Monday, April 15, 2013

#PRU13 - Penduduk Pelabuhan Klang Tolak Khalid


Pencalonan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak mengundang rasa tidak puas hati dikalangan penduduk kawasan itu.

Rata-rata mereka kecewa dengan prestasi Menteri Besar Selangor itu yang jarang turun padang dan tidak membela nasib mereka yang dibelit kos sara hidup yang tinggi.

Antarapos mengunjungi Bandar Tun Razak untuk meninjau dengan lebih dekat reaksi penduduknya terhadap pencalonan semula Khalid itu.

Seorang pesara kerajaan, Zainal Abidin, 59, memberitahu pembangunan yang ada di kawasan Parlimen itu adalah warisan daripada kerajaan negeri terdahulu, Umno Barisan Nasional (BN).

Setelah Pakatan Rakyat memerintah, tiada satu pun projek pembangunan dibina dan tiada peluang pekerjaan baru dihasilkan.

"Saya rasa dekat sini semua BN saja yang (bangunkan). Daripada MB sendiri tak pernah turun dekat sini, tak pernah nampak," katanya.

Seorang suri rumah, Azizah Borhan, 51 ketika ditemui berkata Khalid sepanjang lima tahun menjadi Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, tidak pernah menjenguk kawasan perumahannya dan hanya muncul di kawasan berdekatan pada hari-hari tertentu, umpamanya hari raya.

"Hari ini rasanya ada dia (Khalid) kat bawah tu (majlis ramah mesra bersama rakyat), tapi dia tak jengah dekat atas. Patut dia kena lawat kawasan, ambil berat. Jangan hari raya saja timbul, itupun di tempat dia je, dekat sini tak ada.

"Kata orang, undi ni kan rahsia, jadi kalau dia nak menang, dia kena beratkanlah (lebih bertanggungjawab)," katanya.

Khalid yang juga ADUN Ijok gagal menawarkan rumah mampu milik dan rumah kos rendah kepada rakyat Selangor walaupun hampir lima tahun memerintah negeri itu.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dilihat lebih cenderung mempertahankan pembangunan rumah mewah termasuk projek Datum, yang mempunyai 10 siri kesemuanya.

Apa yang lebih menjengkelkan, projek-projek itu disasarkan kepada warga asing untuk memiliki aset di Selangor sekali gus menafikan hak anak jati negeri itu.

Melihat perkembangan itu, seorang pekerja swasta, Kumar Bathumalay, berkata beliau yakin rakyat semakin sedar dan akan kembali ke pangkuan Umno BN.

"BN la menang, tengok.. Sini pun banyak bendera-bendera. BN memang boleh menang, sekarang banyak support," katanya.

Pendapat itu disokong seorang peniaga kecil-kecilan, Ivy Tang, 43. Beliau menaruh harapan yang tinggi agar Umno BN kembali menerajui kepimpinan di Selangor.

"BN boleh menang, sebab Khalid tak selalu ada sini, nak cari dia pun tak dapat," ujarnya.

Sementara seorang suri rumah, Revati Nageswaran, 24 berkata Umno BN kini sudah berubah dan diyakini akan lebih peka dengan masalah dan bebanan yang ditanggung rakyat marhaen.

"BN boleh menang sebab rakyat semua sokong dan juga dapat sokongan dari semua pihak," katanya lagi.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan Khalid akan sekali lagi mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bagaimanapun Khalid tidak diberi kepercayaan untuk mempertahankan DUN Ijok dan hanya diletakkan di kerusi Pelabuhan Klang.

Pada PRU12, Khalid mengalahkan calon BN dari MCA, Datuk Tan Chai Ho dengan majoriti 2,515 undi.

Terdahulu, Khalid sekali lagi menawarkan diri untuk menjadi Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan pemerintahannya di Selangor.

-AntaraPos

No comments: