Tuesday, August 16, 2011

Najib Tubuh Jawatankuasa Terpilih Parlimen Mengenai Pembaharuan Pilihan Raya


Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa terpilih Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang syak wasangka wujudnya manipulasi oleh kerajaan.

Perdana Menteri berkata jawatankuasa berkenaan yang akan dianggotai oleh anggota parti kerajaan dan pembangkang akan membincangkan apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kata sepakat ke arah itu.

"Ini supaya kita akan dapat kata sepakat untuk mengendalikan pilihan raya akan datang tanpa sebarang rasa syak wasangka bahawa ada sesuatu manipulasi yang dilakukan oleh kerajaan.

"Sebab itulah bila timbul pertikaian mengenai pilihan raya bebas dan adil yang dibangkitkan baru-baru ini maka kerajaan punya respons ialah untuk kita menangani soal yang telah mencetuskan pelbagai pendapat dan sedikit sebanyak pertikaian dan politik," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama media yang dihoskan Bernama di Wisma Bernama di sini.

Beliau berkata langkah itu diambil supaya tidak ada yang salah anggapan bahawa kerajaan tidak menginginkan proses yang bersih dalam memilih kerajaan. Beliau berkata kerajaan juga komited untuk meneruskan tradisi demokrasi berparlimen yang telah dimulakan oleh pengasas negara sebelum ini.

"Saya dah kata dan saya ulang sekali lagi, saya dan anggota-anggota kabinet tidak rela menjadi perdana menteri dan menteri tanpa sokongan daripada rakyat. Kami hanya akan tubuh kerajaan sekiranya terbukti rakyat benar-benar memilih kerajaan Barisan Nasional.

"Inilah yang saya nak sampaikan bahawa jangan ada sesiapa yang salah anggap bahawa kita tidak menginginkan proses yang bersih dalam memilih kerajaan," katanya.

Beliau berkata proses itu bukan perkara baru, tetapi adalah tradisi dan kebanggaan, dan sebagai pewaris kepada legasi yang telah diasaskan, amalan itu perlu diteruskan.

Katanya walaupun demokrasi mempunyai kelemahan, namun ia suatu cara pentadbiran yang sangat menguntungkan rakyat kerana ia memberi pilihan kepada mereka.

"Dan kita serah nasib kita pada rakyat, kalau nasib sabut kita timbullah, kalau nasib batu sebaliknyalah...tetapi yang penting sekali 'our conscience is clear'," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga mengabdikan diri kepada rakyat selain memperjuangkan, membela kesejahteraan, kebajikan manakala mendahulukan rakyat itu merupakan sesuatu yang dihayati sentiasa.-Bernama


Ini baru betul cara Kerajaan menyelesaikan Masaalah pilihanraya bukan perhimpunan haram jalanan....

No comments: