Tuesday, April 2, 2013

#TolakPR - Turun Harga Kereta... Penipuan Rafizi Terbongkar


Rasional Disebalik ‘Manifesto Bukan Janji’ Pakatan Tentang Penurunan Harga Kereta

Pengumuman pimpinan pakatan pembangkang yang ingin menurunkan harga kereta melalui ‘Manifesto Bukan Janji’ yang dibentangkan baru-baru ini dilihat sebagai pendekatan populis semata-mata. Ini kerana ramai yang berpendapat ia bukanlah kaedah yang terbaik buat rakyat malah bakal memberikan impak besar kepada negara.

Ini kerana secara keseluruhannya penurunan dan pemansuhan cukai kenderaan belum tentu menurunkan harga kereta. Sebagai contoh kereta hibrid tidak dikenakan cukai, namun harganya tidak pula diturunkan kerana pengeluar juga perlu mengambil untung.

Malah di Amerika Syarikat kereta tersebut turut dikenakan cukai, namun harganya lebih murah kerana pasaran negara itu besar berbanding Malaysia.


Kerajaan secara dasarnya telah mengambil kira pelbagai faktor dalam usaha menurunkan harga kenderaan, termasuk syarikat pengeluar, pengusaha industri kenderaan terpakai serta kepentingan pengguna.

Adalah penting untuk mengimbangi semua ini, kerana jika harga kereta terlalu rendah syarikat pengeluar tidak akan mendapat keuntungan malah para pelabur pula akan lari dan tidak lagi membuka kilang di Malaysia. Tidak ketinggalan penurunan harga kereta secara mendadak turut akan menjejaskan pembangunan industri automotif tempatan secara keseluruhan.

Kesannya ialah ekonomi kita, kestabilan ekonomi negara bakal terjejas sekiranya harga atau duti eksais diturunkan seperti yang dikatakan oleh pembangkang jika berjaya menawan Putrajaya. Malah mereka-mereka yang terlibat dengan industri automotif ini akan berdepan dengan situasi gulung tikar dan muflis.

Itu belum lagi diambil kira faktor yang akan menyebabkan hasil negara berkurangan sebanyak RM7 bilion. Sekali gus ia pastinya akan merencatkan usaha kerajaan untuk membangunkan infrastruktur kepada rakyat khususnya di kawasan-kawasan pedalaman.

Menurut pakar ekonomi, apa yang penting ialah bukan menurunkan harga cukai, kerana harga kenderaan sebenarnya boleh turun tanpa perlu mengurangkan pendapatan negara. Iaitu melalui langkah yang diambil oleh kerajaan sebelum ini dengan melakukan rundingan dengan syarikat pengeluar kenderaan.

Ini kerana langkah tersebut jelas terbukti memberi hasil positif yang jauh lebih baik berbanding ‘manifesto bukan janji’ pakatan pembangkang. Malah usaha kerajaan untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan awam agar lebih efisien, selamat dan dinikmati juga merupakan satu langkah yang dinamik.

Selain mengelakkan kesesakan jalan raya, kos perjalanan yang lebih murah ia juga mampu mengurangkan penceraman alam sekitar. Ini kerana hanya dengan menurunkan harga tidak akan mampu memberi penyelesaian terbaik kerana perlu mengambil kira faktor pengeluaran serta pendapatan rakyat.

Ia sekali gus menunjukkan bahawa pembangkang kini ketandusan idea sehingga membuat kenyataan tanpa kajian terperinci dan kesan yang bakal dihadapi negara jika ia dilaksanakan. Berbeza dengan kerajaan BN yang sentiasa mementingkan kebajikan rakyat dengan melaksanakan dasar-dasar yang mampu menjana ekonomi negara serta kemakmuran rakyat.

No comments: