Sunday, February 17, 2013
Program Transformasi Dirangka Demi Manfaat Rakyat- Najib
Inisiatif kerajaan mengadakan program transformasi adalah untuk terus menerus merangka pelbagai program demi manfaat rakyat dan sekaligus mengangkat martabat negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata melalui agenda transformasi, rakyat sentiasa dibantu dan permasalahan mereka diberi perhatian menerusi pelbagai bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bukannya usaha melaung-laungkan reformasi yang tidak membawa sebarang manfaat.
“Baru-baru ini saya membuat kunjungan ke Mesir dan melihat keadaan di sebuah negeri yang mengalami revolusi, yang jatuhkan rejim lama.
“(Di negara kita juga).. ada pihak tiup semangat revolusi, mereka kata reformasi, tapi reformasi mereka itu adakah lebih baik dari transformasi?
“Reformasi atau demonstrasi atau baling kerusi?. Transformasi bermaksud rakyat dibantu, rakyat ditolong, diambil berat, bantuan persekolahan, bantuan-bantuan lain, di Felda, peneroka dapat “durian runtuh” RM15,000, peneroka dapat pinjaman perumahan terbaik, dapat bonus tahunan, dapat duit raya, inilah agenda transformasi negara, reformasi tak bagi apa pun,” katanya ketika berucap pada majlis kenduri rakyat dan penyampaian BR1M 2.0, Sabtu.
Najib secara sinis turut mengulas bendera besar parti pembangkang yang banyak dipasang di sekitar Felda Chini itu.
“Transformasi yang akan angkat martabat negara kita, kita tidak ke mana pun dengan bendera yang besar, habiskan beras saja, orang Chini tidak mudah ditipu, bendera boleh buat kita makan? Bendera boleh baiki rumah kita?,” soalnya.
Seramai 7,000 penduduk di Chini menerima bantuan BR1M 2.0.
Dalam ucapannya, Najib turut memberi bayangan bahawa kerajaan akan memberikan BR1M 3.0 selepas bantuan serupa diberikan sebanyak dua kali sebelum ini.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata bantuan itu mungkin diberikan pada tahun depan, yang bertujuan membantu mereka yang berpendapatan rendah.
“BR1M 3?…Tunggu lepas pilihan raya (umum ke-13), mungkin tahun depan kalau ada rezeki, tapi kena lalui pilihan raya dulu,” katanya.
Beliau berkata kerajaan pimpinan Barisan Nasional sentiasa mengotakan janjinya dan menerusi slogan “Janji Ditepati”, pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat telah pun ditunaikan sebelum ini.
Beliau berkata BR1M 2.0 yang sedang diberikan kepada rakyat ketika ini lebih memberi manafaat yang menyeluruh berbanding BR1M yang pertama.
BR1M 2.0 turut memberikan bantuan kepada mereka yang belum berkahwin dan golongan muda.
Pada majlis yang dihadiri lebih 20,000 orang itu, Perdana Menteri turut menyelar parti pembangkang yang sentiasa membuat janji, tetapi tidak pernah menunaikannya.
Katanya, di Selangor misalnya, kerajaan negeri yang dipimpin parti pembangkang itu ternyata gagal dalam memberikan pelbagai bantuan sepertimana yang mereka janjikan sebelum ini.
Labels:
Najib Razak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment