Sunday, October 6, 2013

Utamakan Hasil Bukan Retorik - #KJ4KP




MINGGUAN: Imbas kembali 2004, YB menjadi Ketua Pemuda dengan ejekan tetapi selepas itu YB berjaya memimpin pergerakan tersebut, apakah ini menjadi asas YB mahu mempertahankan jawatan?

KHAIRY: Sejak awal lagi saya memang berhasrat mahu duduk dalam Pemuda bukan sepenggal tetapi kalau boleh lebih daripada itu memandangkan saya masih lagi dalam lingkungan umur Pemuda. Walaupun jawatan Ketua Pemuda tiada had umur tetapi saya dalam usia 37 tahun, saya masih boleh serasi dengan orang muda. Yang kedua, perancangan fasa pertama atau penggal pertama lebih kepada menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Macam mana kita boleh appeal UMNO, Pemuda UMNO, Pemuda BN kepada pengundi muda yang ada di dalam dan paling penting di luar parti. Sebab itu banyak pendekatan yang kita buat sebelum PRU-13 menjurus ke arah luar parti.

Berikutan itu kita melaksanakan pelbagai program yang bertujuan menarik sokongan orang muda seperti program jelajah Pemuda dan karnival kerjaya, semua itu tidak pernah kita buat dahulu. Zaman dahulu kita lebih kepada kumpulan pendesak, cakap soal parti, soal agenda bangsa tapi yang ini kita meliputi semua aspek sebab kita hendak tarik sokongan daripada orang muda dan hasil seperti mana kajian Merdeka Center yang menunjukkan 54 peratus pengundi muda Melayu berumur 21 hingga 30 tahun mengundi BN, yang tidak beri ialah bukan Melayu. Perancangan penggal kedua saya ialah untuk melahirkan pemimpin muda yang boleh mengambil alih tempat pemimpin-pemimpin lama atau dewasa sedia ada. Maknanya, perancangan fasa kedua ini adalah peremajaan UMNO itu sendiri, ia bukan sekadar program tetapi menampakkan UMNO ini dianggotai oleh pemimpin-pemimpin muda.

Dalam penggal kedua ini, kita fokus kepada pengkaderan pemimpin Pemuda dan Puteri. Insya-Allah kita akan laksanakan selepas pemilihan nanti adalah akademi kepimpinan muda dalam UMNO seperti mana dipersetujui oleh Presiden parti. Kita cari yang betul-betul ada bakat. Sama ada dalam kalangan pelajar universiti, profesional dan ahli kita sendiri yang kita rasa dia ni boleh menjadi calon sama ada dalam pemilihan parti mahupun pilihan raya. Bagi saya, KPI satu, sokongan orang muda. Yang kedua untuk KPI adalah pemimpin muda dalam parti. Kita tengok pembangkang. Berapa ramai ahli-ahli Yang Berhormat dalam kalangan muda. Saya mahu bawa lebih ramai lagi ke depan supaya kita ada nampak peremajaan parti itu dan anggota itu sendiri.

Dalam istilah peremajaan UMNO ini, ada dua tafsiran. Satu tafsiran mengatakan di segi usia dan di satu lagi pula merujuk kepada pemikiran?

KHAIRY: Kedua-duanya. Dalam ucapan dasar tahun lepas saya ada kata tak guna kita muda dari segi usia tetapi pemikiran kita kolot. Jadi, saya cuba bawa kedua-dua. Ada yang faham, ada yang tak berapa faham. Ada yang kata Pemuda kena kembali ke zaman dahulu sebagai kumpulan pendesak. Saya kata kumpulan pendesak OK tetapi tak cukup dengan itu. Ia kena lebih daripada itu. Kita kena tengok masalah orang muda. Kenapa kita buat job fair? Kenapa kita bawa isu perumahan? Kenapa kita bawa isu muflis contohnya. Sebab ini isu yang melibatkan orang muda.

Ya, kita boleh melaungkan perjuangan parti, agama, bangsa dan negara, itu tetap kita buat tetapi orang muda hari ini mahu tengok lebih daripada retorik. Kalau hanya retorik, mereka akan kata ‘‘kamu muda tetapi perjuangan sama dengan orang lama, tak bawa benda baharu.’’ Dari segi peremajaan ia juga ada kaitan dengan usia. Saya mengakui ada orang lama atau pemimpin lama yang menampakkan ciri-ciri sebagai orang muda. Seperti Perdana Menteri, beliau ada Twitter dan Facebook. Beliau tahu bagaimana hendak mendampingi dan mesra orang muda.

YB antara Ketua Pemuda yang satu ketika tidak berada dalam Kabinet tetapi YB tabah melaksanakan tanggungjawab, namun dalam tempoh tersebut banyak isu melibatkan orang Melayu dan Islam, Pemuda UMNO dilihat ketinggalan sehingga tempat itu diambil oleh NGO-NGO?

KHAIRY: Saya lebih melihat kepada isu-isu pengisian sebenar agenda bangsa. Bila kita buat program yang memperkasakan orang muda contohnya menjuarai isu pengangguran melalui karnival kerjaya siapa yang dapat faedah? Orang Melayu juga. Kita tidaklah menjerit perkara itu, tetapi kita lebih kepada hasilnya.

Sebanyak 140,000 orang muda dapat pekerjaan melalui karnival kerjaya Pemuda, 90 peratus orang Melayu. Bila kita bercakap ‘Hidup Melayu!' biarlah hidup Melayu yang bermartabat. Kita bagi penyelesaian kepada mereka. Ini cara baharu. Sebab itu saya diterima oleh orang UMNO dan bukan UMNO, hasilnya dalam pilihan raya apabila orang muda sudah bersama kita, majoriti saya sendiri di Parlimen Rembau naik tiga kali ganda. Saya bukannya masuk bakul angkat sendiri tetapi bercakap dari segi hasil .

Ya, saya faham ada orang kata ada NGO yang ambil alih tetapi NGO yang ambil alih dari segi retorik sahaja. Tetapi dari segi kerja sebenar, kita telah melaksanakannya. Kita deliver dan ini juga fakta, saya tengok sebab saya dalam jawatankuasa pengurusan, tidak ada satu bulan pun sejak saya jadi Ketua Pemuda di mana sayap Pemuda UMNO paling corot dari segi penambahan ahli baharu. Setiap bulan sejak saya jadi Ketua Pemuda, kita nombor satu. Kita lebih daripada Wanita, kita lebih daripada Puteri, kita lebih daripada parti induk. Kita nombor satu dari segi penambahan ahli baharu UMNO sejak saya jadi Ketua Pemuda.

Tetapi dalam politik ada berkaitan dengan persepsi. Sejauh mana YB dapat bertahan dengan dakwaan mengatakan YB liberal dalam isu berkaitan orang Melayu dan Islam?

KHAIRY: Apakah hak Melayu dan kedudukan agama tergadai sewaktu kita memimpin Pemuda UMNO? Tidak. Kita bawa cara yang baharu dan saya sanggup berdepan dengan persepsi tersebut sebab kita bawa benda yang baharu. Bila kita bawa perubahan dan transformasi, bukan semua orang akan setuju.

Apabila Perdana Menteri lantik saya menjadi Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional (PUNB) untuk menjaga ekonomi bumiputera. Saya bawa program himpunan usahawan bumiputera sebelum pilihan raya, dapat tambahan peruntukan untuk TEKUN, MARA dan PUNB. Ini mungkin orang nampak tak sama dengan cara-cara yang dibuat oleh NGO tetapi saya rasa hasilnya lebih berkesan daripada apa yang mereka buat. Saya lebih menitikberatkan hasil. Dari segi liberal progresif itu hanya pendekatan saya.

Pendekatan saya berbeza, saya buat sosial media, saya buat Facebook, saya buat Twitter, supaya orang muda boleh identify dengan saya. Apakah parti kita nak kepada seorang Ketua Pemuda yang hanya tahu bawa retorik sahaja tetapi tak tahu macam mana nak mendekati dan engage dengan orang muda. Bukan saya nak kata saya dah buat yang terbaik tetapi saya rasa setidak-tidaknya adalah sedikit sebanyak sokongan dan pengaruh saya dan juga Pemuda UMNO atas orang muda pada hari ini. Dan itu sebenarnya yang jadi keutamaan kita. Kita kena tengok dari segi perubahan pemikiran dah lain dah. Pemuda ini kena ada di depan.

Dulu zaman Datuk Harun Idris adalah untuk menjadi agresif dari segi isu bangsa dan sebagainya. Sekarang ini untuk orang muda capture the mood dia kena nampak profesional, ialah sejagat sikit tapi akhirnya kita nak tolong orang Melayu melalui hasil. Dari segi hasilnya tiada siapa yang boleh meragui hasil yang kita bawa.

Keempat-empat pencabar YB adalah sekadar ketua cawangan dan dilihat bukan tandingan YB. Apakah cabaran ini benar-benar untuk perjuangan atau sekadar kacau daun?

KHAIRY: Saya tidak mahu mempertikaikan tujuan mereka bertanding sebab saya rasa tidak adil. Saya pun tak nak mengamalkan kempen yang tak sihat, komen pasal orang lain tapi bagi saya dalam Pemuda ini, cuma saya katakan menjadi Ketua Pemuda ni bukan perkara kecil dan remeh. Keahliannya lebih 650,000 orang. Ini bukan tugas ketua Pemuda cawangan. Ini bukan pemimpin NGO. Ini sesuatu yang serius. Jawatan Ketua Pemuda sama taraf dengan Naib Presiden parti dan kena jaga 191 bahagian. Lumrah manusia pun, bila sebelum kita boleh berlari, kita kena merangkak dulu, bertatih lepas tu jalan dan kemudiannya berlari. Kita tak tiba-tiba merangkak nak lari. Tak boleh. Kena ada proses dalam parti dan saya yakin perwakilan Pemuda UMNO memahami perkara tersebut.

Walaupun saya langsung tidak memperkecilkan pengalaman dan kredibiliti lawan saya, walaupun Ketua Pemuda cawangan sahaja, tetapi nak jadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia ini perkara yang serius dan perlu kepada orang yang berpengalaman dan diterima oleh rakyat.

Saya nak kata apa pun, saya wakil rakyat dah dua kali dah. Satu penggal sebagai Ketua Pemuda, orang kenal saya. Jadi tak perlu saya kenalkan diri kepada rakyat. Maksud yang saya kata di sini, siapa yang kita pilih dalam UMNO mestilah diterima oleh rakyat. Jangan kita pilih orang yang rakyat tak kenal.

Bagaimana dengan orang melihat kemungkinan ini adalah protes terhadap kepimpinan YB?

KHAIRY: Kalau protes yang serius sudah pasti ada Exco atau Ketua Pemuda Bahagian yang lawan saya atau dari Majlis Tertinggi. Tetapi saya tengok pemimpin yang ada kedudukan, tiada siapa yang lawan. Yang lawan pun dari Ketua Pemuda cawangan. Saya melihat ini sebab keterbukaan parti. Kalau protes sudah pasti ada Exco atau Ketua Pemuda negeri atau Ahli Majlis Tertinggi.

Pencabar-pencabar YB membawa tagline Hidup Melayu, soal perjuangan Islam, soal rasuah, angkat sumpah laknat dan sebagainya. Pada pandangan YB, mengapa mereka memilih tagline dan tindakan seperti itu?

KHAIRY: Itu kena tanya mereka. Mungkin mereka rasa itu penting bagi mereka. Tetapi bagi saya, kalau nak cakap soal Hidup Melayu memang saya setuju, Melayu memang hidup pun tetapi apakah kualiti hidup Melayu itu lebih penting daripada kita sekadar melaungkan slogan. Saya dalam Pemuda dah lama sejak 1999, kalau mereka hendak bawa apa-apa slogan bawalah. Saya tetap dengan perjuangan saya. Tidak ada masalah. Saya tidak ada jawatan selama empat tahun dalam kerajaan tetapi saya dapat bertahan juga sebagai Ketua Pemuda UMNO. Ia bukan perkara yang senang. Tiada siapa yang pernah bawa selama empat tahun tanpa jawatan dalam kerajaan. Terutama dalam keadaan macam ni. Tetapi saya berjaya juga menyatukan Pemuda UMNO.

Sekarang ini dah dapat jawatan. Menteri Belia dan Sukan ini bukan saya punya tetapi Pemuda UMNO punya. Dan saya di sini sebagai Ketua Pemuda UMNO. Jadi saya minta perwakilan kalau saya dah bawa Pemuda empat tahun dalam keadaan yang susah, sudah pasti empat tahun akan datang kita boleh melakukan lebih hebat berikutan kedudukan dalam Kementerian Belia dan Sukan.

Ada tafsiran yang menyatakan YB tidak selesa apabila Datuk Mukhriz Tun Mahathir bertanding Naib Presiden? Benarkah?

KHAIRY: Biarlah, kita kalau nak bercakap soal tanggapan, persepsi politik ini saya lagi tak selesa kalau dia nak bertanding Ketua Pemuda. (Ketawa) Bukan kerana saya takut tetapi bertembung dengan rival lama. Dulu pun pertandingan antara kami bagi jawatan Ketua Pemuda sengit. Kali ini kalau saya lawan beliau pun sengit juga. Jadi lebih baik beliau bertanding jawatan lain daripada Ketua Pemuda, tetapi saya tak fikir benda tu.

Mungkin orang percaya atau tidak tetapi jujurnya inilah pandangan dan perasaan saya iaitu kita memerlukan semua orang di dalam UMNO untuk berjaya dalam PRU-14. Semua orang ada tempat. Kalau kita seteru dalam UMNO dan persaingan ini menyebabkan kita rugi dari segi tokoh-tokoh tidak dapat tempat dalam parti yang akan rasa kesannya adalah UMNO. Jadi kita memerlukan semua orang. Daripada Naib-Naib Presiden yang sedia ada kepada pemimpin-pemimpin yang baru nak muncul. Kita memerlukan semua orang sebab kekuatan UMNO datangnya daripada ahli-ahli dan dari semua pemimpin yang ada.

Secara jujur, YB bercakap panjang lebar berhubung peremajaan UMNO. Adakah YB bersetuju bahawa Mukhriz adalah antara orang yang boleh diberi peluang untuk memberi isyarat kepada rakyat bahawa itulah peremajaan UMNO?

KHAIRY: Soal peremajaan ini kita kena lihat dalam konteks lebih menyeluruh. Berhubung Datuk Mukhriz ni, kita tengok kepada corak kempen. Ada masa lagi. Saya rasa untuk adil kepada semua kita tengok apakah penerimaan perwakilan dan rakyat. Semua ada kelebihan masing-masing. Kalau nak cakap soal kelebihan Naib-Naib Presiden sedia ada di segi orang muda pun ada juga. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Hisham pun pernah jadi Ketua Pemuda. Datuk Zahid pun pernah jadi Ketua Pemuda dan diterima baik oleh orang muda. Jadi, kita tak boleh kata usia adalah faktor penentu. Tapi kita tengok macam mana. Lama lagi ada dua minggu lagi.

Berbanding dengan Pas, orang melihat UMNO tidak ke depan dalam isu berkaitan agama. Bila nak bercakap soal Melayu, kita takut dituduh rasis?

KHAIRY: Tidak juga, kita tengok baru-baru ini PM umum program pemerkasaan bumiputera itu adalah hasil daripada perbincangan kita dalam MT, dalam UMNO tetapi macam saya sebutkan tadi, apa yang PM umumkan itu result-based, dia ada hasilnya serta perancangan. Tak guna kita jerit, kita memekik soal Hidup Melayu kalau tak ada perancangan. Yang lebih penting adalah perancangan. Satu perkara yang saya belajar, bila saya observe contohnya kaum Cina, kejayaan mereka, sebab apa, sebab ada perancangan. Dia orang tak laungkan apa-apa. Adalah kadang-kadang Dong Zong buat tapi lebih kepada perancangan tersusun. Itu yang kita nak buat sekarang. Itu yang tersurat dan tersirat.

Perancangan YB di peringkat nasional memang mantap tetapi pelaksanaan di peringkat akar umbi iaitu bahagian dan cawangan bagaimana?

KHAIRY: Itu berbalik kepada pemantapan organisasi. Sebab itu saya minta perwakilan cari pemimpin yang betul-betul boleh carry jawatan Ketua Pemuda bahagian dan ini penting. Sebab jawatan itu adalah ejen utama saya di peringkat akar umbi yang boleh melaksanakan tugas. Kita ada perancangan yang baik di peringkat nasional tetapi bila nak sampai ke bawah itu, saya mesti bergantung kepada Ketua Pemuda bahagian. Dia mesti melaksanakan tugas, menjalankan program. Ada yang berjaya ada yang tak berjaya. Saya minta kali ini kita pilih pemimpin yang kita rasa betul-betul boleh carry visi saya di peringkat akar umbi. Kalau tidak tak sampai. Saya nak buat sendiri susah. 15,000 cawangan, mesti juga dapat push daripada Ketua Pemuda bahagian.

Pesanan YB kepada Pemuda dan ahli UMNO?

KHAIRY: Kita buktikan kepada rakyat bahawa keterbukaan dan demokrasi yang kita bagi pada parti kita ini, kita pikul dengan penuh bertanggungjawab. Maksudnya walaupun lebih ramai lagi diberi hak untuk mengundi, walaupun sesiapa yang nak bertanding boleh bertanding tetapi kita kena fikir soal masa depan parti kita dengan serius. Dan bagi saya kepada perwakilan Pemuda saya menghormati pencabar saya. Semua pencabar saya walaupun datang dari peringkat cawangan tetapi sebagai orang yang berani tampil ke depan kita menghormati mereka. Tetapi kita kena fikirkan dari segi perancangan dari segi hasil, track record, kestabilan parti, saya rasa saya dah buat yang terbaik sepanjang empat tahun tanpa apa-apa jawatan pun. Saya harap mereka dapat memberi sokongan padu kepada saya untuk penggal akan datang.


Sumber: http://www.utusan.com.my

2 comments:

Anonymous said...

aku percaya, matlamat KJ itu memang berasas. tunggu & lihat penggal mendatang.

Aliasempoi said...

the best man will win,, KJ4KP Kepada Perubahan.