Thursday, February 7, 2013

PAS Menuju Kehancuran


Semakin lama PAS berada dalam pakatan pembangkang, semakin celaru dan terkeluar daripada perjuangan asal walaupun beberapa orang pemimpin tertingginya menafikan perubahan tersebut.

Ramai penyokong PAS merasakan akibat menularnya pengaruh Anwar dalam kepimpinan parti, perjuangan untuk mempertahankan kewibawaan ulama kian goyah kerana ia berseberangan dengan dasar sosialisme dan demokrasi totok yang ingin dieloporkan oleh PKR dan DAP.

Perubahan penting mengenai prinsip perjuangan PAS ialah bila mana “negara Islam” sudah berubah kepada “negara berkebajikan” di mana konsep negara dalam pendekatan teologi bertukar menjadi sosialisme yang hendak disesuaikan dengan prinsip Islam.

Atas kehendak tersebut, kepimpinan PAS berubah di mana kumpulan yang disifatkan sebagai erdogan atau teknokrat sudah mengambil alih peranan ulama, misalnya kedudukan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS dan Husam Musa sebagai Naib Presiden.

Husam Musa yang pernah menjadi orang harapan Mursyidul Am PAS, yang begitu lantang mempersoalkan mengenai royalti minyak bukanlah seorang pemimpin yang boleh membantu mencergaskan pertumbuhan ekonomi Kelantan.

Husam pernah gagal dalam projek Kelantan Gold Trade, penternakan kambing dan begitu menyepi dalam kerugian besar Koperasi Kohilal, kini terpalit dengan pembangunan Lembah Sireh yang tidak menguntungkan kerajaan negeri.

Kelantan yang dikatakan terbantut proses pembangunannya kerana semua pemimpin PAS lebih banyak bermain politik daripada membaiki kehidupan rakyat, sebenarnya lebih bijak mencari sumber kewangan untuk kepentingan parti sehingga mampu memiliki lebih banyak bangunan termasuk pembelian jutaan ringgit bangunan UMNO Kota Bahru untuk dijadikan bangunan PAS Kota Bahru.

Biarpun ada wakil rakyat PAS mendakwa bahawa pertumbuhan ekonomi di kawasan Tok Bali adalah perancangan kerajaan negeri, ramai yang kecewa sebenarnya PAS begitu besar pembohongannya. Pertumbuhan Tok Bali boleh ditelusuri kesan kemenangan BN dalam pilihan raya kecil DUN Cherang Ruku yang diadakan pada tahun 1997.

Ketika meraikan kemenangan BN di Padang Sekolah Kebangsaan Cherang Ruku, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkereta dari Pengkalan Chepa melalui Jambatan Kayu hasil usaha dan idea bekas wakil rakyat, Datuk Wan Omar Wan Majid, memuji keindahan persekitaran semulajadi, manakala Tan Sri Anwar Musa berjanji akan membuat permohonan untuk membina sebuah jambatan baharu merentasi Sungai Semerak.

Pembinaan Terusan Semerak bagi mengatasi masalah nelayan untuk keluar masuk ke Laut China Selatan kerana Kuala Semerak dibatasi oleh timbunan pasir yang membentuk beting, adalah usaha yang dirintis oleh pemimpin UMNO dan kerajaan pusat, bukannya usaha kerajaan negeri yang dipimpin oleh Nik Aziz.

Tok Bali dibangunkan sebagai pelabuhan perikanan dengan melengkapkan kawasan-kawasan di sekitarnya hingga ke Pak Mayong dengan Kompleks Perikanan. Kompleks tersebut adalah menggunakan peruntukan persekutuan dan dimajukan oleh agensi kerajaan persekutuan, bukannya agensi kerajaan negeri.

Bagaimanapun, setelah Tok Bali mencapai tahap pembangunan yang besar, pemimpin PAS mendakwa bahawa projek terbabit adalah oleh kerajaan negeri. Semua orang tahu, pemimpin PAS hanya berbohong bahkan dalam banyak perkara, mereka turut berbohong mengenai agama.

Baru-baru ini, PAS terpaksa membuat pusingan u yang keterlaluan kerana sudah didesak oleh ramai ornag Islam agar mempertahankan istilah Allah sebagai hak mutlak agama Islam. Kalimah Allah tidak sesuai digunakan oleh bukan Islam kerana ia tidak menepati maksudnya. Kalimah Allah dalam perspektif Islam mempunyai ikatan yang kuat dengan prinsip tauhid dan akidah, sedangkan konsep tuhan dalam masyarakat bukan Islam adalah bersifat ritual semata-mata.

Atas kekhususan maknya itulah ramai juga tokoh agama Kristian tidak bersetuju menterjemahkan God, Lord ke bahasa Melayu kerana nama bagi tuhan yang digunakan dalam Bible adalah Yehweh atau Elihu. Sedangkan dalam pengertian Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa, tidak beranak dan diperanakkan. Dalam kepercayaan Kristian, konsep tuhan berada dalam tiga dimensi, Tuhan Bapak, Tuhan Anak dan Rahul Kudus.

Terdapat keanehan apabila Nabi Isa a.s. yang dianggap sebagai “anak tuhan” yang diutuskan untuk menebus “dosa warisan” dan dalam masa yang sama tidak melihat bahawa Maryam, seorang wanita yang melahirkan “ibu tuhan” sedangkan dia melahirkan “anal tuhan” yang kemudiannya dikenali sebagai Jesus.

Ketika Nabi Isa a.s diutuskan untuk “menyelamatkan akidah manusia”, para pengikut baginda tidak diisytiharkan sebagai penganut Kristian, ia adalah sebagai pengikut Jesus dari Nazareth. Nama Kristian hanya diberikan oleh seorang rahib Yahudi yang bernama Sahul atau Paul, yang kemudiannya mendakwa Nabi Isa a.s perlu disalibkan untuk menghapuskan “dosa warisan.”

Paul juga turut mempertikaikan banyak ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa a.s dengan meminda sebahagian besar Old Testament bagi menyesuaikan dengan pelbagai mitos purba Yunani dan tradisi Yahudi agar penganut ajaran dari Nazareth itu tidak banyak pertentangan dengan Judaisme.

Kalimah Allah merupakan kemuncak penghinaan bukan Islam terhadap penganut Islam kerana kelompok Yahudi berpendirian, pegangan umat Islam akan sentiasa kental selagi akidah umat Islam tidak diancam. Maknanya, apabila menukarkan istilah God, Lord, Yehweh atau Elihu kepada Allah, dalam jangka panjangnya mereka boleh mendakwa bahawa semua agama menyembah tuhan yang sama, maka semua agama adalah sama kecuali jalan yang diambilnya berbeza.

Penyerangan dalam bentuk fikiran itulah dipercayai mampu menjadikan umat Islam hilang pedoman sehingga membentuk kelompok yang terlalu bermazhabkan rasional. Unsur-unsur ini semakin berkembang dalam PAS apabila sebahagian pemimpinnya sanggup percayakan bahawa kalimah Allah sudah digunakan oleh bukan Islam sejak zaman Nabi Muhammad SAW, maka bukan Islam mempunyai hak yang sama dan tidak wajar disekat.

Bagaimanapun, ketika isu ini kembali bergema apabila Lim Guan Eng memberikan cadangan pada 26 Disember 2012 ketika cuba mengambil hati penganut Kristian bahawa istilah Allah wajar dibenarkan untuk menterjemahkan God, Lord, Yehweh atau Elihu dalam Bible.

Pada 8 Januari 2013, Presiden PAS Haji Hadi Awang mengeluarkan kenyataan bahawa bukan Islam tidak wajar disekat daripada meneruskan penggunaan Kalimah Allah, kerana ia adalah bukan istilah khusus umat Islam. Pendirian tersebut mendapat reaksi lega daripada sebahagian besar ahli politik yang cenderung dengan falsafah liberal, termasuk pemimpin DAP, Mursyidul Am PAS.

Pada 13 Januari 2013, Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan tidak bersetuju penggunaan Kalimah Allah untuk menterjemahkan God atau Lord dalam versi bahasa Melayu Bible dengan alasan takut disalahgunakan. Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am PAS, yang sebelum ini dilihat bersetuju dengan permintaan Lim Guan Eng.

Akibatnya, PAS berhadapan dengan serangan daripada sekutunya, termasuk Karpal Singh yang memohon agar keputusan Majlis Syura Ulama PAS diteliti semula. Karpal mendesak Presiden dan Mursyidul Am PAS berusaha mempengaruhinya agar tidak bercanggah dengan keputusan yang dibuat pada 8 Januari 2013.

Sebelumnya, PAS menjadi gelisah apabila seorang aktivisnya mengeluarkan buku Kafirkah Aku? mendedahkan keburukan amanat Haji Hadi yang dikeluarkan pada tahun 1981. Amanat tersebut ternyata meninggalkan banyak kesan buruk, tetapi pemimpin PAS tidak menganggap ianya sebagai punca perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam.

Masyarakat mendesak agar Haji Hadi memohon maaf secara terbuka. Bagaimanapun, Haji Hadi terus memutarbelitkan fatwa itu dengan berkata, ia tidak sepatutnya ditimbulkan kerana sudah berlalu lebih tiga dekad. Nik Aziz turut menyelar desakan itu dengan menyatakan bahawa Haji Hadi tidak sepatutnya dipersalahkan kerana tanpa amanat itu, masyarakat Melayu-Islam sudah pun berpecah.

Nik Aziz yang menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke-82, menurut portal Malaysiakini 27 Januari 2013 tiba setengah jam lebih awal di rumah Karpal Singh di Jalan Scotland, Pulau Pinang. Nik Aziz memotong kek tanda ulangtahun kelahirannya dengan disaksikan oleh pemimpin DAP, PAS dan PKR.

Sebelum ini, para pemimpin PAS mengeluarkan kenyataan memprotes khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Khalid Samad yang pernah menimbulkan kontroversi apabila membuat bai’ah untuk menceraikan isterinya jika berlaku perbezaan fahaman politik menyelar Khutbah Jumaat yang dibacakan di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai “tidak wajar” dan “tidak bertanggungjawab.”

Khutbah yang dibacakan pada hari Jumaat (25 Januari 2013) menyeru umat Islam agar bersatu untuk menentang sebarang bentuk percubaan mengoncangkan akidah umat Islam dan ia bukanlah bersifat menanam perasaan benci ke atas penganut agama lain, termasuk Kristian berhubung desakan menterjemahkan God atau Lord kepada Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.

Kecaman Khalid dibantah oleh ramai pihak termasuk alim ulama. Mereka melihat pendirian Khalid itu sebagai melampau dan terdesak, boleh memberikan kesan buruk kepada umat Islam. Peranan khutbah Jumaat bukanlah menghasut penganut Islam agar membenci penganut Kristian, sebaliknya mengingatkan umat Islam agar berwaspada dengan gerakan mempengaruhi pemikiran, boleh menerima istilah Allah bukan khusus untuk Islam.

Melihat perkembangan terbabit, jelaslah PAS bukanlah sebuah parti politik yang mempunyai dasar perjuangan yang jelas, kerana perjuangannya berubah-ubah. Gaya kepimpinan politik juga terlalu mengalah dengan kehendak dan kemahuan DAP atau PKR manakala akar umbi mahukan parti itu keluar dari pakatan pembangkang, jika mahu meraih sokongan besar dalam pilihan raya umum ke-13 nanti (PRU 13).

Akar umbi tidak dapat melihat matlamat perjuangan PAS membawa kebaikan, kerana bibit-bibit kemusnahan sedang menular masuk dalam perjuangan politik mereka. Rakyat semakin sedar dan bangkit mempersoalkan sejauhmanakah hubungan dalam pakatan pembangkang mampu memperkasakan Islam. Rakyat sudah terhidu dengan tembelang para pemimpin tertinggi yang terlalu terdesak sehingga sanggup membuang pemimpin sendiri yang dilihat tidak bersetuju dengan kehendak DAP dan PKR.

Dr Hasan Ali sudah dipecat kerana enggan menyerah atau tunduk kepada kehendak politik DAP dan PKR berhubung dengan percubaan mengkhianati Islam. Hasan Ali digugurkan sebagai ahli PAS dan EXCO yang bertanggungjawab dalam penguatkuasaan peraturan Islam di Selangor, kerana tegas mempertahankan tindakan JAIS dan MAIS dalam tindakannya menyekat aktiviti pemurtadan, penjualan arak di kedai serbanika dan larangan bekerja di rumah-rumah hiburan yang menghidangkan alkohol.

Terakhir ialah pengguguran Nasharudin Mat Isa sebagai anggota Majlis Syura Ulama PAS kerana keterlibatan bekas Timbalan Presiden PAS dengan beberapa lawatan Perdana Menteri ke negara-negara Arab. Beberapa bulan lalu, Nasharudin dilihat bersama Perdana Menteri bertemu dengan pemimpin tertinggi Arab Saudi dan terbaharu ialah bersama mengunjungi Gaza beberapa hari lalu.

Kejayaan Perdana Menteri menjejakkan kaki ke bumi Gaza telah membuahkan tuduhan melampau sehingga Nasarudin Hasan melihatnya sebagai “hipokrasi yang durjana.” Tuduhan itu sebenarnya berpunca daripada keengganan PAS untuk mengakui bahawa Perdana Menteri telah berjaya membawa misi kemanusiaan yang lebih besar kepada masyarakat antarabangsa bahkan mendapat liputan meluas media Amerika Syarikat.

PAS sebenarnya sedang berhadapan dengan masalah imej yang serius dan bertambah buruk setelah jatuh terjerumus dalam jerat bukan Islam, bersetuju dengan kehendak DAP dan PKR. PAS begitu sangat ingin mempertahankan pakatan pembangkang walhal akar umbi sudah melihat hubungan itu semakin menjadi liabiti bersar kepada parti.

Pemimpin PAS sebenarnya sedang kebingungan kerana kedudukan Tok Guru dan Tuan Guru tidak lagi dianggap berpengaruh, kerana yang paling berpengaruh dalam organisasi itu ialah pengaruh Anwar. Akar umbi semakin tidak mahukan Anwar, tetapi petunjuk itu tidak dapat dibaca dengan jelas oleh Nik Aziz dan Haji Hadi.

Akar umbi sudah bersedia untuk menolak Haji Hadi dan Nik Aziz, cuma mereka masih belum menyatakan keinginan tersebut secara terbuka. Mereka khuatir, jika Nik Aziz tidak mengetuai PAS di Kelantan, parti itu ketandusan pemimpin yang berwibawa dan mampu berhadapan dengan serangan UMNO. Pemimpin lain masih belum terserlah kepimpinan dan sikap politiknya, kerana dalam PAS terlalu ramai wakil rakyat yang suka mengambil kesempatan, termasuk menguasai projek-projek yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Belum jelas orang Islam mendakwa PAS sebagai sebuah parti politik kafir walaupun PAS begitu mudah membuat tuduhan UMNO sebagai kafir. Kali ini, PAS terpaksa menjilat semula semua tuduhan yang menyebabkan UMNO “jadi kafir” kerana PAS sudah “mengkafirkan dirinya” bila bekerjasama dengan DAP yang lebih sembilan puluh peratus keahliannya adalam bukan Islam.

Pendirian parti PAS kian keliru dan kerana itulah ada kedengaran imejnya sebagai “parti ajaran sesat” sudah kedengaran. PAS hanya mampu membalas, dengan alasan bodoh dan dungu, “UMNO buang Islam” dan kerjasama dalam pakatan pembangkang sebagai satu kemenangan kepada perjuangan dakwah.

Realitinya, PAS bukan berdakwah kepada masyarakat bukan Islam tetapi, menyerah diri untuk diperkudakan (menurut Haji Hadi, rela diperkudakan asal tidak diperlembukan), akhirnya parti semakin mendekati persimpangan kemusnahan diri.

Mustakim Muhammad

No comments: