Friday, April 19, 2013
#PRU13 Pas, PKR dan DAP Parti Anak Beranak
Pas kini sudah sebaris dengan sekutu mereka, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP iaitu parti 'anak-beranak' yang mengamalkan dasar kronisme dan nepotisme terutamanya dalam soal pemilihan calon pilihan raya.
Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh mendakwa, perkara ini terbukti dengan keputusan Pas Kelantan yang mencalonkan anak Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.
Beliau mendakwa, semua orang tahu Nik Abdul Aziz sudah lanjut usia dan entah berapa lama lagi akan mampu bertahan, justeru itu, beliau awal-awal lagi mempertaruhkan anaknya demi memastikan ada keturunan mereka kekal dalam jawatan politik.
Katanya, budaya kronisme dan nepotisme yang mula diamalkan Pas itu membuktikan mereka kini sudah tidak ada beza lagi dengan PKR dan DAP yang sedia maklum sudah sekian lama mengamalkannya.
"Kalau kita lihat DAP, Penasihat DAP, Lim Kit Siang merupakan ahli parlimen, anaknya, Lim Guan Eng bukan sahaja menjadi Ketua Menteri malah turut memegang jawatan penting di dalam parti. Tidak cukup dengan itu, menantu Kit Siang yang juga merupakan isteri Guan Eng juga menjadi wakil rakyat. Pengerusi DAP, Karpal Singh juga turut mempertaruhkan anaknya yang menjadi wakil rakyat.
"PKR pula, penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli parlimen, anaknya Nurul Izzah juga ahli parlimen manakala Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail terus kekal menjadi presiden parti. Ini parti anak beranak bukan parti rakyat. Nama sahaja Parti Keadilan Rakyat, tetapi sebenarnya parti anak beranak. Ini bukti yang patut rakyat nilai, termasuk di Kelantan sendiri," katanya pada pemberita selepas merasmikan Bilik Operasi Pemuda BN Kota Bharu di sini malam tadi.
Mohd. Fatmi diminta mengulas mengenai pengumuman calon Pas dan PKR untuk menghadapi PRU-13 yang dilakukan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah di Machang semalam.
Kombinasi kedua-dua parti itu dalam PRU-13 ini menampilkan 16 muka baharu dan yang paling mendapat tumpuan adalah pencalonan Nik Abduh anak kepada Menteri Besar dan Musyidul Am Pas.
Tambah Mohd. Fatmi yang juga merupakan calon BN Parlimen Kota Bharu, budaya begini tidak pernah berlaku pada BN yang apabila pemimpin masih berjawatan mempertaruhkan anak mereka untuk bertanding pada pilihan raya.
"Sebagai contoh, Bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa mereka memegang jawatan
itu tidak ada seorang pun anak mereka menjadi wakil rakyat.
"Hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga tidak pernah mempertaruhkan anak untuk bertanding pada pilihan raya. Ini bezanya BN dan Pakatan Pembangkang," katanya. - UTUSAN ONLINE
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment