By: Taminsari
KETIKA Kongres MIC berlangsung di PWTC, seorang perwakilan membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ekoran komen beliau mengenai amalan kasta dalam menentukan siapa yang harus memimpin parti itu.
Ketika membahaskan ucapan Presiden MIC, Ramasamy menyifatkan Perdana Menteri tidak wajar membuat komen seumpama itu di dalam dewan yang penuh orang India yang menghadiri Kongres MIC ke-64.
Minggu lepas, ketika merasmikan kongres tersebut, Najib menggesa MIC supaya tidak menggunakan sistem kasta sebagai faktor utama atau penentu untuk memilih pemimpin di semua peringkat. Perdana Menteri berkata, pemimpin perlu dipilih berdasarkan keupayaan, kebolehan dan kewibawaan untuk berkhidmat kepada masyarakat India.
Bagi saya apa yang dikatakan oleh Najib itu ada kebenarannya. Memang dari dahulu 'kasta' adalah duri dalam daging bagi MIC! Jika dilihat secara logiknya keadaan kaum India di negara ini, mengapa mereka memerlukan begitu banyak parti politik mewakili mereka padahal jumlah mereka cuma mewakili peratusan kecil jumlah penduduk Malaysia.
Sebenarnya masalah masyarakat India hendaklah diselesaikan sendiri oleh orang India seperti ketua-ketua masyarakatnya. Datuk Seri S.Samy Vellu mungkin telah cuba sedaya upaya semasa beliau berada di dalam Kabinet. Malangnya, masalah terbesar di kalangan pemimpin India ialah mereka tidak boleh bersatu. MIC dengan Samy Vellu-nya, IPF dengan ketua barunya, PPP dengan Kayveas-nya manakala MIUP dengan Nalakarupan-nya.
Walaupun mewakili penduduk minoriti iaitu lebih kurang dua juta daripada penduduk Malaysia, namun pemimpin-pemimpin mereka tidak boleh duduk semeja untuk berbincang. Masyarakat keturunan India Malaysia sebenarnya masih kuat berpegang dengan 'sistem kasta' seperti yang diamalkan di negara India itu sendiri.
Perkara itu memang tidak boleh dinafikan. Kita boleh lihat sendiri cara-cara golongan bertaraf sederhana dan tinggi (kasta atasan) berinteraksi dengan golongan bertaraf rendah. Golongan bertaraf tinggi pada kebiasaan akan memandang rendah golongan bertaraf rendah.
Agak sukar untuk dipercayai apabila ada kalangan masyarakat India yang masih berpegang kepada amalan ini. Sebab itu kita boleh lihat orang kaya dari golongan bertaraf tinggi akan bertambah kaya, manakala yang miskin dari golongan bertaraf rendah akan menjadi bertambah miskin.
Yang kaya agak sukar untuk membantu golongan miskin. Mereka tiada kata sepakat dalam mencari jalan untuk membantu kaum mereka sendiri. Mungkin atas sebab inilah mendiang Tan Sri Pandithan keluar dari MIC dan menubuhkan parti IPF kerana kecewa dengan tindak-tanduk MIC tidak mahu membantu golongan miskin keturunan India. Contohnya penduduk-penduduk India di estet-estet di seluruh negara.
Saya masih teringat kata-kata mendiang Pandithan semasa beliau terlantar sakit di hospital suatu ketika dahulu:
"Saya akan berjuang dalam IPF sehingga ke akhir titisan darah saya. Ada pihak berkata Pandithan akan menjual parti, membubarkan IPF setelah kembali berdamai dengan Samy Vellu. Ini semua tidak benar. Hari ini saya jawab kesemua tuduhan yang dilemparkan ke atas saya. Pandithan akan mati sebagai ahli IPF dan tidak akan membubarkan parti ini sehingga akhir nyawa saya," katanya.
Antara kata-kata lain mendiang yang begitu menyentuh hati adalah, "Bukan pilihan saya untuk lahir dalam keluarga berkasta rendah, ini semua ditentukan oleh Tuhan yang juga menentukan siapa yang akan dilahirkan sebagai Melayu, Cina atau India. Malangnya manusia tidak menyedarinya."
Selagi ikatan 'kasta' tidak terlerai, selagi itulah masyarakat India akan berdepan dengan masalah kemiskinan tegar dan masalah lain kerana di kalangan mereka sendiri tiada kata sepakat. 'Sistem kasta' inilah yang sebenarnya menjadi batu halangan kepada masyarakat India di Malaysia untuk bersatu dalam memajukan bangsa mereka sendiri.
Dan apabila mereka gagal, mereka akan menyalahkan orang lain terutamanya UMNO seperti yang didakwa oleh Hindraf kononnya kerajaan BN yang ditunjangi oleh UMNO gagal membantu mengatasi masalah kaum India di Malaysia. Hakikatnya orang India sendiri yang gagal membantu kaum mereka sendiri.
Suara Politik Taminsari
Shah Alam
No comments:
Post a Comment