Wednesday, October 12, 2011
Elaun Ahli Parlimen: Naik Tak Boleh Kaya, Tak Naik Boleh Kayap....
Sebagai bekas Ahli Parlimen selama dua penggal, saya dapat memahami perasaan rakan-rakan yang kini masih berkhidmat. Tentuny frust menonggeng apabila dengar pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa cadangan nak naikkan elaun semua Ahli Parlimen DITARIK BALIK.
Sayang sikit ' Chief '- itu gelaran padanya oleh semua rakan-rakan Ahli Parlimen termasuk pembangkang - terikat tangan, tak boleh buat apa-apa nak bantu mereka.
Ini gara-gara bos-bos pakatan pembangkang nak tunjuk terror tak kena tempat menolak cadangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk naikkan elaun mereka yang sekarang ini ciput.
Kita bukan tak tau ini bukan apa sangat cuma sandiwara mereka nak tunjuk kononnya pembangkang sanggup ikat perut untuk berkhidmat.
Apa yang saya dapat tahu di sebalik ini banyak Ahli Parlimen pembangkang merungut diam-diam apabila bos-bos mereka buat keputusan itu tanpa bincang dulu dengan mereka.
Satu dunia tahu elaun Ahli Parlimen Malaysia RM6,500 sebulan cukup rendah, malah kalah kalau nak dibanding dengan apa yang Ahli Parlimen Singapura dapat yakni RM33,000 sebulan.Thailand pula RM12,000 manakala Indonesia RM18,111.
Perdana Menteri berniat baik untuk naikkan elaun dengan syarat semua sekali Ahli Parlimen termasuk pembangkang setuju.
Sebab itu beliau masukkan cadangan yang dibuat oleh Nazri dalam bajet 2012 yang dibentangkan pada 7 Oktober.
Kita faham mengapa Najib terpaksa bagi syarat semua kena setuju.Kalau tidak nanti pembangkang tuduh bukan-bukan.
Kalau mahu semua kena mahu.Tak aci kalau MALU TAPI MAHU.
Nak buat macam mana kalau bos-bos pembangkang bersikap biasa mereka - bangkang asal nak bangkang.
Dalam sidang akhbarnya untuk menerangkan keputusan kerajaan menarik balik usul bagi menyemak elaun ahli-ahli Parlimen, Nazri berkata tujuan menaikkan elaun tersebut tidak membolehkan seseorang menjadi kaya.
Sebaliknya, kenaikan tersebut adalah untuk menampung keperluan bagi perbagaiperbelanjaan ketika menjalankan tugas untuk rakyat.
Katanya, cadangan itu terpaksa ditarik balik daripada urusan mesyuarat yang sedang berlangsung kerana empat pemimpin utama parti pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar menolak cadangan tersebut.
Alahai..terlajak perayu bolehlah berundur,terlajak kata... nak buat camno..?
Sepanjang ucapan pembentangan Belanjawan 2012 yang memakan masa selama dua jam itu, acapkali dewan persidangan mendapat tepukan apabila Perdana Menteri mengumumkan pelbagai faedah dan ganjaran yang meliputipelbagai macam masyarakat. Bagaimanapun, tepukan meja paling gemuruh adalah ketika Najib dengan senyuman meleret mengumumkan kesediaan kerajaan untuk menimbang kenaikan elaun berkenaan.
Malah, ucapan Perdana Menteri tersekat-sekat beberapa kali lantaran tepukan dan keterujaan ahli-ahli dewan. Kemuncak kepada kegembiraan ahli-ahli dewan itu tiba-tiba bertukar menjadi derai apabila beliau memberitahu pertimbangan akan hanya menjadi kenyataan sekiranya semua
ahli yang berhormat termasuk pembangkang dan bebas setuju dengan cadangan tersebut.
Anwar selaku Ketua Pembangkang tak tunggu lama.Dengan segera selepas pembentangan itu menegaskan tidak setuju. Begitu juga dengan Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Orang nombor dua PKR, Azmin Ali dan panglima perang PAS,
Salehudin Ayup turut membantah.
Ini memang lawak bin kartun.Betulkah semua ahli Parlimen pembangkang membantah.Ini kerana dalam jawatankusa yang membuat kajian mengenai kenaikan itu yang turut dianggotai Ahli Parlimen parti pembangkang mengesyorkan agar elaun dinaikkan.
Tapi atas nama politik, nampaknya mereka terpaksa berkorban pasal nak jaga hati bos.
Siapa sebenarnya yang tidak mahu? Kata, Nazri, Anwar Ibrahim dan Azmin Ali memanglah tidak hairan langsung mengenai kenaikan itu kerana mereka kaya raya.
Kesemuanya ada 222 orang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat sekarang. Siapa di kalangan mereka yang mahu dan siapa pula yang tidak mahu! Khabarnya kerajaan dah sediakan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk kenaikan tersebut yang merupakan 0.02 peratus daripada perbelanjaan
keseluruhan belanjawan tahun hadapan.
Sayangnya, kerana ingin mengambil hati pengundi kononnya, mereka sanggup 'control maco' dengan menolak kesediaan ikhlas kerajaan itu.
Berapa sebenarnya elaun ahli-ahli Parlimen kita.. Tak perlu tanya seorang demi seorang. Merekapun malu dan segan nak beritahu berapa yang mereka dapat. Biarlah saya sahaja yang berkongsi mengenainya.
Berdasarkan pencen yang saya diperolehi RM3,250 sebulan, bermakna, elaun penuh seorang YB kini adalah RM6,500. Mungkin ada yang tak mahu atau tak boleh percaya dengan kenyataan ini. Memang benar, itulah elaun mereka.
Semasa mula-mula menjadi MP pada tahun 1995, elaun bulanan hanyalah RM4,890. Tambahannya hanyalah RM300 untuk saraan pemandu. Mana ada pemandu nak kerja dengan gaji RM300 sebulan pada tahun 1990-an? Pada sekitar tahun 2000 elaun ini ditingkatkan sedikit, elaun pemandu juga
dinaikkan ke RM600 (kalau tak silap) di samping elaun telefon RM500.
Elaun penyelenggaraan pejabat juga diperkenalkan iaitu RM1,200 sebulan yang dikreditkan setahun sekali.
Seorang wartawan yang berkelulusan SPM dan baru berkhidmat kira-kira 15 tahun terkejut dengan jumlah itu kerana beliau sendiri dibayar RM4,400 sebulan. Saya katakan kepadanya, ada rakan yang sama-sama saya dahulu, juga berkelulusan SPM, kini membawa pulang RM7,500 sebulan.
Itu baru berkelulusan SPM dan wartawan biasa. Belum lagi yang memegang jawatan kanan!
Apakah yang YB boleh lakukan dengan RM6,500 sebulan...? Kakitangan pejabat kurang-kurang ada tiga orang. Jika dihitung RM800 seorang, bertiga dah terbang RM2,400.Telefon pejabat, bil api dan air pejabat dah berapa pula. Peruntukan RM1,200 sebulan mungkin cukup untuk bayar
sewa premis.
Hari Sabtu, Ahad dan cuti umum adalah 'hari gugur' bagi para wakil rakyat. Pada hari-hari berkenaan, selain daripada ada pelbagai acara yang memerlukan kehadiran mereka seperti merasmikan mesyuarat agung, sukaneka, pertandingan sukan dan memancing serta acara pertemuan
dengan rakyat, ada pula jemputan ke majlis-majlis perkahwinan.
Nak 'huloq' pun kena tengok siapa pula yang jemput. Kalau ketua pemuda atau ketua puteri yang kahwin, sampulnya tak sama dengan anak ketua cawangan atau ahli jawatankuasa bahagian. Macam ada hiraki pula. Nak hulur sebarangan tak boleh sebab tuan rumah akan letak sampul daripada
YB di poket baju melayu yang sebelah atas. Yang lain bercampur sahaja kerana dimasukkan dalam poket bawah dan apabila dah penuh disalinkan ke beg lain. Itu biasa...!
Apabila minum pagi dan petang, bagi YB-YB di kampung memilih di gerai sahaja kerana di sanalah senang menemui pengundi atau rakan-rakan. Mulu-mula semeja, kemudian datang lagi dan dalam zaman telekomunikasi canggih kini, jumlah meja boleh bersambung menjadi empat atau lima.
Dulu-dulu, sayapun berani 'open table' minum pagi atau petang sahaja.Makan malam...oooops tak larat bang...
Di pejabat banyak juga yang tiris. Ada yang datang bawa anak-anak kecil dengan cerita dah lima enam hari minum teh kosong sahaja dan makan roti canai dua keping berkongsi lima orang. Sanggup dan laratkah YB berpeluk tubuh sahaja tanpa membuka dompet? Kena tujuh
lapan kali sebulan, akhirnya dompet tak tak boleh dibuka lagi sebab tak tak ada isi.
Saya melalui pengalaman-pengalaman seperti ini. Nak mengadu pada siapa? Saya agak bernasib baik punyai cikgu semasa di kelas malam dahulu yang akhirnya sama-sama menjadi Ahli Parlimen. Nama cikgu itu, Ahmad Zahid Hamidi, ahli Parlimen Bagan Datoh yang kini Menteri Pertahanan. Ketika itu beliau adalah Ketua Pemuda UMNO.
Dengan tebal muka saya pinjam duit daripadanya. Pinjam RM2,000 bayar balik RM1,000 je.. Kena dua tiga kali tak apalah. Dia kata, "Bad.. kau kalau tak ada duit..tapi payah bayarlah " Saya senyum dan ucapkan terima kasih. Selepas tu,nak pinjam lagi dah malu tetapi dia seorang guru yang amat mengenali anak didiknya.
Pengalaman sebegini bukanlah asing, cuma jarang-jarang diceritakan kepada umum kerana 'air muka'. Di Dewan Rakyat ketika itu, selain saya ada beberapa lagi YB yang dikategorikan sebagai "YB marhain" Kami tidak ada pohon rendang untuk berteduh. Kami tetap bertuah kerana
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) ketika itu, Datuk Dr. Jamaluddin Jarjis (sekarang Duta ke Amerika) pemurah orangnya.
Tidak ramai yang tahu hal sebegini kerana umum menyangka YB-YB adalah Yang Berduit sedangkan sebenarnya YB bagi kami adalah Yang Broke atau Yang Bocor.
Ada orang sangka peruntukan yang diberi oleh kerajaan boleh digunakan. Oleh kerana kebanyakan YB berkereta Mercedes Benz, ada juga yang bertanya kepada saya bila nak dapat kereta mewah itu. Pada jangkaan mereka, kereta disediakan oleh kerajaan. Nak merasa guna Mercedes
Benz, saya beli juga sebuah tetapi model 300D bekas kereta sewa di Melaka Beli 300D kerana cukai jalan percuma. Kalau ada 500D mungkin saya beli juga sebab semakin tinggi ccnya, semakin murah sebab cukai jalan (bagi orang awam) sangat mahal.
Semasa memandu Mazda Bongo dan Pajero, beberapa kali saya tidak dibenarkan masuk ke kawasan letak kereta kerana yang jaga parkir tak percaya YB datang menaiki kenderaan sedemikian. Apabila Datuk Seri Rafidah Aziz yang ketika itu Menteri Perdagangan Antarbangsa dan
Industri beri AP (Permit Import) saya beli juga Mercedes besar dari United Kingdom dengan kos keseluruhannya hanyalah RM45,000.
Jadi dengan elaun RM6,500 sebulan, berapakah baki yang YB bawa pulang. Mungkin RM1,000 atau mungkin juga -RM1,500. Kalau jumlahnya negatif... maka terpaksalah cari sumber-sumber lain.
Maka haraplah elaun dinaikkan. Khabarnya, nak dinaikkan sehingga RM20,000 sebulan. Itu pun belum dapat lawan elaun Ahli Parlimen di Singapura.
Malangnya kerana beberapa karenah bos-bos pembangkang, yang lain termasuk anak-anak buah mereka terpaksa gigit jari. Betullah kata Nazri...ala naik elaunpun bukan boleh jadi kaya, tetapi yang pasti kalau terus tak naik, boleh jadi kayap..- OLEH DATUK BADRUL HISHAM ABDUL AZIZ,BEKAS AHLI PARLIMEN HULU LANGAT
Sumber: Agendadaily
Stay in touch with Bro Jinggo
Labels:
Parlimen
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
SALAM JINGGO ... APASAL LU SUKA LINK BALIK BLOG LU LEPAS SATU ARTIKEL?
ALMOST EVERY ARTICLE PUBLISHED YOU LINKED BACK TO THE OTHER ARTICLE IN YOUR BLOG ...
ARE YOU TRYING TO CATCHING UP WITH ALEXA RANKING? JUST CURIOUS ....
Post a Comment