Monday, February 4, 2013

Percepatkan Kes Anwar Saman Nallakaruppan


Pihak mahkamah diminta mempercepatkan perbicaraan kes saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan bagi membuktikan sistem kehakiman negara adalah terbaik dan telus.

Setiausaha Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, biarpun hampir setahun Ketua Pembangkang itu memfailkan saman tersebut, sehingga hari ini masih belum ada sebarang perbicaraan.

“Kita mahu bertanya adakah wujud unsur-unsur negatif seperti sabotaj, rasuah atau peras ugut sehingga menyebabkan kes ini masih tidak dibicarakan sehingga kini?

“Kes yang melibatkan Anwar ini tidak boleh diambil ringan kerana kita telah melihat bagaimana bekas Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden telah berpaling tadah apabila menyertai pasukan peguam bela Anwar dalam kes perbicaraan berkaitan Bersih 3.0,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Selain Nallakaruppan, Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. pada 26 Mac tahun lalu ekoran petikan ringkas yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 20 Mac tahun lalu di muka hadapan bertajuk Anwar biseksual, tak boleh jadi Ketua Pembangkang – Nalla dan berita penuh di muka surat enam bertajuk Nallakaruppan tuduh Anwar biseksual.

Baru-baru ini, Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan sebahagian besar pembelaan Nallakaruppan serta Utusan Melayu dalam kes saman tersebut dikekalkan.

Fakhrul Azman berkata, seluruh rakyat mahu mendengar keterangan yang akan dibuat oleh Shamsidar Taharin apabila isteri kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali itu menjadi saksi dalam kes tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, kes tersebut bakal mencetuskan episod terbaharu apabila cerita rambut palsu Anwar yang ditempah oleh Nallakaruppan dari India turut dibongkarkan.

“Anwar dikatakan memakai rambut palsu sebab beliau takut dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Namun, agak menghairankan mengapa Anwar memilih untuk memakai rambut palsu tetapi tidak pula memakai serban atau kopiah,” katanya.

No comments: