Wednesday, April 18, 2012

0 Pembangkang Biadap Di Istana Negara: P Kamalanathan Tetap Pertahan Dakwaan Dr Rahman...


Cerita beberapa ahli parlimen pembangkang didakwa biadap ketika majlis Pertabalan Yang Di Pertuan Agong, di Istana Negara, Rabu lalu masuk episod baru.

Jika semalam Timbalan dan Naib Presiden PKR, Azmin Ali serta Tian Chua dan ahli parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad bercerita seolah-olah mereka tidak buat salah seperti didakwa Dr Rahman Kadir.

Selain mempertikai kewujudan doktor itu di balairong seri, mereka bertiga juga sepakat tuduh semua itu agenda UMNO dan Barisan Nasional.

Namun, skrip mereka berbeza dengan apa didedahkan ahli parlimen BN Hulu Selangor, P.Kamalanathan yang turut hadir di majlis tersebut.

Sebelum ini beliau sudah mengesahkan apa yang didakwa pegawai perubatan,Dr Rahman Kadir benar.

Bercakap kepada Agendadaily Selasa ekoran dari usaha Ahli Parlimen pembangkang nak melepas diri dari dakwaan itu, beliau tetap pertahan ada unsur-unsur kebenaran apa didedahkan Dr Rahman dalam blognya yang kemudian dilaporkan akhbar.

“Saya tidak kenal doktor tersebut (Dr Rahman) tetapi apa dilaporkan ada kebenaran. Tetapi saya tidak dapat sahkan seratus peratus apa dilaporkan tetapi ada unsur-unsur kebenaran,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, Selasa.

Menurut Kamalanathan, beliau duduk di barisan belakang ahli parlimen Gombak (Azmin) dan Shah Alam (Khalid) di Balai Rong Seri Istana Negara semasa majlis pertabalan itu.

Katanya waktu insiden itu beliau mendengar ada perbualan dengan unsur perli dan ejekan terhadap Perdana Menteri dan timbalannya, TYT Melaka, Sultan Pahang, Sultan Selangor dan Sultan Perak.

“Sama ada ahli parlimen Batu (Tian Chua) terbabit, saya tidak dengar kerana jauh daripadanya,” ujar Kamalanathan.

Katanya, beliau paling dekat dengan Azmin dan Khalid serta dengar apa dikatakan.

Sehubungan itu, beliau bersedia tampil memberi penjelasan jika ditubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat perkara itu termasuk dicadangkan Tian Chua.

Menjawab soalan, Kamalanathan berkata, sudah jadi SOP (Standard Operation Prosedure) apabila pembangkang menunding jari kepada UMNO dan BN jika mereka dikaitkan dengan apa-apa dakwaan.

“Ini tak ada kena mengena dengan UMNO dan BN. Mereka hanya mahu lepaskan diri dengan salahkan orang lain,” katanya.

Sementara itu, Tian Chua adakan sidang akhbar memaklumkan sudah menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia minta ditubuhkan jawantakuasa di bawah peraturan mesyuarat 80A bagi menyiasat dakwaan doktor berkenaan.

Tian Chua mendakwa tulisan doktor itu memalukannya sebagai ahli parlimen dan wajar disiasat serta diambil tindakan terhadap Dr Rahman kerana memfitnahnya.

Namun, tindakan itu mungkin hanya taktik nak tutup malu kerana usul beliau itu bukanlah sesuatu yang wajar disegerakan melainkan usul di bawa kerajaan.

Dengan sidang Dewan akan berakhir Khamis ini, mustahil usul itu diterima untuk dibahaskan.

Mungkn Tian Chua tahu perkara ini tetapi dengan berbuat demikian, beliau nampak seolah-olah tidak terbabit perbuatan biadap pada Rabu lalu.

Dalam pada itu, ahli parlimen PAS Kota Raja, Dr Mariah Mahmud yang turut dikaitkan oleh doktor itu dalam tulisannya bercadang mengambil tindakan menyaman Dr Rahman.

Menyifatkan doktor itu sebagai tidak bertanggjawab dan membuat fitnah, Dr Mariah berkata, beliau sudah menghubungi peguamnya bagi tujuan itu.

Jelaslah, cerita dakwaan ahli parlimen pembangkang berkelakuan biadap sudah masuk episod baru dengan pengakuan Kamalanathan serta tindakan terbaru Tian Chua serta Dr Mariah bagi mempertahankan diri masing-masing.

Entahlah...namun ada yang berpendapat, mereka terpaksa berbuat demikian kerana khuatir hilang sokongan pengundi Melayu kerana perbuatan yang dianggap menghina sultan atau raja-raja, amat sensitif kepada orang Melayu.-Agendadaily

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates