Friday, February 8, 2013

Bekas Exco PAS Terus Desak Hadi Jawab Penyelewengan Dana Memali


Pemimpin tertinggi PAS termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang harus bertanggungjawab atas penyelewengan yang didakwa berlaku dalam pengendalian Tabung Mangsa Memali, menurut seorang bekas Exco Dewan Pemuda PAS Kedah.

Zainon Ismail berkata pimpinan PAS kini cuba mengelakkan perkara tersebut daripada dibawa ke mahkamah kerana khuatir akan pecah tembelang yang disorok mereka selama ini.

“Pihak yang terlibat ialah peringkat tertinggi dalam PAS. Sebab itu ada perkara yang mereka tak mahu perkara ini dibawa ke mahkamah, takut-takut ada benda lain lagi yang akan terkeluar.

“Antara yang paling tinggi ialah daripada Presiden, sampai kepada jawatankuasa PAS Pusat memang bertanggungjawab kerana tabung ini ditubuhkan oleh PAS Pusat,” jelas beliau kepada pemberita.

Sebagai individu yang pernah bertanggungjawab menguruskan tabung tersebut, Zainon memberitahu antara saluran derma yang tertinggi diterima adalah melalui lidah rasmi PAS, iaitu Harakah di mana Hadi, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak adalah sebahagian daripada anggota Lembaga Pengarahnya.

“Dan (hasil kutipan) tabung-tabung ini berada antara tempat yang paling tinggi ialah di Harakah. Kalau pihak-pihak berkenaan, peguam-peguam kita pandai selongkar, habis pimpinan PAS kena turun jadi saksi. Sama ada Presiden, Cikgu Pa (Mustafa), Menteri Besar Kedah sekarang, kerana mereka ini semua Lembaga Pengarah Harakah. Duit itu mereka yang simpan, mereka yang pegang.

“Kemudian, terdapat juga duit Tabung Memali ini di Pejabat Agung PAS Pusat. Terdapat juga di pejabat Perhubungan PAS negeri Kedah..jadi banyak..” katanya yang pernah menjadi wartawan di Harakah.

Selain itu, Zainon turut mendakwa Harakah juga memainkan peranannya di dalam mengelirukan para pembaca yang terdiri daripada ahli-ahli PAS di seluruh negara dengan menyatakan bahawa siasatan isu penyelewengan tabung tersebut berdasarkan laporan polis yang dibuatnya sekitar tahun 2000 telah selesai.

Tulisan kolumnis, Zulkifli Yahaya di dalam akhbar tersebut katanya dilihat cuba menutup kebenaran tentang anak-anak yatim dan balu-balu mangsa Memali yang dinafikan hak untuk menerima wang daripada tabung tersebut yang dilancarkan khas untuk meringankan beban mereka.

“Zul Yahya tulis dalam Harakah sebagai andaian dia..hasil daripada tulisan itu, seluruh ahli-ahli PAS Malaysia yang baca Harakah memang faham begitu, isu tabung ini sudah selesai. Betul isu tabung selesai (tapi) wang anak yatim yang ada dalam PAS itu sudah atau belum selesai, ini persoalannya,” ujar beliau.

Kontroversi mengenai penyelewengan tabung tersebut telah memaksa mantan Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor menghentikannya pada tahun 2002 bagi mengelakkan fitnah.

Peristiwa Memali yang berlaku pada 19 November 1985 telah mengorbankan seramai 14 orang dan menyaksikan berpuluh yang lain tercedera.

Insiden yang dinamakan ‘Operasi Angkara/Operasi Hapus’ oleh pihak berkuasa itu menyaksikan penahanan beratus-ratus orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ia dilaksanakan pihak berkuasa bagi menangani penularan ajaran sesat yang dipercayai cuba dibawa oleh Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya yang turut terbunuh semasa insiden tersebut.

-Antarapos

No comments: