Friday, February 22, 2013
Sapa Kata Parlimen Bubar Hari Ni?
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan desas-desus bahawa Parlimen akan dibubarkan pada Jumaat sebagai satu khabar angin dan spekulasi semata-mata.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yakin pembubaran tidak akan berlaku pada hari ini.
"Setakat yang saya tahu, SPR tidak menerima maklumat seperti itu dan saya yakin bahawa ia hanya spekulasi saja," ujar Aziz.
Sejak awal bulan ini, khabar angin bertiup kencang mengenai tarikh pembubaran Parlimen yang dikatakan akan dibuat pada hari ini.
Portal berita, The Malaysian Insider pada Khamis yang memetik sumber Barisan Nasional melaporkan PRU-13 dijangka akan berlaku pada minggu kedua April.
Ia akan berlangsung sebulan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menamatkan jelajah Janji Ditepati dan BN menyiapkan senarai calon serta manifesto.
Rata-rata pemerhati politik sebaliknya meramalkan proses demokrasi yang disifatkan sebagai ibu kepada segala pilihan raya negara itu akan berlangsung dalam bulan Mac.
Spekulasi Parlimen akan bubar pada minggu ini diyakini oleh banyak orang kerana mengambil kira tempoh lebih kurang sebulan yang berbaki sebelum cuti sekolah bermula 23 Mac ini, iaitu waktu yang dilihat sesuai untuk mengadakan pilihan raya.
Sementara itu, antara berita mengenai pilihan raya yang ada pada hari ini ialah SPR akan mengazetkan daftar pemilih terbaru.
Perdana Menteri pada hari ini menyambung lawatannya ke Sarawak. Beliau berada di Kuching untuk satu mesyuarat tertutup dengan pemimpin BN Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menerima taklimat mengenai persiapan BN Sabah di Kota Kinabalu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment