Monday, April 1, 2013

#TolakPR PRU-13: DAP Selar PKR ‘Tidak Sedar Diri’


JOHOR BARU – Pergolakan DAP-PKR di Johor semakin berterusan apabila Pengerusi DAP negeri, Dr Boo Cheng Hau menuduh sekutu mereka dalam parti pembangkang sebagai ‘tidak munasabah, tidak sedar diri dan kurang semangat persaudaraan’ terutama dalam tuntutan bagi kerusi Parlimen Segamat dan Bakri.

Beliau berkata, PKR diperuntukkan 11 kerusi Parlimen di Johor, berbanding sembilan untuk PAS dan enam kepada DAP.

“Saya amat kesal PKR Johor telah mensasarkan kerusi DAP. Saya menggesa agar mereka melihat kepada gambaran yang lebih besar,” katanya.

Dr Boo berkata, daripada ‘mengintai’ kerusi Parlimen tambahan, PKR sewajarnya menukar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan PAS yang diperuntukkan 28 daripada 56 kerusi negeri yang dipertaruhkan.

Kenyataan keras ini timbul sehari selepas Timbalan Pengersi PKR Johor, Dr Ahmad Faidhi mengumumkan beliau kini mengambil alih tugas pengerusi negeri daripada Datuk Chua Jui Meng, yang ‘menghilangkan’ diri selama lebih daripada 10 hari.

Chua didakwa kecewa apabila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan pencalonan veteran DAP, Lim Kit Siang di Gelang Patah, kerusi Parlimen yang ‘diintai’ oleh beliau sendiri dan Dr Boo.

Malah Chua juga sebelum ini menyatakan bahawa dia turut berminat untuk bertanding di kerusi Parlimen Bakri, iaitu kawasan yang beliau tandingi sebelum digugurkan oleh Barisan Nasional pada 2008.

Dr Ahmad juga menegaskan bahawa kerusi Parlimen Segamat serta kerusi DUN Johor Jaya dan Tangkak adalah milik PKR.

Pada PRU lepas kerusi Parlimen Bakri dimenangi DAP dan Segamat menjadi milik Datuk Seri S. Subramaniam daripada BN yang menewaskan calon DAP. – mStar

No comments: