar tersebut berikutan penglibatan mereka dalam demonstrasi tersebut.

Haziq misalnya adalah antara individu yang bertanggungjawab membawa gambar Perdana Menteri dengan kalungan bunga kematian, satu tindakan yang agak biadap dan bersifat provokasi sewajarnya disegerakan tindakan tegas terhadapnya.

Mana mungkin seseorang pelajar universiti yang tugas utamanya menelaah pelajaran boleh di biarkan bebas berkeliaran menyertai aktiviti politik sekalipun ada tikanya buah fikiran mereka berguna untuk negara namun ada tempat dan tikanya yang sesuai untuk tujuan tersebut.

Demonstrasi jalanan ditambah lagi dengan perlakuan biadap, kurang ajar dan melampaui tabie asas seorang pelajar universiti tentu saja sukar diterima masyarakat sementelah lagi isu pemansuhan PTPTN yang mereka laungkan juga hasil usul dari golongan partisan yang hanya memperalatkan mereka untuk tujuan kepartian.

Walhal ramai mengakui hakikat dengan adanya dana pinjaman pendidikan dari PTPTN sejak lebih kurang 14 tahun ianya beroperasi telah membantu ratusan ribu rakyat melanjutkan pelajaran ke ipt, tiba-tiba kali ini semata-mata hampir pilihanraya umum ke 13 ianya menjadi puching beg orang politik, apakah logik untuk kita hapuskannya begitu saja?

PTPTN pula bukannya satu skim pinjaman bersandarkan keuntungan, semua dana yang ada dan jumlah bayaran diterima dikitar semula untuk kegunaan generasi pelajar akan datang dan caj perkhidmatan 1% yang dikenakan pula untuk menampung segala kos pentadbiran termasuklah pengurusan, kakitangan, utiliti dan lain-lain yang berkaitan.

Dan pula, PTPTN tidak sama sekali mewajibkan pelajar memohonnya. Semua bergantung pada kemahuan individu tidak mengira miskin atau kaya, jika memerlukan wang pinjaman maka PTPTN adalah tempatnya. Tapi jika berasa cukup mampu menanggung segala kos pengajian dan sara hidup selama 2 hingga 5 tahun di universiti, tiada paksaan untuk menggunakan khidmat PTPTN.

Andaikata masih ada segelintir pelajar begitu kemaruk mahukan pendidikan percuma sebagaimana dilaungkan dalam demo tersebut, ringan-ringankanlah otak untuk berfikir dan rajin belajar supaya mampu mencapai keputusan cemerlang dengan kelulusan ijazah kelas pertama tentu sahaja hutang pinjaman dilupuskan tanpa bayaran satu sen pun.

Berbalik kepada isu penyertaan beberapa pelajar UM dalam demonstrasi anti PTPTN sebagaimana disebut di awal tulisan ini, sekali lagi ditekankan keperluan pentingnya tindakan segera pihak pentadbir universiti bertegas dengan kebiadapan pelajar-pelajarnya.

Jangan ditunggu hingga ada yang terdetik dalam hati menyangkakan yang Naib Canselor UM hanya makan gaji buta dek kerana lambat bertindak dan kurang responsif terhadap isu tersebut.

Kita tidak mahu suatu hari kelak bakal lulusan universiti tergolong dari sekumpulan manusia yang kurang ajar, biadap dan menjengkelkan sikap perwatakannya sedangkan sifat dan tabie asas seseorang terpelajar mestilah menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.

Apatah lagi mereka bukan sahaja menggalas harapan ibubapa dan negara supaya menjadi insan yang berguna malah suatu hari nanti khidmat mereka diperlukan untuk menabur jasa bakti bagi pembangunan masyarakat dan negara.

Justeru itu, segeralah bertindak untuk kebaikan bersama agar ia tidak menjadi ikutan kemudian hari kelak yang tentu sahaja jika dibiarkan bukan sahaja memberi kesan terhadap nama baik UM sendiri malah akan menimbulkan keraguan masyarakat terhadap keupayaan UM untuk mendidik generasi masa depan.

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

No comments: