Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin hari ini menyambut baik pengumuman pemansuhan akta ISA yang di umumkan oleh Perdana Menteri semalam.
Transformasi Jitu
Berkata menerusi laman facebook rasmi beliau
http://www.facebook.com/khairykj Saya (KJ) mengucapkan syabas kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak, serta Kerajaan Malaysia yang diterajui oleh Barisan Nasiona di atas pengumuman beberapa inisiatif penting di dalam tranformasi politik negara pada malam tadi, yang merangkumi pemansuhan, kajian semula dan penggubalan pelbagai akta, selaras dengan kita melangkah maju, dengan kepekaan kepada perubahan dan tuntutan zaman, dalam usaha menjadi sebuah negara moden lagi progresif.
Medan dan perbatasan politik masa kini menuntut kepada pendekatan substantif berupa hasil, aksi dan tindakan dan bukannya tawaran wayang kulit, berupa lakaran janji dan retorik. Sehubungan dengan itu, langkah berani dan jitu Perdana Menteri tersebut membuktikan bahawa transformasi politik dan juga ekonomi yang diketengahkan oleh Kerajaan adalah bersifat konkrit dengan ketegasan kepimpinan dan gerak kerja yang serius bagi memastikan kejayaannya.
Pada masa yang sama, dari segi perinciannya, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang sudah beroperasi lebih dari 50 tahun di negara ini, yang bakal digantikan dengan dua akta anti keganasan, adalah suatu yang bertepatan dan serasi dengan tuntutan zamannya. Saya sendiri telah mengenengahkan beberapa aspek penting di dalam Akta berkenaan yang perlu diubah seperti tahanan tanpa bicara, kuasa Menteri serta keperluan suatu mekanisme bagi mengelakkan Akta tersebut disalahgunakan seawal 17 November 2008 lagi, di samping menegaskan keperluan perundangan bagi menangani risiko daripada kegiatan pengganas. Oleh itu saya amat meyokong tindakan ini dan juga komitmen Kerajaan bahawa sebarang penahanan tidak akan berlandaskan pemahaman ideologi politik semata-mata. Disamping itu, saya menyokong penuh usaha bagi menggubal dua akta baru yang khusus bagi mengisi keperluan aspek pencegahan di dalam menjaga ketenteraman dan keselamatan awam negara, terutama sekali bagi menangani aktiviti berupa keganasan daripada berputik dan menular di negara yang kita cintai ini.
Dalam pada itu, sebagai seorang yang memperjuangkan kebebasan media yang berpandukan kebertanggungjawaban, saya begitu mengalu-alukan kesedian dan keputusan Kerajaan untuk mengkaji semua Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) yang mana melibatkan penghapusan pembaharuan tahunan yang akan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan. Dalam isu ini, saya telah membangkitkan keperluan untuk memansuhkan PPPA semasa memberi ucapan pada suatu majlis anjuran Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia pada 10 Mei 2008 dan telah beberapa kali mencadangkan di dalam Dewan Rakyat berhubung keperluan suatu badan bebas berupa Suruhanjaya Aduan Media bagi mengawal selia industri media disamping mengambil alih peranan PPPA dan Kementerian Dalam Negeri. Saya harap pindaan kepada PPPA ini adalah langkah awal kearah keterbukaan dan kebebasan media yang lebih luas dalam masa yang akan datang.
Saya juga menyambut baik perancangan dan kesediaan Kerajaan bagi memansuhkan perundangan lama seperti Akta Buang Negeri 1959 dan juga Akta Kediaman Terhad 1933 disamping mengambil titik tengah dengan mengkaji dan meminda Akta Polis 1967 agar selari dengan peruntukan hak asasi rakyat berhimpun.
Secara keseluruhannya, segala usaha tersebut membuktikan kesungguhan, komitmen dan keseriusan Kerajaan menterjemahkan makna dan hasrat perubahan di dalam gagasan transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri. Ia juga membuktikan bahawa Barisan Nasional bukan sahaja wira dan peneraju politik baru berasaskan penyelesaian masalah dan keperluan rakyat tetapi juga berani menakhoda zaman di dalam aspek nilai-nilai demokrasi, ketelusan serta hak asasi rakyat.
Namun demikian, segala perubahan ini juga menuntut kepada anjakan minda dan kesediaan semua untuk kita memacu agenda transformasi ini dengan tuntas dan deras. Yang berat kita junjung, yang ringan kita jinjing, oleh itu, saya menyeru kesemua rakyat untuk kita semua bersama-sama menyokong dan menyahut seruan Perdana Menteri bagi melahirkan era politik baru berlandaskan demokrasi, kebebasan dan keadilan.