Thursday, October 21, 2021

Anggota bomba lemas ketika misi menyelamat meninggal dunia




Anggota bomba lemas ketika operasi menyelamatkan mangsa banjir di Sungai Putat Melaka semalam meninggal dunia jam 3.11 pagi tadi.


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Abu Bakar Katain berkata, Mohd Diya Che Jusoh, 46 tahun, meninggal dunia di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka.


“Dukacita dimaklumkan bahawa, PBK II (KUP) Mohd. Diya Che Jusoh, anggota bomba yang terlibat dalam kejadian lemas di Sungai Putat, Melaka telah meninggal dunia pada pukul 3.11 pagi di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka.


“Warga JBPM Melaka merakamkan ucapan takziah dan amat berdukacita di atas insiden tersebut,” katanya.


Menurutnya, insiden berkenaan berlaku pada pukul 5.06 petang ketika Allahyarham cuba menyelamatkan seramai 14 orang penduduk kampung yang terperangkap di anjung sebuah rumah berikutan arus deras dan paras air banjir meningkat dengan cepat.


“Ketika menjalankan operasi penyelamatan, Mohd. Diya bagaimanapun telah tergelincir akibat ditolak arus deras dan terperangkap di longgokan rumput hanyut.


“Beliau kemudiannya diselamatkan oleh anggota bomba yang lain serta diberikan bantuan pernafasan di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka,” katanya.





Tambahnya, Allahyarham bagaimanapun dilaporkan tidak sedarkan diri dan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia, tadi.


Mengulas lanjut, beliau turut memberitahu, ketika melaksanakan operasi tersebut, kesemua anggota terlibat telah menggunakan alat pelindungan diri (life jacket) semasa membuat penyelamatan secara water crossing di lokasi kejadian.


No comments: