Thursday, January 12, 2012

Francais Mikro Mampu Lahirkan Usahawan 'Gergasi'


Jelajah Francais 1Malaysia akan memberi tumpuan kepada pembangunan francais mikro di negara ini yang mampu melahirkan lebih ramai usahawan berbanding francais yang bertaraf 'gergasi'.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (BEPU), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, ini kerana francais mikro tidak memerlukan modal besar yang membolehkan lebih ramai usahawan terutamanya mereka yang baru menceburi bidang perniagaan menyertainya.

Beliau berkata, usahawan itu juga boleh memohon pinjaman antara RM5,000 hingga RM50,000 yang disediakan Perbadanan Nasional Bhd. untuk francais mikro.

Menurutnya, kerajaan menyediakan dana sebanyak RM8 juta khusus untuk francais mikro ini dengan tiada cagaran diperlukan.

"Sehingga kini, jumlah dana itu masih banyak dan usahawan perlu menggunakan peluang ini dengan menyertai francais mikro," katanya selepas majlis perasmian Program Jelajah Francais 1Malaysia peringkat negeri ini di Dewan Orang Ramai Rantau dekat sini, hari ini.

Program itu anjuran Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia Muda (Perdasama Muda), BEPU dan Persatuan Francais Malaysia (MFA).

Perasmian disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan. Turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau.

Negeri Sembilan adalah lokasi ketujuh jelajah tersebut yang telah diadakan di Johor, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Melaka.

Lebih 300 peserta menyertai program itu di negeri ini menjadikan jumlah keseluruhan peserta bagi program berkenaan di semua tujuh negeri tersebut seramai 3,100 orang.

Sohaimi menarik perhatian, pembangunan francais mikro juga akan meluaskan peluang dalam sektor francais termasuk di luar bandar yang selama ini belum begitu terdedah kepada perniagaan francais.

Sementara itu, Khairy berkata, terdapat banyak ruang dan peluang di pelbagai peringkat yang oleh digunakan orang ramai memulakan atau memajukan perniagaan mereka.

"Yang diperlukan hanyalah keazaman dan kesungguhan bagi menjayakan ruang dan peluang tersebut," katanya.

Beliau memberi contoh sektor francais sebagai bidang perniagaan yang mudah diceburi orang ramai termasuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan.

Katanya, bidang itu tidak memerlukan orang ramai benar-benar mahir dengan selok belok dunia perniagaan kerana hampir segala-galanya dilakukan oleh francaisor.-Utusan

No comments: