Saturday, February 9, 2013

DS Najib - Ugutan 'Arab Spring' Anwar Tidak Demokrasi


Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak berkata ugutan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencetuskan demonstrasi ala 'Arab Spring' di negara ini adalah bukti yang menunjukkan Pakatan Rakyat tidak tulen mengamalkan demokrasi.

Menurutnya, semua pihak termasuk Umno mahu pilihan raya umum kali ini diadakan secara adil dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Justeru katanya, adalah tidak menjadi keperluan Ketua Pembangkang itu untuk cuba mewujudkan sentimen kemarahan rakyat kononnya kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) menggalakkan pilihan raya yang tidak sihat.

"Menghormati keputusan rakyat adalah satu prinsip yang penting dalam sistem demokrasi iaitu demokrasi berparlimen bererti kita mesti terima keputusan rakyat.

"Bila dia (Anwar) kata dia percaya demokrasi dia tidak boleh mempertikaikan keputusan, kita harus menyanjung prinsip demokrasi.

"Kita harap pembangkang terima keputusan akan datang," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, semalam.

Terdahulu, mantan Perdana Menteri Keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa pelbagai pihak mengambil serius ugutan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menjadikan Kuala Lumpur seperti Dataran Tahrir di Kaherah dan Mesir sekiranya hasrat beliau menjadi perdana menteri tidak kesampaian pada pilihan raya umum nanti.

Mahathir berkata beliau tahu akan kapasiti Anwar untuk melakukan huru-hara ekoran bekas timbalan perdana menteri itu telah membuktikan dirinya sebagai "juara" demonstrasi di masa lalu.

No comments: