Wednesday, February 6, 2013

388 Keluar PAS, PKR Sertai UMNO


BESUT – Parti pembangkang terus dirundung malang tatkala Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) semakin hampir apabila berbondong-bondong ahli mereka membuat keputusan untuk keluar dari parti itu bagi menyertai UMNO.

Terbaru seramai 388 ahli PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat keputusan keluar parti bagi menyertai dan membantu UMNO memenangi PRU13 apabila melihat PAS telah menyimpang dari perjuangan sebenar.

Mereka membuat pengumuman menyertai UMNO pada Perhimpunan Program Selamat Tinggal Pembangkang (STP) anjuran UMNO Bahagian Besut di Kampung Pengkalan Nyireh di sini semalam.

Kehadiran mereka dalam UMNO disambut meriah oleh Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dan turut diraikan oleh 2,000 penduduk yang menyokong kepimpinan UMNO selama ini.

Seramai 250 daripada ahli PAS dan PKR terbabit dari kawasan Dewan Undangan Negeri Kota Putera, DUN Kuala Besut (83), 34 orang dari DUN Jerteh (34) dan DUN Hulu Besut seramai 21 orang.

Salah seorang ahli pembangkang yang menyerahkan borang keahlian UMNO, Ibrahim Mamat, 56, berkata, beliau sudah 20 tahun bersama PAS dan rela meninggalkan parti itu kerana PAS terpesong jauh daripada perjuangan asal.

No comments: