Thursday, February 14, 2013

DAP Intai Rahsia Pertemuan Sulit Anwar-Haron Din


Pertemuan sulit Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din mencetuskan pelbagai tanda tanya.Haron sudah mengesahkan pertemuan itu tetapi menolak cakap-cakap bahawa Ketua Umum PKR itu berjumpa beliau ada kaitan desas desus kononnya majlis syura ulama menolak Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan rakyat memerintah selepas PRU 13.

Apa sebenar dibincangkan Haron dan Anwar hanya diketahui mereka dan timbalan presiden PKR, Azmin Ali yang mengakui turut serta dalam pertemuan itu.

Justeru itu, pertemuan sulit itu sudah jadi buah mulut bukan sahaja dikalangan pemimpin dan ahli-ahli PAS tetapi pemimpin DAP kerana merasakan ‘ada sesuatu’ mahu disembunyikan Anwar berhubung
perjumpaannya dengan Haron pada awal bulan ini.

Tambahan pula ada media melaporkan majlis syura bukan sahaja menolak Anwar dilantik sebaga perdana menteri tetapi berkemungkinan seorang pemimpin dari luar pakatan pembangkang.

Untuk rekod, sebelum ini ura-ura sama pernah jadi bualan dalam pakatan pembangkang malah antara nama berkemungkinan dilantik sebagai Perdana Menteri adalah Tengku Razaleigh Hamzah.

Ku Li dilihat pembangkang sebagai tokoh yang layak dilantik jadi PM selain Anwar memandangkan ahli parlimen Gua Musang itu dikatakan tidak ada masalah dengan pemimpin pembangkang dan sesetengah pemimpin UMNO.

Itu cerita hampir dua tahun lalu dan sejauh mana kebenaran dakwaan majlis syura membincangkan menolak Anwar dan mencadangkan nama lain, masih belum terjawab kerana tidak ada mana-mana ahli majlis syura mengesahkannya.

Apapun ada juga lojiknya Anwar dikatakan berjumpa Haron untuk ‘meminta nyawa’ jika desas desus mengenai majlis syura itu benar.

Anwar mungkin boleh berjumpa Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ‘meminta nyawa’ untuk terus jadi PM tetapi Menteri Besar Kelantan itu sudah belajar kesilapannya daripada isu kalimah Allah.

Nik Aziz yang sebelum ini menyokong kalimah Allah boleh digunakan agama lain akhirnya terpaksa tunduk dengan keputusan majlis syura ulama bahawa kalimah itu hanya untuk agama Islam sahaja.

Sebab itu Anwar terpaksa berjumpa Haron untuk menjelaskan pendirian pakatan rakyat sebelum ini yang bersetuju kalimah Allah digunakan agama lain tetapi mendapat tentangan majlis syura ulama.

Namun, pertemuan yang membelakangkan DAP sebagai sekutu dalam pakatan tentu menyebabkan timbul rasa curiga pemimpin-pemimpin DAP.

Sebab itu, Pengerusi DAP Karpal Singh pada Selasa mengulangi pendirian partinya mahu Anwar sebagai PM jika pakatan rakyat memerintah negara kelak.

Beliau sengaja membuat perakuan itu untuk mendapat reaksi balas daripada pemimpin PAS sama ada menyokong pendirian DAP dan pakatan rakyat sebelum ini yang tetap mahu memilih Anwar sebagai PM.

Malah, Karpal menyifatkan dakwaan kononnya Majlis Syura PAS menolak Anwar bagi menduduki jawatan berkenaan sebagai satu spekulasi.

Sebelum ini pun, sudah timbul keraguan dalam DAP dan PKR apabila ada pemimpin PAS pada Muktamar parti tahun lalu mahu Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dipilih sebagai PM.

Walaupun Hadi menegaskan sanggup jadi nelayan bukannya PM tetapi sesetengah pemimpin PAS yang tidak tergolong dalam kelompok Anwarinas mahu Hadi jadi PM memandangkan Anwar berdepan banyak isu moral.

Persoalan ini terutama topik pertemuan Anwar dan Haron akan terus cetus macam-macam spekulasi selagi Haron atau PAS tidak berterus terang kepada ahli-ahli dan penyokong parti itu.

DAP tentu tidak senang dengan dengan pertemuan sulit Anwar dan Haron.

Manakala bagi pemimpin, ahli-ahli serta penyokong PAS, mereka tentunya tidak berharap jawapan daripada Anwar kerana mereka tahu Anwar akan cerita atau janji lain dengan DAP dan ‘cerita lain’ juga
bila berjumpa PAS.

Mungkin juga yang tersepit dalam hal ini adalah Haron kerana pertemuan sulit itu mengejutkan banyak pihak dalam PAS yang selama ini tahu Haron tidak begitu mesra dengan Anwar.

Justeru itu Haron kena beringat kerana jerat tidak pernah lupakan pelanduk.

Tidak mustahil selepas Nasharuddin Mat Isa dipecat daripada Majlis Syura Ulamak, selepas ini giliran beliau pula.

Jika tidakpun, Haron mungkin akan dikorban dalam PRU 13 apabila PAS menamakannya sebagai calon yang akan bertanding di Parlimen Arau, Perlis.

Sekiranya Haron tewas dalam cubaan kali ketiga sebagai calon PRU – bermakna kredibiliti serta pengaruh Haron dalam PAS sudah tiada lagi dan sekaligus menunjukkan jalan keluar beliau daripada jemaah PAS.

-Agendadaily

No comments: