Wednesday, February 13, 2013

Tunjuk Isyarat Lucah Terhadap Raja Permaisuri Agong Perlu Dipandang Serius

Peristiwa Raja Permaisuri Agong ditunjuk isyarat lucah di Pulau Pinang dan Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak diejek juga di Pulau Pinang tidak boleh dibiar berlalu begitu sahaja.

Bagi saya ini menggambarkan sudah wujud simptom atau tanda-tanda bahawa Malaysia sedang berdepan dengan satu lagi gejala destruktif baru dalam rangka pembangunan nasional atau “nation building” kita.

Gejala ini mungkin sudah diperam sekian lama hanya menunggu saat-saat yang paling sesuai untuk dizahirkan. Kunjungan Dato Seri Najib sempena sambutan Tahun Baru Cina yang sepatutnya menjadi hari muhibbah rasanya amat tidak bertepatan dengan resepsi yang beliau dan keluarga terima.


Saya tidak pernah mendengar atau terbaca dalam mana-mana negara tidak kira apa amalan pemerintahan sama ada komunis, sosialis, junta tentera apatah lagi demokratik seperti di Malaysia dalamana rakyat memilih menunjukkan sentimen politik dalam acara seperti di Pulau Pinang itu dengan mengenepikan langsung nilai-nilai adat budaya serta kesantunan masyarakat Timur.

Kelihatan dalam kes yang berlaku di Pulau Mutiara tersebut mereka yang terlibat terang-terangan telah memilih satu perlakuan yang begitu hina, biadap, hilang kesopanan serta jauh sekali daripada tatarukun akhlak yang dipusakai turun temurun oleh kita semua tidak kira bangsa, agama dan fahaman politik. Saya yakin mereka yang terlibat itu pun sama seperti kita juga telah mengalami proses akulturasi dan sosialisasi yang sama.

Insiden ini berlaku di Pulau Pinang. Negeri ditadbir oleh DAP rakan sejawat PAS dan PKR. Saya tidak berhasrat untuk mengheret politik dalam isu ini. Saya lebih terpanggil untuk menilainya dari sudut sosio-budaya.

Pertama, pada hemat saya apa yang telah berlaku tidak diserlah secara sepontan. Besar kemungkinan insiden tersebut adalah hasil daripada satu bentuk perancangan yang dizahirkan secara berorkestrasi.

Kedua, bila disebut ada unsur orkestrasi sudah barang tentu pula ada arahan dan pengarahan. Perlu diketahui siapa peneraju dan bagaimana penerajuan itu dibuat? Ketiga, apakah insiden ini akan tinggal dan lenyap disitu sahaja atau ianya boleh di anggap sebagai persiapan rapi kepada satu “acara” yang lebih besar berkait dengan PRU13?

Keempat, tidakkah insiden jijik ini menggambarkan bahawa bagi setengah-setengah pihak, apa pun usaha yang diambil untuk membentuk negara bangsa bersendikan kerukunan dan ketatasusilaan seperti program PLKN tidak lebih daripada menyiram air di daun keladi?

Kelima, kita difahamkan bahawa pencetusan 13 Mei 1969 mempunyai iras-iras persamaan dengan kedua-dua insiden di Pulau Pinang itu.

Tidak hairanlah diakhir-akhir ini ada pihak-pihak yang berminat menonjolkan berbagai senario ngeri yang mungkin akan tercetus berikutan dengan ke arah mana keputusan PRU 13 akan memihak dan sebagainya.

Keenam, insiden itu berlaku di Pulau Pinang negeri yang ditadbir oleh DAP. Bagi saya seandainya jalur penaklukan DAP meluas ke negeri-negeri lain seperti yang mereka sasarkan, dikatakan bahawa angka keberangkalian yang agak besar menunjukkan bahawa insiden-insiden di Pulau Pinang itu dalam nisbah yang lebih besar mungkin menyeluruh boleh menjadi kenyataan. Bukan sahaja setakat menjadi kenyataan bahkan lebih berat daripada itu sesuatu yang sukar digambarkan kemungkinan akan terjadi.

Ketujuh, gambaran-gambaran yang terbentang dihadapan samada dalam bentuk “overt” atau “covert” dan disokong pula oleh dua insiden di Pulau Pinang itu menunjukkan bahawa keamanan dan kesejahteraan Malaysia sedang diperjudikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Akhirnya kelapan, insiden biadap dan kurang ajar kepada Raja Permaisuri Agong itu merupakan satu bentuk manifestasi untuk merendah dan menghina Institusi Raja dalam negara kita. Insiden yang seumpanya bukan lagi perkara baru.

Sudah berlaku beberapa peristiwa yang kebetulannya datang daripada kelompok parti politik yang sama yang berterusan menzahirkan sikap tidak menghormati dan memandang rendah kepada Institusi tersebut. Ini menguatkan lagi teori bahawa sekiranya kelompok tersebut berjaya ke Putrajaya nescaya sistem Raja Berlembagaan negara kita akan terancam.

Terserahlah kepada pihak berkuasa untuk menilai dan mengambil tindakan sewajarnya. Saya yakin kepada kemampuan, keupayaan dan kebolehan mereka. Bagi saya pihak berkuasa tidak perlu menunggu deretan laporan polis dibuat. Setakat maklumat zahir yang ada barangkali sudah memadai untuk pihak berkuasa mengambil satu tindakan drastik dan decisive terhadap perkara ini.

Menyerahkan bulat-bulat kepada pihak berkuasa pun ada keterbatasannya yang tersendiri. Rakyat semua khasnya masyarakat IsLam/Melayulah yang lebih afdal menggunakan kuasa penentu mereka selain daripada berusaha dan bertawakkal untuk melihat agama dan bangsa tidak diinjak-injak oleh mereka yang dilihat sudah hilang kewarasan dan pertimbangan.

Moga Allah SWT sepanjang masa melindungi kita semua.

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI, KL
12 Februari 2013

Berita Terdahlu: Maklumat Penuh Penyokong DAP Hina DYMM Permaisuri Agong Dengan Isyarat Lucah



No comments: