Monday, April 1, 2013

0 #LahadDatu - Ridzwan Serah Diri, Mengaku Salur Kewangan Pada Sultan Muedzul, Bukannya Jamalul Kiram


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib mengesahkan Presiden Pertubuhan Kebajikan Al Ehsan Islamiah Malaysia, Datuk Seri Muhamad Ridzwan Sulaiman ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Ridzwan menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang bagi membantu siasatan berhubung pencerobohan bersenjata di Sabah.

Beliau, yang memakai baju Melayu merah dan berserban, hadir bersama lebih 10 orang kenalannya di balai polis itu pada pukul 11.05 pagi tadi.

Bercakap kepada pemberita sebelum menyerah diri kepada pihak polis, Muhammad Ridzwan mengaku memberi bantuan kewangan kepada Sultan Sulu, Jolo, selatan Filipina iaitu Sultan Muedzul Lail Tan Kiram yang pernah ditemuinya pada 15 dan 16 September tahun lalu.

Beliau bagaimanapun menafikan bahawa Jamalul Kiram, yang dipercayai menjadi dalang pencerobohan di Sabah, adalah Sultan Sulu.

“Saya tidak kenal pun Jamalul Kiram,” katanya.

Muhammad Ridzwan menyerah diri berikutan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib semalam yang memintanya menyerah diri dengan segera di mana-mana balai polis berhampiran.

Hamza berkata Muhammad Ridzwan, yang tidak terlibat dengan pengganas bersenjata dari selatan Filipina, boleh membantu pihak polis dalam siasatan mengenai kes pencerobohan di Lahad Datu pada 12 Februari lepas. – Bernama

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates