Tuesday, February 5, 2013

Pemuda Umno Bantu Bawa Pulang Mayat Claudia


Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno akan membantu menguruskan penghantaran pulang mayat Claudia Theophilus, Penerbit Bahasa Inggeris portal berita Al-Jazeera, yang maut terkena tembakan Sabtu lalu.

Pengerusinya, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata dua wakil biro itu akan ke Beirut bersama-sama dua anggota keluarga Claudia untuk menguruskan proses membawa balik mayat mendiang.

"Tujuan kami untuk ke sana adalah untuk mendapat maklumat terperinci mengenai punca kematian mangsa serta menguruskan proses untuk membawa balik mayat mangsa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Senator A. Kohilan Pillay memberitahu Bernama, kedutaan Malaysia di Lubnan sedang membuat persiapan untuk membawa mayat pulang.

Kohilan berkata mayat mendiang dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) Rabu ini sebelum dibawa keluarganya ke Seremban, Negeri Sembilan.

"Pada masa ini, pihak berkuasa Lubnan sedang menjalankan bedah siasat dan melengkapkan dokumentasi," katanya.

Claudia, 42, penerbit yang berpangkalan di Doha, Qatar, mati dua hari lepas dipercayai akibat terkena tembakan dalam satu insiden di Baakleen yang terletak di sebuah kawasan pergunungan di Lubnan ketika bersama dua rakannya rakyat Lubnan.

Dilaporkan Claudia, yang berkhidmat dengan stesen televisyen Al-Jazeera yang berpangkalan di Doha, Qatar, terkena tembakan secara tidak sengaja ketika bercuti bersama dua rakan di Beirut.

No comments: