Friday, October 11, 2013

Satu Sayap, Pelbagai Implikasi #PemilihanUMNO @Khairykj @ibdil #01

Ibdilillah Bin Ishak
Ketua Pemuda UMNO Cawangan Taman Tun Dr Ismail


Tinggal 1 hari lagi sebelum pemilihan UMNO bermula. Ini bukan hanya satu lagi pemilihan. Pemilihan ini bakal menentukan hidup mati parti keramat kita. Walaupun hanya dua hari Sabtu yang bakal memberi keterujaan, kesannya bakal dirasai UMNO untuk lima tahun akan datang, oleh kerana PRU-14 dicanang-canangkan sebagai penentu hidup mati UMNO, pemilihan UMNO kali ini tidak boleh kita pertikaikan kepentingannya.

Jika kalah UMNO pada PRU-14, matilah parti kita ini buat berdekad lamanya.

Jika kalah UMNO pada PRU-14, malaplah peluang pemimpin-pemimpin muda UMNO yang bakal diberi peluang menawar bakti di masa mendatang.

Kesemua jawatan yang direbut penting. Namun sayap Pemuda UMNO bakal memainkan peranan yang amat penting. Berjuta-juta pengundi muda akan mengundi buat pertama kali tatkala kita menghadapi PRU-14 nanti.

Mereka dijangkakan merangkumi sebahagian besar daripada keseluruhan jumlah pengundi. Lebih penting, mereka mampu merobek benteng kuat UMNO di luar bandar seperti yang terjadi pada PRU13 apabila yang menetap di bandar pulang ke kampung halaman untuk mengundi.

Sekaligus, golongan muda inilah yang akan menentukan menang kalah UMNO dan Barisan Nasional dalam PRU-14.Selain daripada itu, kita tidak boleh lupa bahawa kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center menunjukkan bahawa sebanyak 54 peratus pengundi muda Melayu berumur 21 hingga 30 tahun mengundi Barisan Nasional ketika PilihanRaya ke-13 yang lalu. Saya beranggapan bahawa hasil sebegini perlu kita teruskan malah perlu kita pertingkatkan angkanya sehinggalah turut merangkumi pengundi muda bukan Melayu yang tidak mengundi BN.

Dibahu sayap Pemuda lah tanggungjawab ini bakal tergalas, seiring dengan jelitawan daripada sayap Puteri.

Lima wirawan Pemuda kini bersaing untuk merebut jawatan Ketua Pemuda. Selain penyandang jawatan, Khairy Jamaluddin, yang lain berkempen di atas nada retorik ‘Hidup Melayu’ dan yang sewaktu dengannya. Retorik sebegini sememangnya sedap didengar ahli parti yang buat 68 tahun memperjuangkan agenda Melayu.

Namun persoalannya, adakah pendekatan ini cukup untuk memastikan Parti UMNO ini kekal memerintah dan memperjuangkan agenda bangsa? Merujuk lanskap semasa, jawapannya mungkin tidak. Muda-muda zaman kini amat banyak bezanya. Nasihat untuk bersyukur kepada jasa UMNO tidak lagi lut untuk meraih undi mereka.

Panggilan semangat perjuangan bangsa tidak lagi menaikkan semangat mereka untuk memangkah dacing di kertas undi. Perkara ini memang tidak enak didengar. Namun suka atau tidak, di hari pengundian, undi mereka perlu kita kecapi. Di hari pengundian kelak, tanpa undi mereka, hilanglah UMNO dari lanskap politik Malaysia setelah 68 tahun menabur bakti.

Tanpa undi mereka, pemimpin-pemimpin muda UMNO yang ingin berkhidmat kepada rakyat akan digantikan dengan pemimpin pembangkang yang hanya tahu memberi retorik popular.

Makanya, apakah cara terbaik UMNO untuk meraih undi-undi ini?

Pertamanya, penambahan ahli adalah sangat penting. Penambahan ahli tidak mudah, namun kritikal dalam membina jentera parti yang kukuh.

Pemuda UMNO kini mempunyai kira-kira lebih 650,000 ahli dan pada tahun 2009 sahaja, Pemuda UMNO telah mencatatkan pertambahan ahli sebanyak 25019 orang yakni peningkatan sebanyak 2000 ahli setiap bulan. Perkara seperti ini perlu dikekalkan supaya pemimpin muda sedia ada mempunyai jentera yang besar dalam membantu parti meraih undi.

Yang kedua, inisiatif-inisiatif yang mengutamakan hasil perlu ditingkatkan. Fokus perlu diberikan kepada pekerjaan, keusahawanan dan kesukarelawan. Tiga perkara ini amat penting bagi setiap anak muda di Malaysia. Inisiatif seperti Karnival Kerjaya dan Dana Belia terbukti berkesan, apabila 54% pengundi muda Melayu mengundi UMNO dan Barisan Nasional pada PRU13.

Jika kejayaan ini dicapai dalam masa empat tahun, bayangkanlah kejayaan yang lebih besar jika inisiatif mengutamakan hasil ini terus dilaksanakan.

Yang ketiga, imej penting dalam meraih undi anak muda. Pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO, terutamanya peringkat pusat, perlu menjiwai belia agar muda-mudi lebih bersedia untuk mendengar apa yang UMNO boleh tawarkan.

Pemimpin sayap pemuda UMNO perlu menjiwai naluri anak muda. Aktiviti seperti bola sepak dan futsal perlu dimainkan sendiri oleh mereka. Bagi meraih ribuan undi anak muda yang minat dengan polis dan askar, pimpinan pemuda perlu mendekati program-program kadet serta askar wataniah. Lebih manis jika pemimpin pemuda sendiri menceburi program kadet serta askar wataniah sebagai teladan kepada generasi muda.

Pendek kata, masa depan ahli UMNO dan semua pemimpin-pemimpinnya boleh dirumuskan dalam 4 rentetan ini.

1. UMNO perlu terus menang agar pemimpin-pemimpin muda UMNO, baik cawangan mahupun bahagian boleh digilap dan diberi peluang untuk berkhidmat kepada parti dan rakyat.

2. Untuk menang, Pemuda UMNO perlu terus dipimpin ketua yang bijak dalam memenangi undi anak muda yang mampu merobek benteng UMNO di kawasan luar bandar.

3. Keputusan di tangan pemimpin-pemimpin pemuda UMNO sendiri, baik cawangan atau bahagian.

4. Maka Sabtu ini, mereka perlu memilih Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda dan exco-exco yang terbukti bijak menambah ahli, penuh idea untuk inisiatif berhasil, berjiwa muda serta berkarisma.

Retorik memang sedap didengar. Namun hasil dan karisma pemimpin sayap pemuda lah yang bakal menentukan masa depan pemimpin-pemimpin muda UMNO dalam parti dan juga politik tanah air Malaysia.

Pelapis perlu untuk ganti yang lama,
Jika UMNO kalah, semua putih mata,
Sayap Pemuda benteng utama,
Jangan digadai dek retorik semata.

3 comments:

Anonymous said...

Apa kah menjadikan melayu liberal blh menjamin kesinambungan melayu...apakah ia juga yg akan menghancurkan melayu..strategi membela musang di dalam kandang ayam

Anonymous said...

Panjangnya retorik ko..

Anonymous said...

harapkn pagar..pagar bg rasuah!!