Saturday, February 23, 2013

Calon PM - Rakyat Terengganu Tolak Anwar Dan Hadi


Dalam menentukan perkara paling asas bagi membentuk sebuah kerajaan, Pakatan Rakyat dilihat masih terkial-kial mencari individu yang paling layak mengisi jawatan nombor satu negara itu.

Antara calon yang disebut-sebut untuk menyandang jawatan 'perdana menteri ketujuh' itu adalah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang.

Namun suara rakyat adalah penting dalam menilai siapa yang paling layak.

Tinjauan Antarapos di Kuala Terengganu mendapati rata-rata rakyat negeri itu menolak kedua-dua pemimpin itu untuk menjadi ketua eksekutif negara.

Menurut seorang pesara Mazlan Abdullah, 58, beliau berpendapat samada Anwar atau Hadi, kedua-duanya tidak layak untuk memimpin negara kerana mereka tidak mempunyai ketokohan sebagai pemimpin.

"Memang tak layak mereka berdua itu. Jauh dari langit dan bumi (untuk menjadi Perdana Menteri)

"Dia tiada ketokohan sebagai pemimpin. Walaupun dia pernah jadi Timbalan Perdana Menteri, tapi kepimpinan beliau jauh berbeza dengan Datuk Najib.

"Haji Hadi pulak adalah orang yang tidak boleh diberi harapan. Pemerintahan dia selama ini tidak memberi apa-apa sumbangan kepada rakyat negeri Terengganu. Dia boleh cakap apa sahaja, tapi tiada pun yang dia buat," katanya.

Bagi Wan Mazlan Wan Ismail, pekerja sendiri, 58, beliau berpendapat kedua pemimpin itu tidak layak menjawat jawatan tersebut kerana sering menipu rakyat.

"Memang tidak layak, sebab mereka pembohong. Anwar ni, dari segi cara (kepimpinan) dia, memang teruk. Haji hadi pula suka berdolak dalih."

Toh Seng Heng, 66, pesara yang turut bersetuju dengan pendapat Wan berkata kedua pemimpin itu tidak pernah memberikan sumbangan kepada rakyat dan negara walaupun pernah menyandang jawatan penting.

"Haji Hadi pernah jadi Menteri Besar Terengganu. Anwar pula pernah jadi Timbalan Perdana Menteri. Tapi apa yang pernah mereka sumbangkan? Jadi keduanya tidak layak," ujarnya.

Rokiah Mohamad seorang suri rumah berusia 62 tahun pula berpendapat Anwar dan Hadi adalah pemimpin yang mempunyai banyak muslihat dan tipu daya.

"(Mereka) jahat. Jahat sebab tipu rakyat. Sama je mereka berdua (itu). Mereka tidak layak. Banyak muslihat. Cakap je manis. Tak tunai janji."

Seorang suri rumah, Zainab Kadir, 53 tahun pula berpendapat kedua-kedua calon itu tidak layak diangkat sebagai pemimpin kerana masing-masing diselubungi isu moral dan kredibiliti yang diragui.

"Memang tidak layak. Tiada ketokohan sebagai pemimpin pun. Sebab dia banyak skandal. Tiada moral.

"Datuk Haji Hadi memang bagus moralnya. Tapi kepimpinan dia teruk. Tengoklah masa dia perintah negeri Terengganu. Apa je sumbangan dia? Satu pun tiada," katanya.

Untuk rekod, Anwar pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1993 dan dilucutkan jawatan pada 1998 serta dipenjarakan atas tuduhan liwat.

Beliau mula aktif politik kembali setelah dibebaskan dan kini menjadi Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang pula pernah menjadi Menteri Besar Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004 selepas merampas negeri Terengganu dari Barisan Nasional (BN) . Beliau sekarang merupakan Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Redang.

-Antarapos

PAS Bermasalah Sebab Bersama Anwar Ibrahim


Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman berpendapat Pas menghadapi masalah kerana memilih berjuang bersama Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menolak kepentingan perjuangan untuk agama dan bangsa.

Katanya, atas faktor itu Isma sukar untuk menjalinkan kerjasama dengan Pas kerana pertubuhan tersebut tidak memisahkan perjuangan agama dan nasionalisme berbanding parti kedua terbesar orang Melayu itu yang hanya memisahkan antara Islam dan bangsa.

"Apa yang berlaku, Pas memisahkan antara Islam dan bangsa, mereka (Pas) kata hanya Islam tidak ada bangsa. Jadi kepentingan nasional, kepentingan negara, kepentingan bangsa (orang Melayu) diketepikan.

"Mereka (Pas) kata hanya Islam sahaja; kalau Islam sahaja berpijak di mana? Itu masalah bila Pas bersama Anwar Ibrahim dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Isma di Dewan Angkasa, hari ini.

Abdullah Zaik menjelaskan sikap Pas itu berbeza dengan UMNO yang lebih menerima seruan Isma ke arah perpaduan demi agama, bangsa dan negara. Malah kata beliau, Pas agak kurang selesa dengan seruan Isma kerana menganggap seruan tersebut memihak kepada UMNO.

"Setakat ini UMNO menerima seruan kita (Isma), maknanya Isma seru kepada perpaduan, UMNO kata ok cuma sikap Pas dengan Isma agak kurang selesa sebab dia anggap seruan kepada perpaduan itu agak memihak kepada UMNO dan dia menganggap Isma bersama UMNO tetapi sebenarnya tidak," katanya.

Mengulas mengenai perjuangan UMNO pula, Abdullah menegaskan, untuk memulihkan keyakinan rakyat, pemimpin parti terbesar orang Melayu itu perlu segera memperbaiki sikap mereka yang dilihat lebih berjuang untuk diri sendiri dan keluarga berbanding untuk agama, bangsa dan negara.

Baru-baru ini, Abdullah Zaik mengumumkan Isma akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan bercadang untuk menghantar calon-calonnya bertanding di 20 buah kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Antara kawasan yang telah dikenal pasti untuk calon-calon Isma tandingi ialah Padang Serai (P017), Tapah (P072), Wangsa Maju (P116), Selayang (P097), Subang (P107), Puchong (P103), Kapar (P109), Seremban (P128), Tanjung Piai (P165), Derga (N11) dan Gurun (N22).

Calon-calon Isma akan bertanding atas tiket Berjasa, sebuah parti yang berpengkalan di Kelantan dan ditubuhkan pada 1978 oleh Bekas Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohamed Nasir.

Khalid Tak Dapat Tanduk, Telinga Pula Kena Pulas...


Tindakan Tan Sri Khalid Ibrahim arah semua kebenaran pembangunan berkaitan jalan raya dan prasarana persekutuan setelah Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) kalah perbicaraan kes Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) betul-betul macam peribahasa, tak dapat tanduk, telinga dipulas.

Menteri Besar itu sengaja nak tunjuk kuasa dengan arahan serta merta itu sekaligus menafikan hal rakyat Selangor untuk menikmati kemudahan awam khususnya jalan raya serta pengagkutan yang lebih baik.

Sebelum ini pun, beliau ding dong pasal projek loji air Langat 2 dengan macam-macam cara termasuk untuk tidak membenarkan kelulusan merancang projek yang bakal menyelamatkan negeri itu dan sekitar
Lembah Klang daripada krisis air tidak lama lagi.

Khalid tidak sepatutnya bertindak demikian kerana kerajaan negeri mahupun PM Sepang masih boleh merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan AES dipasang di dua Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dan Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) di Dengkil.

Itu haknya sebagai Menteri Besar dan MP Sepang mempertikai keputusan hakim mahkamah tersebut.

Semalam, Hakim Datuk Zaleha Yusuf memutuskan MP Sepang tidak mempunyai kuasa ke atas Plus dan SKVE kerana kedua-duanya berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

Khalid sudahpun mengarahkan Penasihat Undang-Undang Selangor dan Jabatan Undang-Undang MP Sepang membuat semakan nota kehakiman dan memfailkan rayuan berhubung perkara itu.

Namun, tindakan memutuskan semua kebenaran pembangunan berkaitan jalan raya dan prasarana persekutuan yang telah diberikan digantung buat sementara waktu, adalah tindakan tidak wajar.

"Pembangunan itu akan digantung sehingga proses rayuan selesai.Kerajaan negeri kesal dengan keputusan mahkamah hari ini (semalam) bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa terhadap struktur yang dibina di atas jalan persekutuan.

“Ini kerana kerajaan negeri merasakan, jika kita tiada hak untuk mengawal struktur (jalan raya) di semua tanah di negeri ini, kita tidak akan mampu menguruskannya dengan baik,” katanya.

Jika pun Khalid tidak puashati dengan keputusan mahkamah, tidak perlu beliau mengarahkan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) menyediakan senarai cadangan pembangunan melibatkan lebuh raya atau
prasarana Transit Aliran Ringan (LRT) untuk disemak semula mesyuarat Exco.

Lebih malang, bukan sahaja projek persekutuan di kawasan MP Sepang sahaja malah beliau juga akan memanggil semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyemak semua aktiviti berkaitan dengan penswastaan jalan antara kerajaan negeri dan persekutuan.

Tindakan Menteri Besar itu menurut peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun sebagai keterlaluan kerana sebagai rakyat Selangor, beliau tidak nampak keputusan Mahkamah Tinggi itu menganggu urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Ketika dihubungi Agendadaily, beliau menegaskan, pemasangan AES dilakukan oleh kerajaan Persekutusan di atas jalan raya yang diselenggarakan Jabatan Kerja Raya (JKR) atau syarikat konsesi yang
dilantik JKR.

“Saya tidak nampak konflik perkara ini sehingga Khalid memutuskan arahan tersebut,” katanya.

Menjawab soalan sama ada Khalid menghina keputusan mahkamah, Hafarizam menjelaskan, Menteri Besar itu berhak menyatakan rasa tidak puas hati atau merayu kerana negara ini mengamalkan kebebasan bersuara dan undang-undang demokrasi.

Malangnya, Khalid bukan mengamalkan demokrasi terhadap rakyat Selangor kerana banyak tindak tanduk beliau sebelum ini dalam banyak perkara menggambarkan sikapnya yang dendam dan iri hati dengan kerajaan BN.

-Agendadaily

100 Ahli PAS DUN Tahan Keluar Parti


Jerantut - Seramai 100 ahli PAS dari beberapa buah cawangan sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri Tahan di sini bertindak keluar parti itu semalam.

Jurucakap kumpulan itu, Mohamad Rosdi Hussin berkata mereka mengambil tindakan sedemikian setelah mendapati perjuangan PAS kini jauh tersasar daripada perjuangan asal selain pemimpinnya gagal menunaikan janji sebagaimana yang dibuat ketika mereka dipelawa menyertai parti itu.

"Tindakan kami keluar PAS bukan atas desakan sesiapa, tetapi atas kesedaran sendiri dan memikirkan bahawa PAS tidak memberi apa-apa pembelaan kepada kami," katanya.

Menurutnya ada lagi di kalangan ahli PAS dijangka bertindak keluar daripada parti itu dalam masa terdekat.

Mohamad Rosdi berkata kesemua mereka bagaimanapun tidak akan menyertai parti politik lain sebaliknya menjadi ahli Kelab Warisan Anak Tembeling (Kawat), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan kebajikan penduduk terutama di Hulu Tembeling.

Najib Belasah Nik Aziz - Usah Hina Rakyat Jika Tidak Membantu


Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan rakyat perlu sedar dan menolak parti pembangkang yang jelas menghina rakyat yang menerima pelbagai bantuan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri berkata apa yang sedang dan telah dilakukan kerajaan adalah satu tanggungjawab dan amanah bagi membela nasib rakyat.

"Kalau (pembangkang) tak buat (membantu rakyat), tak apa, (tapi) jangan hina rakyat, ini nak kata rakyat dapat BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) macam ayam makan dedak, kalau tak tolong, tak apa, tak bela, tak apa, tapi jangan hina rakyat," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jelajah Janji Ditepati peringkat negeri Terengganu di sini, hari ini yang dihadiri lebih 20,000 rakyat pelbagai lapisan dan kaum. Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Perdana Menteri berkata sebagai sebuah kerajaan yang beramanah dan bertanggungjawab, kerajaan BN sedar bahawa pembelaan perlu diberikan kepada rakyat selaras dengan keperluan mereka.

"Menerusi BR1M sebanyak RM500 (setiap isirumah) itu, kita telah kira dalam sebulan (purata sebanyak) RM41.60, dapat beli sekampit beras 10kg, minyak masak 5kg dan lain-lain.

"Maknanya nak beli makanan untuk sekeluarga, cukup untuk 12 bulan," katanya.

Katanya kerajaan bukan sahaja memberikan BR1M yang telah memberi manfaat kepada 4.3 juta termasuk golongan muda, malahan bantuan awal persekolahan RM100 untuk setiap pelajar sekolah rendah dan menengah, baucar buku RM250 untuk setiap
penuntut institusi pengajian tinggi dan pelbagai lagi jenis bantuan, tidak termasuk subsidi minyak, beras dan sebagainya.

Beliau berkata kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai program selaras dengan slogan Janji Ditepati bagi membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat.

Najib berkata berdasarkan maklumat balas yang diterimanya, rakyat mendambakan masa depan yang cerah di bawah kepimpinan kerajaan BN.

"Kesimpulannya (kini), satu undi kepada PKR, adalah satu undi yang membawa kerosakan akidah kepada negara.

"Satu undi Pas, membawa kepada perpecahan umat Islam dan satu undi DAP adalah satu undi yang membawa kepada penindasan umat Islam," katanya.

Perdana menteri berkata, sebaliknya satu undi untuk BN adalah bagi mempertahankan umat Islam, keselamatan akidah Islam, perpaduan umat Islam, pembelaan bangsa Malaysia dan untuk mencapai sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

"Kerajaan yang ada hari ini mampu nak terus meningkatkan syiar Islam, bangunkan Islam. Bangunkan Islam ini tak boleh bercakap sahaja, tak boleh sekadar bersyarah sahaja tapi mesti mampu buat sesuatu, ambil tindakan, mampu lancar dan laksanakan seperti BN, " katanya.

Sebaliknya, Najib berkata, Pas yang kononnya memperjuangkan Islam, sanggup berlutut kepada DAP yang jelas memperlekehkan Islam.

"Kenapa (Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pergi rumah dia (Pengerusi DAP Karpal Singh semasa sambutan hari jadi), mana letak prinsip, pergi ke rumah orang yang paling tidak bersetuju (menentang Islam)," katanya. - Bernama

Hadi Kata Rakyat Yang Menerima BR1M Adalah Bodoh


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai 'bodoh'.

Beliau berkata bantuan tunai oleh kerajaan itu tidak akan mendatangkan keuntungan kepada rakyat namun hanya sebagai alat untuk Barisan Nasional (BN) memancing undi menjelang pilihan raya.

"Bantuan tunai itu adalah idea yang bodoh dan rakyat yang menerimanya sama bodoh," kata beliau pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dia Jalan Putra, malam tadi.

Majlis itu dihadiri lebih kurang 200 orang dan turut disertai Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Kenyataan Hadi itu disifatkan sebagai senada dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini yang menganggap penerima BR1M sebagai 'lembu dan ayam'.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan berkata Nik Aziz telah menghina rakyat Malaysia.

Pissstt Hadi lupa bahawa puak PAS pun berduyun- duyun beratur ambil duit BR1M.... Sebenarnya rakyat tak bodoh, Hadi yang bodoh!

200 Penyokong PAS Desak Azizan Undur


Kedah, Hampir dua ratus ahli dan penyokong Pas dalam Dewan Undangan Negeri, Kota Siputeh mengadakan protes pada Jumaat bagi mendesak peletakan jawatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai Pesuruhjaya Pas Negeri.

Protes itu berlaku di bilik gerakan peti undi Pas Megat Dewa bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kepimpinan Azizan.

Menurut mereka, Azizan dikatakan gagal menyelesaikan beberapa masalah rakyat di kawasan tersebut.

Selain itu, azizan juga dilaporkan menidakkan kehendak dan pandangan ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi selain pandangan dari Dewan Ulama Pas Negeri.

Dalam protes berkenaan, tiga lagi unit peti undi diisytiharkan tutup iaitu peti undi Megat Dewa, Kampung Sanglang dan Kampung Pering.

Hadir sama ialah Ketua Unit Peti Undi Megat Dewa; Zakaria Sham, Mustafa Baharom dari Peti Undi Kampung Pering dan Shahrul Nizam Shafie dari Peti Undi Kampung Sanglang.

Menurutnya, penutupan unit peti undi itu berkuatkuasa pada Jumaat sehingga ke satu tempoh yang belum dikenalpasti.

Penutupan unit peti undi itu akan berterusan sehingga Pas pusat dapat menangani masalah berkenaan dengan kadar segera.

Bahang PRU 13 Semakin Panas: Kuli Disebut Ganti Anwar Sebagai Calon PM Pakatan


Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), calon Perdana Menteri pakatan pembangkang masih menjadi tanda tanya, malah portal berita tempatan melaporkan ada usaha menawarkan jawatan tersebut kepada pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah, bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumber Pakatan Rakyat yang dipetik The Malaysian Insider mendakwa satu pertemuan telah diadakan antara pemimpin tertinggi PAS dengan Ahli Parlimen Gua Musang itu bagi menjemput beliau menjadi perdana menteri andai kata pembangkang mentadbir Putrajaya.

Namun sumber itu mengegaskan bahawa pembangkang perlu konsisten dalam isu bakal perdana menteri agar memberi persepsi yang baik kepada rakyat.

“Pakatan perlu ingat, mereka perlu konsisten dalam isu siapa bakal perdana menteri ini. Jangan nanti rakyat nampak kita Flip-Flop,” kata sumber berkenaan.

Turut dilaporkan satu mesyuarat tertutup antara PAS dan PKR telah diadakan Ahad lalu, mendakwa "pemimpin tertinggi PAS mengatakan 'haram' bagi Anwar untuk meminta jawatan perdana menteri", tambahnya.

Pemimpin tertinggi PKR kemudian berkata Anwar tidak pernah meminta jawatan sebagai perdana menteri sebaliknya rakyat yang mengangkat beliau.

"Ini sudah dipersetujui oleh PAS dan DAP semenjak pilihan raya umum 1999,” jelasnya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan sebelum itu berkata PAS tidak teragak-agak untuk keluar daripada pakatan pembangkang sekiranya pengabungan itu tidak menguntungkan Melayu dan Islam.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menyatakan sokongan konsisten terhadap Anwar sebagai calon perdana menteri, begitu juga dengan kepimpinan tertinggi DAP.

Namun langkah-langkah untuk menolak Anwar telah dinyatakan secara terbuka oleh akar umbi PAS sejak muktamar parti itu di Kelantan November tahun lalu.

Majlis Syura Ulama PAS sebelum ini dilaporkan dalam sebuah perbincangan tertutup melibatkan beberapa anggota majlis tersebut menolak Anwar sebagai calon perdana menteri pembangkang dan berkemungkinan melantik calon dari luar bagi menggalas jawatan tersebut.


AntaraPos

Friday, February 22, 2013

Arahan Dari Pemimpin Atasan PAS, Haram Sebut Anwar Ibrahim Sebagai Bakal PM


Pada 10 Februari 2013 lepas, Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa Majlis Syura Ulama yang dipengerusikannya tidak pernah membincangkan isu siapa yang layak dicalonkan sebagai Perdana Menteri selain daripada Anwar Ibrahim.

Menteri Besar Kelantan itu juga menyifatkan spekulasi yang mengatakan Majlis Syura Ulama PAS telah menolak idea untuk menobatkan Ketua Umum PKR sebagai PM sekiranya pakatan pembangkang memenangi PRU 13 hanyalah dakwaan mengarut ciptaan UMNO.

Penegasan oleh Nik Aziz itu tentunya melegakan Anwar dan pemimpin PKR serta DAP yang lain, sedikit sebanyak ia juga dapat mengendurkan perasaan gundah di kalangan penyokong PR yang kembali diselubungi misteri sama ada Anwar masih kekal sebagai calon utama PR sebagai PM atau sebaliknya.

Namun perkembangan akhir-akhir ini kelihatannya seperti mengiakan spekulasi sebelum ini apabila suara-suara penolakan terhadap Anwar semakin hari semakin kuat kedengaran, dan ditimbulkan sendiri oleh beberapa pemimpin utama PAS yang tidak termasuk dalam golongan Anwarinas.

Manakala maklumat terbaru yang diperolehi menyatakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang telah pun mengeluarkan arahan mengharamkan semua media milik PAS termasuklah akhbar Harakah dan portal onlinenya daripada menyebut atau menulis ayat yang membawa maksud Anwar adalah bakal PM.

Arahan pengharaman tersebut khabarnya sudah sampai ke pengetahuan Anwar menyebabkan Ketua Umum PKR itu menghamburkan kemarahannya semasa mesyuarat parti beberapa hari lepas.

Bukan satu rahsia pun, sebahagian besar penulis dan barisan pentadbiran dalam Harakah diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Anwar, jadi tidaklah pelik bagaimana arahan sulit sedemikian mudah sampai ke pengetahuan Anwar.

Tambah membara kemarahan Anwar lebih-lebih lagi arahan tersebut seperti mengesahkan lagi ura-ura PAS tika ini yang sedang berusaha menjarakkan diri dari PKR, satu tindakan yang dikira oleh Anwar sebagai satu pengkhianatan terhadap dirinya dan PR.

Bagi khalayak yang rapat dengan Hadi, arahan sedemikian bukannya sesuatu yang menghairankan sementelah lagi sejak di zaman ABIM lagi Presiden PAS itu agak kurang berkenan dengan pembawaan Anwar yang mementingkan diri dan tidak serasi sebagai pejuang gerakan Islam.

Malah ketika bekas Presiden PAS, Allahyarham Ustaz Fadhil Noor memulakan usaha menjalinkan hubungan kerjasama dengan Anwar melalui penubuhan GERAK diikuti dengan Barisan Alternatif (BA) dulu pun, Hadi sudah beberapa kali menyuarakan keraguannya terhadap kejujuran Anwar.

Selepas itu Hadi terpaksa memendamkan keraguannya sebagai menghormati teguran Allahyarham, bagaimana pun setelah selesai PRU 12 2008, tanpa menoleh ke belakang segera diaturkan perjumpaan dengan UMNO dalam usahanya untuk menjayakan kerjasama Kerajaan Perpaduan (UG).

Sekalipun usaha itu mendapat mandat penuh dari Majlis Syura Ulama PAS, akan tetapi beberapa ketika kemudiannya menemui jalan buntu berikutan campurtangan PKR dan DAP serta tekanan yang datangnya dari pemimpin-pemimpin pro Anwar dalam PAS.

Kini Hadi mengorak langkah lagi, sama ada ia memberi manfaat kepada PAS atau sebaliknya sukar ditentukan lebih-lebih lagi di saat sebahagian besar kepimpinan PAS tika ini berkiblatkan ideologi Anwarinas.

Persoalannya sekarang, selama mana media-media PAS seperti Harakah dan HarakahDaily serta lain-lain medium maya yang pro PAS mampu mengikuti arahan pengharaman tersebut? Adakah Anwar dan lain-lain pemimpin PR termasuklah golongan Anwarinas dalam PAS akan berdiam diri?

Jawapan kepada persoalan itu bergantung kepada tindakbalas Anwar dan pengikutnya terutama sekali selepas Parlimen dibubarkan diikuti dengan proses pencalonan nama bagi PRU 13 selesai dilaksanakan.

Tunggu dan lihat, gerakan siapa yang lebih ke depan tika itu. Tapi tak mustahil, belum pun Parlimen dibubarkan, gabungan PR yang membabitkan kerjasama longgar antara PKR, DAP dan PAS pula yang dibubarkan terlebih dahulu.

Apa Makna PAS Belum Putuskan Siapa Calon PM Pakatan?


PAS masih belum membuat ketetapan sama ada mahu melantik Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang atau Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri jika menang pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) nanti.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pengisian jawatan tersebut perlu dibuat dengan pengumuman bersama dan tidak hanya tertakluk kepada pengumuman satu-satu parti sahaja di dalam Pakatan Rakyat.

"Dia sebenarnya kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat yang kita bincang tidak timbul siapa mahu jadi Perdana Menteri, tidak timbul satu pihak untuk membuat pengisytiharan, sebarang pengisytiharan perlulah bersama.

"Maknanya kita akan bincang (siapa yang akan jadi PM) termasuklah kabinet bayangan ke apa ke dan perkara ini akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden dan Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat," katanya lagi.

Justeru beliau menafikan dakwaan sumber dalaman PAS yang telah mempersoalkan pencalonan Anwar sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya kelak.

"Tiada keputusan untuk menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim (jadi Perdana Menteri) tu tiada...," katanya ringkas yang menyangkal dakwaan laporan portal tempatan.

Ditanya lebih lanjut pendirian PAS bersabit desakan akar umbi mahu parti itu melantik Presiden PAS sendiri sebagai perdana menteri, Ibrahim bagaimanapun menegaskan buat masa ini hanya perlu memberi tumpuan kepada gerak kerja jentera parti.

"Sekarang ini kita tumpu pada gerak kerja kita, sebenarnya kita tidak timbul tolak Datuk Seri Anwar tu.

"Yang penting gerak kerja menangkan (PRU13) dulu. Dalam konteks Pakatan Rakyat semua orang tahu bahawa calon Perdana Menteri adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan tidak timbul perkara itu," katanya.

Untuk rekod, sumber tersebut memberitahu TMI persoalan tersebut timbul dalam satu mesyuarat tertutup antara PAS dan PKR pada Ahad selepas kenyataan Hadi Sabtu lalu parti Islam itu tidak teragak-agak meninggalkan pakatan pembangkang sekiranya gabungan itu merugikan orang-orang Melayu dan Islam.

“Pemimpin tertinggi PAS itu mengatakan ‘haram’ bagi Anwar untuk meminta jawatan perdana menteri,” kata satu sumber tersebut.

Kita Tengok Sapa Yang Kena!

Masih Ada Peluang Mengundi, Daftarlah Sekarang...


Sesiapa yang belum mendaftar sebagai pengundi boleh berbuat demikian dengan segera sekarang dan mereka masih layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof.

"Paling lewat, Dewan Rakyat dibubarkan ialah 30 April. Maknanya paling lewat SPR akan mengumumkan tarikh PRU-13 dalam tempoh 2 bulan. Mungkin sampai ke akhir bulan Jun ataupun Julai," kata Aziz.

SPR pada Jumaat mengumumkan jumlah pengundi berdaftar setakat ini ialah 13,229,385 orang.

Jumlah itu berdasarkan kepada Daftar Pemilih suku keempat 2012 yang diwartakan pada hari ini.

Menurut Aziz, dalam tempoh itu, 243,403 individu mendaftarkan diri sebagai pengundi.

Sementara itu, Abdul Aziz memaklumkan SPR belum lagi menerima sebarang senarai nama pemantau luar negara untuk PRU-13.

Pemantau luar negara yang dijangka terlibat ialah daripada kalangan negara anggota ASEAN.

Nota: Undilah Barisan Nasional demi kesejahteraan rakyat.....

Rating Siaran ‘Soal Jawab’ TV3 Bersama Nasha, Pecah Rekod 4.3 Juta Penonton



Menurut sumber, rancangan ‘Soal Jawab’ TV3 yang menampilkan Yang Berhormat Ustaz Nasharuddin Mat Isa sebagai tetamu undangan pada 6 Februari 2013 lalu telah melakarkan sejarah tersendiri apabila berjaya menarik 4.3 juta penonton menonton rancangan tersebut.

Rancangan yang dibuat secara rakaman dari studio Media Prima, telah berjaya mewujudkan satu ‘benchmark’ tertinggi bagi rancangan berbentuk siri rancangan temubual bukan saja di TV3 tetapi untuk semua produksi siri rancangan temubual di Malaysia apabila berjaya meraih jumlah penonton tertinggi sebanyak 4.3 juta (25.9 TVR) atau 72.6% (sumber: A.C. Nielsen Audience Measurement).

Secara kesimpulannya, kadar tontonan keseluruhan rancangan Soal Jawab pada 6 Februari lalu telah mencipta rekod baru iaitu hampir ‘sebaris’ dengan jumlah penonton Anugerah Juara Lagu (AJL) ke 27 yang telah diadakan pada 6 Januari lalu.

Video URL: http://youtu.be/Sht9PkyYerA



-AIDC

PAS Kedah Bergolak Tanda Kejatuhan Rejim PAS


Keadaan rumahtangga Pas bertambah gawat di Kedah apabila perbalahan beberapa anggota exco negeri itu dengan Menteri Besar tidak lagi mampu dibendung.

Usaha untuk menjatuhkan Azizan Abdul Razak yang dahulunya nampak sudah reda sedikit setelah campurtangan Pas Pusat kembali mengeruhkan landskap politik di Negeri Jelapang Padi itu.

Laporan media menyatakan 11 daripada 15 pas kawasan di Kedah telah memberi kata dua kepada Menteri Besar supaya meletak jawatan dan melepaskan kedudukannya sebagai pesuruhjaya negeri bagi parti itu.

Azizan yang terkenal dengan sifat bongkak dan angkuh serta sering memperlekehkan petugas media arus perdana, seperti biasa menunjukkan sikap keras kepalanya dengan enggan tunduk kepada desakan tersebut.

Azizan dikatakan gagal menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar untuk memajukan negeri Kedah.

Sebaliknya sepanjang pentadbirannya, boleh dikatakan tidak ada langsung pembangunan yang ketara dilaksanakan untuk kepentingan rakyat dan pembangunan ekonomi negeri.

Yang sering dipaparkan di dada-dada akhbar ialah bagaimana rakusnya kerajaan negeri Pas menggondolkan bukit bukau sehingga menjejaskan kawasan tadahan hujan di Tasik Pedu.

Seperti biasa apabila tidak pandai mentadbir dan menjana fikiran bernas untuk memajukan negeri, UMNO dan Barisan Nasional lah yang menjadi sasaran.

Apabila tidak berjaya memacu ekonomi Kedah menyebabkan kantong negeri hampir kosong, Azizan mengugut supaya kerajaan pusat memberinya RM100 juta jika ingin selamatkan hutan rimba negeri itu.

Itulah yang diperolehi oleh rakyat Kedah dalam keghairahan mereka untuk menukar kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu.

Kini mereka sudah sedar perubahan yang mereka impikan selama ini di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat bagaikan mengharap panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari.

Harapkan kerajaan negeri baru pada 2008 akan menunaikan semua janji-janji manis yang ditabur semasa kempen pilihan raya tetapi akhirnya jadi kaki kencing rakyat rupanya!

Disebabkan terlalu asyik berpolitik dan berceramah siang dan malam, inilah kualiti kerajaan negeri yang dinikmati oleh rakyat kedah di bawah Pas.

Yang dipentingkan oleh pemimpin-pemimpin pas ialah mengejar kuasa serta kedudukan bagi kepentingan diri sendiri dan keluarga masing-masing.

Inilah yang berlaku di Kedah apabila dua exco kanan, Phahrolrazi Nawawi dan Dr Ismail Salleh mengetuai kelompok untuk menjatuhkan Menteri Besar.

Selain faktor politik yang tidak 'ngam', antara alasan utama ialah faktor ekonomi.

Ini kerana Azizan hanya mengutamakan kroni-kroni terdekatnya sahaja dalam pengagihan projek-projek dengan menyisihkan kumpulan kedua-dua ahli exco itu.

Sudah tentu ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong-penyokong mereka lantas secara senyap mejalankan kempen halus untuk menurunkan Azizan daripada kedudukannya.

Sindrom penafian yang diamalkan oleh Pas Pusat juga bakal mengundang bencana bagi parti itu di Kedah.

Kalau dahulunya api pergaduhan antara Azizan dan dua exconya dapat ditangani tetapi tindakan itu hanyalah bersifat sementera waktu kerana hakikatnya perbalahan mereka tidak dapat diselesaikan dengan apa cara pun.

Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali ingin menipu ahli Pas dan rakyat Kedah dengan mengatakan tidak ada pergolakan politik yang berlaku di negeri itu.

Ini sepertilah berkata bahawa tidak ada tsunami yang berlaku walhal separuh negeri sudah ranap.

Cuba menutup kenyataan yang sudah terang lagi nyata tidak akan menyelesaikan masalah dalaman pas di Kedah yang sudah ke peringkat amat serius.

Sudah ada desas desus Azizan mendesak kepimpinan pusat parti terutamanya Presiden Pas Abdul Hadi Awang supaya menggugurkan nama Phahrolrazi, Dr Ismail serta beberapa orang kuat mereka daripada senarai calon parti itu pada PRU13 nanti.

Jika ini berlaku bukan sahaja Pas Kedah akan berpecah, kerajaan negeri pun akan terlepas ke tangan BN.

Kini pun gelombang sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN sudah meningkat sehingga menggerunkan Pas Kedah.

Kemungkinan besar Kedah akan ke pangkuan BN bukan sahaja kemelut yang membelenggu Pas Kedah tetapi kerana rakyat sudah cukup meluat dan marah kepada pentadbiran yang sama sekali tidak pro aktif dan membela kebajikan rakyat.

Mahkamah Dengar Rayuan Kes Liwat Anwar Pada 22 Julai Ini


Mahkamah Rayuan menetapkan dua hari mulai 22 Julai ini bagi mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan pembebasan Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Tarikh rayuan tersebut ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar, N. Kanageswari semasa pengurusan kes tersebut di hadapan beliau hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin hadir bagi pihak pendakwaan manakala Anwar diwakili oleh peguam Zaleha Al-Hayat.

Noorin memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 26 April ini untuk pengurusan kes bagi membolehkan kedua-dua pihak memuktamadkan nota prosiding.

Pada 9 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar atas dakwaan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansarara, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Anwar, 65, yang juga Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, didakwa mengikut Seksyen 337B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

-Bernama

Mahfudz Omar Dalang Desak Azizan Berundur


Ramai yang tidak tahu bahawa di kala Phahrolrazi sedang mengasak Azizan dari kiri, kanan, atas dan bawah, Mahfudz Omar rupanya sedang berkempen secara halus untuk meletakkan dirinya di kerusi Menteri Besar Kedah. Mahfudz difahamkan ‘berkongsi’ dengan Phahrolrazi untuk menggerakkan 11 DUN di Kedah mendesak Azizan supaya berundur dan melepaskan jawatan Pesuruhjaya PAS negeri sekali gus.

Phahrolrazi bagaimanapun menafikan penglibatannya dan meminta agar mereka yang tidak berpuas hati menggunakan saluran yang betul. Mungkin beliau terlupa bahawa beliau juga yang memberikan contoh tauladan untuk menggunakan cara biadap dan tidak betul sebelum ini apabila mendesak Azizan berundur. Oleh itu, penafian Phahrolrazi tidak membawa apa-apa makna kerana permusuhan, dendam dan kebenciannya pada Azizan begitu terserlah. Pendek kata, siapa yang tidak tahu yang Phahrolrazi gila kuasa ingin merampas jawatan Azizan sehingga tak tertahan-tahan.

Kegilaan Phahrolrazi ini dilihat sebagai ‘peluang’ bagi Mahfudz untuk menampilkan diri sebagai calon terbaik. Rakyat pasti tidak suka melihat orang yang gila kuasa seperti Phahrolrazi dan rakyat juga sudah ‘serik’ dengan Azizan yang tidak tahu apa-apa.

Apa yang menariknya dalam krisis PAS Kedah ini ialah, desakan agar Azizan berundur oleh 11 DUN itu bukan kerana beliau gagal menangani pembalakan haram, bukan kerana beliau gagal membawa masuk pelaburan, bukan kerana beliau gagal mengawal pusat-pusat hiburan yang tumbuh bagai cendawan, bukan kerana gagal menangani masalah KUIN, bukan kerana projek-projek yang tidak masuk akal dan kerugian, bukan kerana anak-anak syarikat kerajaan lingkup dikerjakan kroni-kroni pegawai yang dilantiknya, bukan juga kerana beliau menyebabkan hutang Kedah meningkat sehingga 50% sejak mengambil-alih negeri.

Malah, PAS membela Azizan dalam semua isu-isu di atas sehinggakan sanggup melakukan perhimpunan besar-besaran di Pedu bagi menafikan kritikan serta menunjukkan sokongan terhadap pembalakan haram.

Semua masalah negeri dan rakyat ini bukanlah isu besar bagi PAS. Yang menjadi masalah bagi PAS dan menyebabkan mereka mendesaknya berundur ialah sikap Azizan yang ‘mesra’ UMNO/BN.

Azizan telah lama dipandang serong oleh puak-puak PAS di Kedah kerana menurut mereka, beliau lebih UMNO dari UMNO. Beliau dikritik kerana tidak memakai kopiah putih, tetapi songkok. Beliau juga tidak memakai jubah, tetapi berkot. Selain itu, semua orang Kedah tahu bahawa ahli keluarga beliau dan isteri beliau majoritinya adalah orang-orang UMNO, malah mempunyai pertalian darah dengan bekas Menteri Besar Kedah, Dato’ Osman Aroff. Sebahagian besar pegawai-pegawai kerajaan Kedah sejak zaman UMNO lagi merupakan sanak saudara Azizan atau isterinya.

Pendekatan Azizan yang terbuka dengan UMNO, sehinggakan sanggup memakai baju IM4U yang membawa lambang 1Malaysia yang menjadi slogan kerajaan BN benar-benar menyakitkan hati PAS Kedah.

Akibatnya, beliau dikritik hebat oleh PAS dan disindir agar menyertai UMNO saja. Dari situlah penentangan terhadap Azizan semakin memuncak dan digunakan sepenuhnya oleh pihak yang menginginkan jawatannya untuk mengasak Azizan agar berundur.

Hakikatnya, kesebelas DUN PAS yang mendesak Azizan berundur itu langsung tidak pernah fikirkan mengenai keadaan negeri Kedah yang telah hancur. Yang mereka tahu ialah mereka inginkan Menteri Besar yang berimej PAS tulin, itu saja.

Dengan masalah negeri yang begitu kronik iaitu ketiadaan sumber pendapatan serta perbelanjaan dan kerugian yang terus meningkat dari hari ke sehari, sesiapa sahaja yang ingin merampas jawatan Azizan seharusnya mampu membentangkan jalan penyelesaian bagi semua permasalahan ini.

Setakat ini Phahrolrazi hanya tahu mengugut Pulau Pinang untuk membayar caj bekalan air mentah yang mana langsung tidak dilayan oleh negeri itu. Lebih dari itu, beliau sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukannya untuk menyelamatkan negeri Kedah.

Mahfudz pula, mengeja perkataan ‘ekonomi’ pun belum tentu lagi mampu. Justeru, apa yang nak diharapkan darinya untuk merancang ekonomi negeri. Setakat mengutuk BN ke hulu ke hilir bolehlah dia, sekadar untuk membuat orang tuanya bangga melihat anak mereka berjaya walaupun tidak lulus periksa.

Membayangkan Mahfudz yang mengganti Azizan, samalah saja seperti menyerahkan jawatan itu kepada kambing atau lembu. Di tangan Azizan, Kedah sudah pun hancur lebur. Jika diserahkan kepada Mahfudz, maka Kedah yang telah hancur itu akan dikunyah sehingga lunyai, dihadamkan dan akhirnya menjadi bahan buangan.

Justeru, kita tidak nampak masa depan negeri Kedah di bawah PAS, tak kira siapapun Menteri Besarnya. Antara Azizan, Phahrolrazi, Mahfudz dan Lembu, semuanya sama saja.