Tuesday, February 12, 2013

PAS Bukan Serik Tapi Nik Aziz Keras Kepala


Kerjasama PAS dengan BN hanya kekal untuk tempoh tiga tahun, belum pun cukup sepenggal memerintah. Kepada rakyat Kelantan mungkin mereka percaya terputusnya hubungan kerjasama itu adalah kerana UMNO tidak pernah ikhlas.

Barangkali bagi mereka yang mempercayai dakwaan tersebut mungkin kerana UMNO tidak begitu agresif untuk memberikan penerangan sebab musabab kenapa pendirian “bercerai” dengan PAS telah berlaku pada tahun 1977.

Ia mungkin jadi lebih menarik apabila membandingkan kenapa Nasharudin Mat Isa disingkirkan daripada menduduki jawatan dalam Majlis Syura Ulama PAS, meskipun alasan yang diberikan boleh dipertikaikan.

Kalau Nasharudin boleh dipecat, kenapa anggota Majlis Syura Ulama tidak memecat pengerusinya sendiri yang menjadikan badan tertinggi dalam parti itu berdasarkan kehendak hatinya, kalau tidak dimasukkan agenda yang disukainya, beliau boleh meninggalkan mesyuarat dan diteruskan oleh timbalannya, iaitu Datuk Dr Harun Din.

Ramai juga mempersoalkan sejauhmanakah faktor kehadiran mesyuarat benar-benar menyebabkan Nasharudin tersingkir? Mungkinkah ada faktor lain yang cuba diheretkan bersama sedangkan ramai juga ahli Majlis Syura Ulama tidak hadir lebih tiga kali, tetapi tidak dipecat. Kehendak ramai memohon Majlis Syura Ulama memberikan butiran senarai kehadiran setiap ahlinya untuk dibuatkan perbandingan.Sudikah Setiausaha Majlis Syura Ulama memberikan maklumat?

Saya biarkan persoalan itu diberikan pertimbangan secara adil oleh alim ulamak yang memangnya dipertanggungjawabkan berlaku adil kepada semua orang. Kalau tidak sanggup berlaku adil, maka wajarlah berundur secara terhormat. Saya nak tumpukan perhatian sebab-sebab PAS keluar BN pada tahun 1977, walaupun Nik Aziz cuba menutupinya dengan alasa “serik” dan “tidak perlu sebab sudah jadi sejarah.”

Tahun 1977, Kelantan ditadbirkan oleh PAS di mana Datuk Haji Mohamad Nasir adalah Menteri Besar setelah parti itu bersetuju bertanding atas panji BN pada tahun 1974. Yang di Pertua PAS ketika itu ialah Datuk Haji Mohamad Asri Haji Muda dan oleh kerana bekerjasama dengan BN, beliau dilantik sebagai Menteri Pembangunan Tanah dan Kemajuan Wilayah dari 1 Januari 1973 hingga 9 November 1977.

Nik Aziz ketika itu menjadi resah kerana beliau tidak mempunyai kedudukan yang baik dalam kerajaan, termasuk tidak dilantik ke jawatan EXCO, kecualilah jawatan dalam parti. Oleh kerana kedudukan itulah kumpulan yang setia dengan Nik Aziz mula menyebarkan pelbagai maklumat dengan menuduh Datuk Haji Muhamad Nasir terlalu terikut-ikut dengan kehendak UMNO/BN.

UMNO/BN sebenarnya tidak pernah cuba campur tangan dalam pentadbiran PAS. UMNO tetap menerima PAS sebagai kuasa politik yang berkuasa kerana kedudukannya adalah jelas. PAS mempunyai 22 kerusi manakala UMNO hanyalah 13 kerusi DUN. Lojikkah UMNO untuk campur tangan? PAS telah mendominasi pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam masa yang sama, ada sekumpulan pemimpin PAS yang tidak bersetuju dengan Yang di Pertua, Datuk Haji Mohd Asri Haji Muda sedang berikhtiar untuk menjatuhkannya kerana tidak bersetuju dengan tindakan membawa masuk ke dalam BN pada tahun 1973, atas kepentingan memperkuatkan kedudukan Melayu setelah dipersendakan oleh DAP dan Gerakan dalam perarakan sehingga tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. DAP menang hampir semua kawasan bandar di pantai barat manakala Gerakan menang besar di Pulau Pinang.

Alasan pemimpin yang menolak kerjasama dengan BN ialah PAS tidak perlukan kerjasama kerana kedudukannya di Kelantan adalah dominan. PAS tidak memerlukan parti lain untuk membentuk kerajaan kerana sudah menguasai 62.9 peratus kerusi berbanding UMNO sekadar 37.1 peratus.Meskipun PAS tidak mempunyai kuasa majoriti dua pertiga dalam DUN, iaitu kekurangan satu kerusi, kedudukannya sudah lebih daripada mencukupi untuk membentuk kerajaan tanpa sokongan parti-parti lain.

Golongan yang marahka Asri dan Mohamad Nasir ialah kelompok yang setia kepada Nik Aziz. Maka, kelompok itulah yang berusaha melancarkan pelbagai propaganda kononnya kerjasama dalam BN tidak menguntungkan PAS dan parti itu seolah-olah “kuda Trojan UMNO” yang berusaha untuk memerintah Kelantan. UMNO didakwa menjadi kerajaan secara tidak langsung, maka kelompok tersebut kemudiannya berusaha memecahkan kerjasama dalam BN.

Krisis pada tahun 1977 bermula dengan menimbulkan krisis keyakinan (undi tidak percaya) terhadap kepimpinan Menteri Besar sehingga menyebabkan Mohamad Nasir dipecat. Pemecatan itu bagaimanapun menimbulkan lebih banyak keriuhan hinggalah berlakunya demonstrasi besar-besaran dengan mendakwa bahawa Asri Haji Muda telah memberikan konsesi pembalakan kepada sebuah syarikat asing di Hulu Kelantan. Bagaimanapun, UMNO tidak mengambil sikap campur tangan kerana krisis tersebut dilihat sebagai “ribut dalam cawan atau masalah dalaman PAS.”

Mengenai krisis 1977, Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn menjelaskan, selaku Perdana Menteri beliau seharusnya bertanggungjawab di atas keselamatan negara dan kebajikan rakyat kerana khuatir rusuhan di Kelantan bakal merebak dan mengambil langkah mengekang berulangnya peristiwa 13 Mei 1969. Ucapan yang dibuat pada 9 Disember 1977 itu, sebagai penjelasan kenapa Parlimen meluluskan rang Undang-undang Darurat dikuatkuasakan di Kelantan pada bulan November.

Bagaimanapun, kumpulan yang dipimpin oleh Nik Aziz terus membuat desakan untuk menyingkirkan Yang di Pertua dan Timbalan Yang di Pertua, Haji Hassan Adli Arshad, kerana memberikan sokongan Rang Undang-Undang Darurat. Nik Aziz yang sejak awal kerjasama PAS-UMNO tidak bersetuju telah menunjukkan sikap berontak bagi memecahkan kerjasama dengan menentang setiap arahan dan dasar pembangunan yang dilaksanakan oleh BN di Kelantan.

Akibat gelora politik Nik Aziz yang tidak boleh diterima, menyebabkan UMNO terpaksa merungkaikan hubungan kerjasama dengan PAS. Bagaimanapun, Nik Aziz menjadi lebih besar kepala dengan mengatakan bahawa akibat tindak tanduk UMNO yang sentiasa mengkhianati PAS menyebabkan parti itu mengambil sikap menentang setiap dasar dan pendirian kerajaan BN. Kenyataan itu akhirnya berjaya menimbulkan persepsi bahawa penyingkiran PAS dalam BN adalah angkara UMNO, walhal tindakan itu berpunca daripada marah dan dendam Nik Aziz sendiri kerana tidak mempunyai kedudukan dalam kerajaan.

Rang Undang-Undang Darurat dirangka bersama-sama pemimpin PAS yang ketika itu masih bekerjasama dengan UMNO dalam Jemaah Menteri dan kemudiannya diluluskan setelah mendapat persetujuan majoriti, termasuk sokongan menteri PAS sendiri. Maknanya, tuduhan bahawa pemerintahan MAGERAN di Kelantan sebagai percubaan melumpuhkan pengaruh PAS adalah sesuatu yang tidak boleh diterima kerana Rang Undang-Undang telah dipersetujui oleh pemimpin PAS di Dewan Rakyat.

Haji Mohamad Nasir akhirnya terpaksa menyerahkan pentadbiran negeri diperintahkan oleh peraturan darurat oleh sepasukan pegawai tinggi kerajaan persekutuan yang dikenali sebagai MAGERAN. Datuk Hashim Aman dilantik sebagai pengarahnya dan pada tahun 1978, Datuk Asri tidak diberikan peluang untuk bertanding sebagai calon PAS.

Datuk Mohamad Nasir yang kecewa dengan tindakan Nik Aziz menerusi Dewan Ulama PAS dan Pesuruhjaya PAS Kelantan, akhirnya menubuhkan parti Barisan Jemaah Islamiyyah se Malaysia atau dikenali sebagai BERJASA. Pada tahun 1978, Berjasa memasuki pilihan raya umum buat kali pertama dengan menumpukan pertandingan di Kelantan. Hasilnya, PAS hanya berjaya menang 2 kerusi DUN manakala UMNO dan Berjasa membentuk kerajaan campuran dengan menyaksikan Tan Sri Mohamad Yaacob sebagai Menteri Besar manakala Datuk Haji Mohamad Nasir dilantik sebagai senator.

Tidak cukup dengan kekalahan itu, kumpulan yang diketuai oleh Nik Aziz akhirnya membuat gesaan untuk menyingkirkan Datuk Asri Haji Muda dalam kepimpinan PAS. Asri akhirnya disingkirkan selepas berucap di Muktamar Tahunan PAS di Dewan Syed Nasir, bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur pada 23 Oktober 1982.

Episod perebutan kuasa dalam PAS telah menyebabkan parti itu berpecah kepada tiga kumpulan, Mohamad Nasir menubuhkan Berjasa (1977), Asri menubuhkan HAMIM (Parti Hizbul Muslimin Malaysia ) pada 24 Mac 1983 dan Nik Aziz terus memimpin PAS Kelantan manakala jawatan Yang di Pertua disandang oleh Yusuf Rawa. 2 Julai 1983, Asri dilantik sebagai Presiden HAMIM dan 17 November 1988 meletakkan jawatan di mana lima hari kemudiannya (22 November 1988) menyertai UMNO.

Kerana mempertahankan PAS dan memimpin penyokong tegar itulah Nik Aziz begitu merasakan bahawa beliau sahajalah yang telah berjaya membangunkan kekuatan parti dan mampu merampas semula Kelantan pada tahun 1990, ekoran krisis yang berlaku ke atas UMNO kesan perebutan pucuk pimpinan pada tahun 1987 dan pembatalan UMNO pada bulan April 1988. Kemenangan PAS dilihat sebagai “peranan Tengku Razaleigh” untuk menebus dosanya setelah berjaya memainkan peranan memujuk PAS menyertai BN pada tahun 1973 dan berkongsi kuasa pada tahun 1974.

Tahun 1988, Tengku Razaleigh berusaha menghidupkan semula UMNO tetapi gagal kerana penubuhan semula UMNO (Baru) telah berjaya dilakukan dalam tempoh singkat oleh Dr Mahathir dan Tan Sri Mohamad Rahmat. Tengku Razaliegh kemudiannya mendaftarkan Parti Semangat ’46, dengan mengambil semangat orang Melayu pada tahun 1946 yang melahirkan UMNO ekoran protes ke atas Inggeris yang berusaha menubuhkan Malayan Union. Pada tahun 1990, mereka bersatu menentang BN dalam gagasan Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Akibat ketiadaan PAS dalam BN, satu pilihan raya peringkat negeri Kelantan terpaksa dilakukan pada bulan Mac 1978. 18. Rahsia berontak Nik Aziz terbongkar, pecahnya kerajaan campuran di Kelantan kerana sikap Nik Aziz dan bukannya angkara UMNO. Nik Aziz cuba mempertahankan PAS adalah kerana takutkan isu pemberian tanah balak yang luas kepada Syarikat Timbermine terbongkar. Maka, dalam PRU 13 nanti, mungkinkah Nik Aziz akan mengalami situasi yang sama, PAS pimpinannya di Kelantan akan rebah disebabkan pemberian konsesi penanaman semula balak seluas lebih 4,000 hektar kepada syarikat yang dikuasai oleh pemimpin DAP Perak dan kemarahan rakyat akibat tertipu dengan projek Ladang Rakyat.

Kalau pada tahun 1978 PAS tersungkur atas masalah tanah, pada 2013 perkara yang sama akan menyebabkan Nik Aziz terpaksa menelan kepayahan. PAS kalaupun mampu menang, kekuatannya mungkin akan senasib dengan kedudukannya pada tahun 2004. Ketika itu, Nik Aziz mungkin memikirkan, inilah masanya untuk bersara kerana semakin memanjangkan tempoh hingga mencecah lima dekad, beliau kemungkinan akan menerima pandangan sinikal, wakil rakyat sepanjang hayat dan Menteri Besar seumur hidup. Ini bermakna, yang terdesak untuk mempertahankan kuasa ialah Nik Aziz, dan beliau sanggup dijatuhkan dengan cara yang tidak terhormat.

Kini, generasi muda Kelantan semakin sedar, selagi Nik Aziz tidak berundur dalam politik, selagi itulah rakyat Kelantan akan terkongkong mindanya. Maka, itulah Nik Aziz begitu tegar untuk mencari jalan menutup pintu kerjasama perpaduan denga UMNO, kerana beliau takut, UMNO kembali menerajui Kelantan dan ketika itu, PAS terpaksa “menikam dari belakang” dan “main gelap-cerah” kerana kesenjaan pengaruh dan pesonanya sudah sampai ke tahap akhir.

Monosin Sobri / Terangbulan.net

2 comments:

Anonymous said...

Good article.

Anonymous said...

Ramalan Cuaca:
PAS akan kalah teruk sama ada di Kelantan atau di lain2 negeri. Pok Nik tidak lagi berkesempatan untuk mempertahankan PAS kerana beliau mati dalam kekecewaan sebelum PRU14.