Monday, April 1, 2013

#LahadDatu - Lelaki Bergelar Datuk Seri Dicari Bantu Kes Op Daulat



LAHAD DATU: Polis mencari seorang lelaki bergelar Datuk Seri bagi membantu siasatan berhubung kes yang berkaitan Operasi Daulat.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata Muhammad Ridzwan Sulaiman,dengan alamat terakhir di Georgetown, Pulau Pinang amat dikehendaki bagi membantu siasatan dan diminta segera menyerah diri di mana-mana balai polis berhampiran.

Beliau berkata Muhammad Ridzwan, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan, berpangkalan di Pulau Pinang dikatakan tidak terlibat dengan pengganas tetapi boleh membantu dalam kes berkaitan Operasi Daulat.

"Penama ini amat diperlukan. Orang ramai yang mengenali beliau diminta menghubungi Rakan Cop atau mana-mana balai polis berhampiran.

"Penama ini boleh membantu polis dalam satu aspek Operasi Daulat, dan polis percaya beliau kini berada di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan mungkin juga di Sabah," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16, dekat sini, Ahad.

Sementara itu, Hamza berkata 180 penduduk yang menghuni pusat penempatan telah dibenar pulang ke rumah masing-masing iaitu 101 orang dari Kampung Tanjung Labian dan masing-masing 25 dan 54 orang dari Kampung Tanjung Batu dan Kampung Sungai Merah.

Beliau berkata, tiada pertempuran berlaku sepanjang 24 jam yang lepas dan operasi penggeledahan serta pembersihan masih dijalankan di kawasan Sungai Bilis, Lok Sembuang dan Lok Buani.

Berhubung keselamatan di laut, Hamza berkata selain melakukan penggeledahan dan pembersihan kawasan pertempuran, kawalan di kawasan perairan dilakukan setiap masa membabitkan pasukan polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia. - Bernama

1 comment:

Anonymous said...

BINATANG NAJIS YG KENCING ORANG2 SULU TAKKAN DIBIARKAN BEBAS KOT?