Wednesday, April 3, 2013

#PRU13 - Regim DAP Pulau Pinang Setuju Bubar DUN


GEORGE TOWN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dijangka dibubar pada Khamis bagi membolehkan pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri ke-13 berlangsung serentak dengan pilihan raya Parlimen.

Ketua Menteri Lim Guan Eng memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa beliau akan memaklumkan mengenai tarikh pembubaran DUN selepas menghadap Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pukul 9.30 pagi Khamis.

Pulau Pinang mempunyai 40 kawasan DUN - 19 kawasan di bahagian pulau manakala 21 kawasan lagi di tanah besar iaitu Seberang Perai.

Pada pilihan raya umum 2008, pakatan pembangkang membentuk kerajaan negeri apabila DAP memenangi 19 kerusi DUN, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi sembilan kerusi dan PAS memenangi satu kerusi iaitu di Permatang Pasir.

Barisan Nasional (BN) pula hanya memenangi 11 kerusi dan kesemuanya diwakili oleh Umno.

Bagi kawasan Parlimen pula, Pulau Pinang mempunyai 13 kawasan iaitu tujuh di Seberang Perai dan enam kawasan di bahagian pulau. Pada pilihan raya umum lepas, DAP memenangi tujuh daripada kerusi Parlimen manakala PKR memenangi empat.

Bagaimanapun, dua daripada Anggota Parlimen PKR iaitu Datuk Seri Zahrin Hashim (Bayan Baru) dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal) kemudiannya meninggalkan parti berkenaan dan mengisyhtiharkan sebagai wakil rakyat Bebas.

BN hanya memenangi dua kawasan Parlimen iaitu Kepala Batas yang diwakili oleh mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tasek Gelugor yang diwakili oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)diadakan. -Bernama

1 comment:

Anonymous said...

Yeahhhhhhh, akhirnya REGIM BN membubarkan Parlimen dan kita bolh undi dan tukar gomen Regim BN yg korup kepada gomen yg lebih amanah.. huhu