Pemuda Umno akan mengadakan program ceramah umum jelajah Pentas Patriot di Bukit Kepong yang bertempat di Dataran Gerai, Majlis Perbandaraan Muar, cawangan Bukit Kepong pada hari Jumaat ini, 21 Oktober 2011.
Penceramah Pentas Patriot pada malam tersebut terdiri daripada Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin dan turut sama Temengong Datuk Kanang Anak Langkau beliau adalah Wira Negara, Tn. Shafie bin Bakri yang merupakan Presiden Bekas polis Malaysia.
Pentas Patriot akan bergerak di seluruh negara untuk menghargai wira negara ekoran kontroversi di sebalik kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengenai tragedi Bukit Kepong.
Pengisian yang merangkumi tayangan video atau multimedia, ceramah umum daripada Unit Pidato Pemuda Umno serta jemputan khas daripada bekas-bekas komando, askar, pasukan polis serta pakar-pakar sejarah tanah air.
Pentas Pemuda bukan sahaja dapat mengimbau kembali sejarah perjuangan lampau, bahkan meniup dan menyemarakkan roh perjuangan dan patriotisme dikalangan rakyat, terutama anak-anak muda.
Terdahulu Khairy Berkata “Pentas Patriot juga bakal menghidangkan kepada anak-anak muda Malaysia rentetan peristiwa yang menyoroti perjuangan bagi menggapai kemerdekaan di samping mendedahkan bahawa teori Mohammad Sabu tidak lebih dari satu penipuan yang cuba diabadikan oleh mereka yang tidak mahu menerima hakikat bahawa kebebasan dan kemerdekaan negara dicapai melalui hikmah dan kebijaksanaan tanpa sebarang pertumpahan darah,”.
Bagi Pemuda Umno kata beliau, terjahan Mohammad yang bukan sahaja menghina dan mengkhianati perjuangan anak bangsa, malahan mengagungkan pengganas komunis semasa tragedi Bukit Kepong menampakkan belang sebenar PAS dan juak-juak pembangkang yang sanggup melakukan apa sahaja demi nafsu serakah politik mereka.
“Malahan sikap Mohammad serta kepimpinan pembangkang yang langsung tidak menampakkan kekesalan dengan memberikan alasan dan hujah yang menuding jari kepada Umno dan masyarakat umum yang marah dengan penghinaan tersebut amatlah memualkan,” katanya.
Pemuda Umno, kata Ketua Pemuda Barisan Nasional ini bersekali dengan seluruh rakyat Malaysia terutama sekali golongan serta ahli keluarga warga perajurit dan pasukan keselamatan negara, mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya kenyataan biadap Mohammad.
“Bagi kami, Pentas Patriot adalah langkah terbaik bagi menangani isu ini dan kami menyeru rakyat semua untuk turut hadir menyertai program ceramah umum yang akan dilaksanakan seluruh negara,” kata Ahli Parlimen Rembau ini.