Tuesday, January 10, 2012

#901: PKR Gagal Bawa 100,000 Orang


Datuk Seri Anwar Ibrahim pastinya gembira dengan keputusan mahkamah pada Isnin mendapatinya tidak bersalah kerana tidak cukup bukti meliwat pembantu beliau Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kalau Ketua Pembangkang itu tidak gembira pun mungkin melihat jumlah penyokong kononnya untuk menunjukkan solidariti kepada beliau sekitar 5,000 orang nyata jauh daripada sasaran 100,000 seperti dicanang oleh Timbalan Ketua PKR, Azmin Ali.

Anwar terpaksa berpuas hati dengan bilangan sekitar 5,000 orang penyokong sebahagian besar dikerah ahli PKR kebanyakannya dari Wilayah Persekutuan dan Selangor untuk berhimpun di depan kompleks Mahkamah Jalan Duta sejak tengah malam.

Malah sehingga perhimpunan bersurai kira-kira jam 11.30 pagi, tidak banyak kelihatan penyokong Anwar daripada kaum Cina dan India yang hadir.

DAP barangkali hanya diwakili pemimpin utama seperti Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng.

Ini jelas, kerana kebanyakan yang dilihat di situ hanya muka orang Melayu sama ada mewakili PKR ataupun sebilangan dari PAS.

Anggota polis yang berkawal di sekitar kawasan mahkamah mula berada di lokasi tersebut sejak jam tiga pagi lagi.

Kawasan parkir di luar kompleks mahkamah kosong kerana dikhaskan untuk penyokong-penyokong Anwar.

Keadaan mula bertukar kecoh apabila Anwar mula memasuki kawasan perkarangan mahkamah sekitar jam 8.30 untuk mendengar keputusan kes liwat I, beliau.

Mereka mula mengerumuni Anwar dari pintu masuk utama hingga ke perkarangan mahkamah.

Maka kedengaranlah laungan slogan “Reformasi”, “Hidup Anwar”, “Keadilan”, dan “Allahuakbar”.

Anggota polis yang pada mulanya tidak membenarkan penyokong membawa sepanduk bertulis “Rakyat Hakim Negara”, mula membenarkan mereka membawa sepanduk-sepanduk berkenaan selepas beberapa wakil berbincang dengan pihak berkuasa terbabit.

Namun demikian, atas kepentingan keselamatan, anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas setiap peserta yang membawa beg untuk memasuki kawasan parkir.

Dalam pemeriksaan tersebut, anggota polis turut merampas kain rentang bertulis “Bebas Anwar 901".

Situasi di sekitar kawasan pintu masuk kompleks mahkamah terus terkawal dengan pihak polis mengawal secara minima sahaja pergerakan penyokong-penyokong Anwar.

Kumpulan-kunpulan kecil peserta mula bergabung dan berteriak “Takbir”, dan polis masih lagi membenarkan para penyokong Perhimpunan 901 bergerak ke kawasan perkarangan mahkamah.



Kelihatan juga topeng gambar Anwar diedarkan kepada peserta perhimpunan. Keseluruhan, perhimpunan 901 terkawal tambahan pula apabila mereka mendapat berita awal Anwar didapati tidak bersalah.

Penyokong-penyokong Ketua Pembangkang itu menjerit-jerit kegembiraan tanpa sebarang tindakan di luar kawalan.

Bagaimanapun, hasrat mereka untuk mendengar Anwar berucap di luar kompleks mahkamah tidak tercapai kerana ada maklumat mengatakan beliau akan ke masjid Wilayah Persekutuan.

Namun, Anwar kemudian terus beredar apabila mendapati laluan keluar mahkamah ke masjid sesak.

Jika tidak ada insiden tiga letupan bom dipercayai buatan sendiri, perhimpunan pagi Isnin tidak menarik untuk dilaporkan kerana bilangan penyokong yang sedikit, bukan memberi berita yang besar.

Apapun, Anwar kena akur bahawa beliau belum boleh menarik nafas lega kerana proses undang-undang masih berjalan kerana pendakwa raya boleh mengemukakan rayuan terhadap keputusan tidak bersalah itu.

Laporan: Agendadaily

No comments: