Monday, February 4, 2013

Isu Kalimah: Hadi Tutup Mulut Enggan Bincang Dengan Pakatan


Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang membayangkan bahawa beliau tidak akan membawa keputusan Majlis Syura Ulama bersabit penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Sebaliknya Hadi menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menentukan isu itu dan membidas media kerana didakwa memutarbelitkan kenyataannya.

"Yang itu adalah Kementerian Dalam Negeri yang akan menentukan, jadi kalimah Allah ini adalah KDN yang perlu selesaikan,” ujar beliau kepada pemberita.

"Malah saya tetap berpegang kepada kenyataan saya sebelum ini di Harakahdaily, media lain bila dapat berita, dia tidak laporkan yang betul," katanya dalam jawapan ringkas sama ada akan merujuk ketetapan Majlis Syura mengenai kalimah untuk didokong sebagai dasar rasmi Pakatan Rakyat.

Hadi tidak mengulas apa yang dimaksudkan beliau bahawa KDN harus menyelesaikan isu itu. Beliau juga menghuraikan dakwaan bahawa kenyataannya di salah lapor oleh media.

Pada 8 Januari lalu, Majlis Presiden Pakatan Rakyat mendokong kenyataan Hadi bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Muslim asalkan tidak menghina Islam.

Pendirian itu yang disokong oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menepati desakan Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng yang mahukan kalimah Allah digunakan
dalam Bible di Semenanjung.

Bagaimanapun Majlis Syura PAS kemudian menetapkan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan sebagai terjemahan dalam Bible atau mana-mana kitab bukan Islam seminggu selepas keputusan bersama Pakatan Rakyat.

Anwar berkata Pakatan Rakyat tidak dapat menimbang pendirian badan ulama itu kerana Hadi tidak mengutarakannya kepada majlis pimpinan pembangkang.

Walaupun menegaskan pendirian Majlis Syura itu adalah pendirian rasmi PAS namun Hadi mengelak untuk memberi ketetapan bahawa keputusan badan tertinggi PAS itu akan dirujuk untuk mendapatkan persetujuan Pakatan Rakyat.

Isu itu mempunyai implikasi politik. Guan Eng cuba mencari sokongan penganut Kristian di Sabah, Sarawak dan Semenanjung dengan mengusulkan Bible dibenarkan mengguna kalimah Allah.

Bagaimanapun ketetapan Majlis Syura, jika didokong sebagai dasar Pakatan Rakyat, bermakna pembangkang terpaksa melarang penggunaan kalimah Allah bukan sahaja di Semenanjung, tetapi juga di Sabah dan Sarawak, jika menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Lebih 40 peratus penduduk di Sabah dan Sarawak, serta lima peratus di Semenanjung beragama Kristian dan menjadi sasaran Pakatan Rakyat untuk pilihan raya kali ini.

Bagi umat Islam, kalimah Allah adalah sebati dengan ajaran Islam dan penggunaannya dalam agama lain adalah syirik.


Isu kalimah Allah, pertembungan pendapat di dalam Pakatan Rakyat ini sebenarnya sudah lama. Pertembungan di dalam Pas sendiri di kalangan ilmuwan mereka, ada yang membenarkan dan ada yang tidak membenarkan, malah ada yang mengatakan sesiapa yang membenarkan penggunaan kalimah ini perlu mengucap dua kalimah syahadah semula.

Pakatan Rakyat membuat kabinet bayangan yang meletakkan Pas sebagai menteri agama. Jadi kira sebelum mendapat kuasa pun, pandangan ahli majlis syura yang berada di kedudukan tertinggi dalam Pas diketepikan begitu sahaja kerana kepentingan, apatah lagi sekiranya mereka memperoleh kuasa.

Tindakkan Hadi untuk menutup mulut dalam isu ini adalah satu tindakkan yang kurang bijak... Pas seharusnya perlu bermuhasabah tentang kerjasama mereka dengan PKR dan juga Dap. Tinggalkan saja Pakatan Haram!

1 comment:

Anonymous said...

Hadi...,

Perjuangkanlah kepentingan Islam ini di mana2 sahaja.., lebih2 lagi dalam mentarbiahkan kawan2 PAS dalam Pakatan Rakyat tu. Jangan mengelak dari menunaikan tanggungjawab menegakkan kesucian Islam didalam apa2 keadaan pun.

Apabila sudah nyata rakan2 PRakyat telah terkeliru dalam hal 'kalimah Allah' ini, maka adalah menjadi TANGGUNGJAWAB anda uyntuk memperbetulkannya. Mereka adalah rakan2 seperjuangan anda. Mereka pasti tidak akan berminat untuk memahami kenyataan KDN.

Andai anda gagal, Hadi.., anda adalah seorang yang mementingkan politik lebih daripada kesucian ugama ini.

Kamu 'fail', Hadi..!