Monday, April 16, 2012

0 Tujuh Lindung Jamin Susulan Akta Baru Ganti ISA


Kerajaan telah mengambil keputusan mengadakan tujuh lindung jamin berikutan penggubalan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Tujuh lindung jamin yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan rang undang-undang baru itu di Dewan Rakyat hari ini ialah:

1) Tiada seseorang boleh ditangkap atau ditahan atas kepercayaan atau aktiviti politiknya.

2) Kuasa Menteri Dalam Negeri untuk menahan tanpa perbicaraan mana-mana individu dimansuhkan. Polis diperuntukkan kuasa khas menangkap dan menahan mereka yang dipercayai terlibat dengan kesalahan keselamatan.

3) Mereka yang ditangkap bebas membuat permohonan habeas corpus di mahkamah dan boleh mencabar alasan tahanan dan tatacara tahanan di mana kuasa semakan kehakiman dikembalikan sepenuhnya kepada mahkamah.

4) Klausa “sunset” bagi tempoh tahanan 28 hari disemak lima tahun sekali dan hendaklah terhenti berkuat kuasa melainkan, jika, apabila semakan dibuat, suatu ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa peruntukan itu.

5) Polis yang menjalankan siasatan terhadap seseorang hendaklah memaklumkan kepada waris atau keluarga terdekat secepat mungkin mengenai penangkapan dan penahanan individu berkenaan dengan tempoh tahanan tidak boleh melebihi daripada 48 jam.

6) Kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa secara pentadbiran untuk menyemak keseluruhan akta itu dari semasa ke semasa di mana jawatankuasa tersebut juga bertanggungjawab untuk meneliti pelaksanaannya serta mengemukakan syor untuk penambahbaikan.

7) Mahkamah khas diwujudkan secara pentadbiran untuk mendengar kes-kes keselamatan di bawah rang undang-undang tersebut dan hakim yang berpengalaman diberi pendedahan kepada semua bentuk kesalahan keselamatan dan peruntukan undang-undang yang akan digunakan.

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates