Friday, July 16, 2010

PEMUDA GARIS TUJUH PERKARA TANGANI ISU PASIR SELANGOR

By: Cetusan Sahabat-Gunung

Shah Alam: Disekat- itulah yang berlaku di Bangunan SUK Selangor bila kumpulan yang mahu menyerahkan memorandum ‘Selamatkan Rakyat Selangor’ yang diketuai Ketua Pemuda Selangor, Dato’ Suhaimi Ghazali disekat di pintu utama Bangunan SUK oleh pasukan keselamatan serta anggota Polis selain penyokong-penyokong parti PKR-Pas.

Namun selepas berbincang dengan pihak keselamatan, hanya tiga wakil Pemuda UMNO dan NGO yang terlibat diketuai Dato’ Suhaimi Ghazali, dibenarkan menyerahkan memorandum tersebut kepada Azman Abidin, SUK Eksekutif kepada Menteri Besar Selangor.

Suhaimi ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum tersebut, mengakui tindakan menyerahkan memorandum ini dibuat bagi menunjukkan keprihatinan rakyat Selangor khususnya Pemuda UMNO dan NGO yang memandang serius kegagalan kerajaan negeri melalui Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam pengurusan industri pasir di negeri Selangor.

“KSSB telah gagal mencapai matlamat pendapatan RM 150 juta bagi tahun 2009, sedangkan aktiviti pengeluaran pasir berlaku secara besar-besaran samaada halal ataupun haram diseluruh negeri Selangor.

Ini membuktikan kerajaan negeri dan KSSB gagal membanteras aktiviti percurian pasir yang sedang bermaharajalela tanpa kawalan dan penguatkuasaan yang berkesan,”.

Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO dan NGO yang prihatin dengan isu perlombongan pasir ini mendesak dan menuntut kerajaan negeri mengambil tindakan tegas dengan membatal dan memberhentikan dengan serta merta semua permit dan aktiviti perlombongan pasir di atas tanah-tanah kerajaan dan persendirian yang melanggar syarat-syarat kelulusan termasuk permit kepada KSSB jika terbukti berlaku penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

“Kerajaan negeri juga harus memberhentikan dan membatalkan dengan serta merta semua permit pengeluaran pasir di kawasan-kawasan yang didapati tidak sesuai dan boleh membawa kemusnahan alam sekitar dan bencana kepada negeri Selangor di samping menyediakan Kertas Putih mengenai masalah pengurusan dan operasi industry pasir di negeri Selangor termasuklah operasi KSSB.

Dalam masa yang sama, kerajaan negeri harus menarik balik dengan serta merta kuasa monopoli pengurusan industry pasir kepada KSSB dan serahkan semula kuasa pengendalikan galian dan mineral termasuk pasir di negeri Selangor kepada jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan yang selama ini telahg menjalankan tanggungjawab yang baik,” ujarnya.

Pemuda UMNO Selangor juga mendesak agar menamatkan perkhidmatan semua ahli-ahli lembaga pengarah KSSB dan mengambil tindakan disiplin kepada mana-mana pegawai dan kakitangan KSSB yang telah terbukti menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng seterusnya memberhentikan dengan segera pemberian bonus kepada ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Pegawai-Pegawai serta kakitangan KSSB.

Pasukan penguatkuasaan harus diperkemas dan dimantapkan, serta dianggotai jabatan-jabatan kerajaan negeri dan persekutuan yang berkaitan bagi membanteras sehingga ke akar umbi aktiviti mencuri pasir dan seterusnya mempastikan permit-permit pasir tidak disalahgunaan dan diselewengkan.

“Kita juga mendesak ditubuhkan dengan segera sebuah Jawatankuasa Bertindak (Task Force) yang bertanggungjawab dalam program pemulihan lombong-lombong pasir di seluruh negeri Selangor,” tambahnya yang memberikan masa seminggu kepada kerajaan negeri.

Sumber: http://www.sahabat-gunung.com

No comments: